Powered By Blogger

Friday, January 16, 2015

Apa pendapat student mengenai saya?

Semalam saya ada melihat keputusan Student Feedback Survey ( SFS) yang telah dinilai oleh pelajar-pelajar saya untuk semester lepas iaitu Semester 1 2014/2015. Saya mengajar 3 sections dengan 2 sabjek.
Student saya tidak ramai di dalam setiap section. Ada dua kelas yang mengandungi 13 and 15 orang sahaja di dalam setiap kelas. Satu section lagi diajar oleh lecturer lain pada mulanya dan jumlah student dalam kelas tersebut ialah 44 orang. Walaubagaimanapun, lecturer tersebut tak dapat mengajar dan kelas tersebut diberi kepada saya.

Saya cuma nak bercerita mengenai komen-komen student di dalam SFS. Adalah menjadi kebiasaan apabila kita menjadi public figure di sesuatu tempat samaada di universiti, tempat kerja, sekolah, ahli politik mahupun celebrity, pasti ada yang suka dan ada yang tak suka. Sama juga di kulliyyah saya, AIKOL, yang mana ada student yang suka lecturer A dan ada yang suka lecturer B.


Walaupun student membuat penilaian kepada lecturer dengan meng"tick" ruang 1,2, 3 dan 4 tapi tak ramai yang rajin menulis komen. Hanya beberapa kerat sahaja yang rajin memberi komen.

Saya sertakan di sini kesemua komen yang dibuat oleh student semester lepas. Sudah semestinya komen-komen ini adalah anonymous. 


Setiap komen yang diberi sangat saya hargai, samada positif dan negatif. Semuanya untuk saya memuhasabah diri agar lebih baik dari hari semalam. Kadang-kadang kita tidak sedar yang kita telah melakukan kesilapan terhadap mereka. Mudah-mudahan semester depan saya akan mengajar lebih baik dan lebih menghormati student.


                                                                       Komen 1



                                                         
                                                               Komen 2


                                                      komen 3


Wednesday, January 14, 2015

Kenangan Banjir tahun 2014



Saya sudah terjun ke dalam air banjir sebaik saja sampai di rumah. Seronoknya bila air banjir menyentuh kulit selepas lebih 15 tahun ( rasanya) tidak bermain air banjir.

 Dalam perjalanan ke rumah Ma dan Abah, saya berhenti sekejap untuk bergambar. Kalau tak silap, gambar ini diambil berdekatan dengan Taman Uda Murni. Kami mengharung air sepanjang hampir 4 KM. MashaAllah, terasa kudrat tidak ada untuk mengharungi arus deras sepanjang ke kampung penambang. Tetapi demi Ma Abah tercinta saya gagahi juga.

Saya berada di atas bot yang dipandu oleh saudara sepupu. Melihat sepupu, anak saudara serta adik lelaki sedang bermain air, perasaan saya sungguh teruja. Ohh...seronoknya.




 Jelas terpancar kegembiraan anak-anak saudara saya bermain air banjir. Mereka ini adalah tiga sekawan ; Nabil, Wazif and Muaz.



Berada di dalam pelampung sambil berbual dengan teman dan  melihat awan putih  adalah satu kepuasan.

Alhamdulillah, tahun ini Allah memberi kesempatan untuk melihat banjir besar tahun 2014. Pada masa yang sama, saya turut bersedih melihat rakyat Kelantan terutama di Kuala Krai, Manik Urai, Tanah Merah dan beberapa tempat lagi yang telah kehilangan rumah dan harta benda pada banjir tahun lepas. Mudah2an ganjaran Allah pasti menunggu pada mereka yang sabar dan redho dengan ketentuan Allah. aamin.

Tuesday, January 13, 2015

Biarkan saja.....Ia akan pulang.





Biarkan saja aku dilingkari rindu yang tidak berkesudahan.

Biarkan saja aku memandang bintang nun jauh di kegelapan malam.

Biarkan saja pasir putih menjadi kelam.

Biarkan saja salju putih  menjadi keras bersarang

Biarkan saja.....

Biarkan saja cinta ini menjadi hilang

Biarkan saja ia menjadi hitam legam

Biarkan  masa yang menentukan.

Kerana

Cinta sebenar akan kembali datang

Walau jauh ia terbang

Pasti ia akan pulang

mencari aku yang pernah kau sayang.....






Monday, January 12, 2015

Kenangan

Kenangan itu adalah satu perasaan yang tidak boleh dinyatakan dengan perkataan. Ianya hanya mampu disebut di dalam hati, di dalam memori. Digambar di dalam kotak fikiran dan dirasa dengan hati. Sendiri.

Di kala usia sudah menganjak ke angka lebih 40 ini, pastinya ada kenangan-kenangan yang tidak dapat dilupakan, manis, pahit,, suka duka dan tawa hingga mengeluarkan airmata.

Tahun-tahun yang lepas banyak memori yang telah saya ciptakan dengan izin Allah azza wajalla.

Kenangan mendapat surat layang dan surat ugut bunuh adalah salah satu kenangan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Mungkin pada mulanya ianya adalah satu saat pahit untuk ditelan tetapi saya telan juga.

Kenangan bersama-sama dengan orang tersayang adalah saat yang tidak dapat dilupakan juga. Bertemu, bermesra, ketawa dan berpisah. Itulah fitrah alam.

Suatu hari nanti, saya sendiri akan menjadi kenangan buat orang lain. Mudah-mudahan kenangan mengenai saya adalah yang baik-baik belaka. Kalau ada kenangan pahit, tolong buangkan saja dan maafkan saya seperti mana saya maafkan orang yang menghantar surat ugut bunuh kepada saya.

Akhir kata, jangan lupakan saya jika saya sudah tiada.....

Friday, January 9, 2015

Akak Goreng Pisang

Minggu lepas saya berkunjung ke gerai goreng pisang yang dinamakan Goreng Pisang Akak di Taman Permata. Semasa saya sedang membuat pilihan pisang goreng mana hendak dibeli akak goreng pisang yang ramah ini bertanyakan beberapa soalan kepada saya.

Akak Goreng Pisang: Banjir tak kat rumah?

Saya: Banjir, Kak. Tapi tak pindah pun sebab banjir tak masuk dalam rumah.

Akak Goreng Pisang: Alhamdulillah... errr...Puan, kerja kat UIA kan?

Saya: Ya, kak.

Saya pula dah selesai berjual beli dengan pekerja dia dan mahu cepat-cepat ke kereta kerana ia diparkir secara illegal   di tepi jalan. Tiba-tiba akak goreng pisang ini berkata kepada saya;

" Akak rasa Puan ni adalah seorang guru yang baik di UIA. Mesti ramai pelajar suka pada Puan"

Saya terkaget dengan kenyataan dan komen akak ni. Sambil tersenyum malu, saya menjawab:

" Ohh.. Sebenarnya kak, tak ramai student mahu masuk ke kelas saya dan tak ramai yang sukakan saya".

" Eh.. ( mukanya agak terkejut). Kenapa macam tu ya?"

" Saya seorang yang tegas di kampus. Tegas dalam soal berpakaian, kedatangan ke kelas, kerja sekolah, disiplin dan akhlaq pelajar"

Hujan rintik-rintik mula membasahi bumi. Bunyi angin kencang turut kedengaran. 

" Akak, saya pergi dulu ye!"

" Tunggu, puan...Sebenarnya guru yang tegas dengan pelajar akan menghasilkan pelajar yang baik dan pandai"

" Terimakasih Kak. Saya harap ramai pelajar yang berfikiran seperti akak"

Saya terus berlari menuju ke kereta sambil membawa  sebungkus pisang goreng yang rangup beserta dengan kuping yang saya minta lebih tadi. Sambil memegang stereng kereta, memulas kunci kereta ditempatnya dan memasang lagu Pelangi Petang saya memandu laju meninggalkan akak goreng pisang tadi.

Dalam hati, hendak menjadi orang berilmu bukan terletak pada sijil dan degree. Cara kita berfikir, amal soleh dan paling penting ketaqwaan kita kepada Allah adalah tanda kita adalah berbeza dari manusia2 lain.

Thursday, November 6, 2014

Che Adek

Banyak cerita menarik yang ingin saya kongsikan dengan pembaca-pembaca semua.

Antaranya ialah perkahwinan adik bongsu saya, Fatien Adibah.

Fatien adalah adalah adik bongsu kami yang telah selamat melangsungkan perkahwinannya dengan Almie pada September lepas.

Tiada cerita cinta diantara mereka. Kerana cinta mereka bermula selepas nikah dimeterai di hadapan wali dan dua saksi.

Fatien atau lebih dikenali dengan panggilan che adek di kalangan adik beradik dan anak2 saudara adalah seorang adik dan anak yang baik. Tidak pernah kami melihat dia marah atau meninggikan suara di depan kami. Seorang anak yang taat kepada ma abah dan seorang adik yang penyayang kepada kakak2 dan abangnya.

Bila ditanya kepada anak2 saudara siapakah che adek pada mata mereka. Ramai yang menjawab " che adek is fun!" "Che adek tak pernah marah". Che adek juga merupakan kawan kepada anak2 saudaranya yang lebih kurang sebaya dengannya. Menjadi teman untuk bergosip, teman untuk membeli tudung raya dan teman tidur.

Seingat saya, selepas saya berkahwin dengan Mere Zindagi dan pada masa itu che adek berumur 4 tahun, che adek enggan mendekati atau berbual dengan Mere Zindagi. Katanya " Abe Ngoh hitam!"

Sebagai anak bongsu, che adek nampak seperti manja dan lembut. Tapi sebenarnya che adek bukan begitu. Di sekolah dia pernah menjadi pemimpin pelajar dan bergiat cergas dalam aktiviti ko kurikulum.

Sekarang che adek sudah kahwin dan tinggal jauh dari kami  di Melbourne, Australia.

Kami dari jauh mendoakan che adik semakin dapat menyesuaikan diri dengan suami dan alam rumah tangga.

Perkahwinan itu merupakan perjudian. Kita tidak tahu apa bahagian kita. Apa nasib kita. Ada bahagia, suka,duka, sedih dan gembira. Yang penting mesti ada cinta. Cinta untuk hidup susah senang bersama-sama. Cinta untuk membina rumahtangga atas dasar ketaqwaan kepada Allah. Jika kita rasa rumahtangga yg dibina tidak mencapai ke tahap itu, kita perlu berundur. Tetapi ingatlah, sabar, berdoa, berusaha dengan penuh cinta sebelum kita berundur diri.

Untuk che adek dan almie, semoga bahagia hingga ke syurga.


                                   Gambar che adek semasa remaja bersama dengan anak2 saudara.

Tuesday, September 30, 2014

Saya masih di sini

Alhamdulillah, saya masih di sini. Masih berkelana di bumi Allah. Masih ingat pada blog ustazahcinta yang sudah lebih setahun ditinggal tanpa bicara.

InshaAllah, saya akan kembali dengan cerita-cerita baru.

Buat yang bertanya, terimakasih atas keperihatinan anda.

Saya bukan merajuk. Cuma saya kekurangan masa untuk mengadap laptop dan menaip cerita.

Kadang-kadang kita perlu hilang seketika agar kita dapat memahami apa itu gelora cinta.


sekian.

Monday, January 28, 2013

Antara dendam dan api cinta

Saya suka tengok cerita love story terutama jika cerita tersebutboleh memberi mesej dan pengajaran kepada kita. Antara cerita love story yang evergreen ialah cerita "Love Story" yang dikeluarkan pada awal 70an saya rasa. Pelakon utamanya Ryan 0'Neal dan Ali McGraw masih lagi hidup pada saat saya menulis entry ini. 

Satu lagi filem yang memberi kesan kepada saya hingga ke hari ini ialah filem yang bertajuk "In Love and War". Filem ini diterbitkan pada tahun 1996 dan berdasarkan pada kisah benar yang berlaku kepada Ernest Hemingway, seorang sasterawan dan pernah menerima Nobel Prize pada tahun 1954. Satu kisah cinta di antara seorang askar Amerika iaitu Ernest, dengan jururawat berbangsa Austria yang bernama Agnes. Apabila Ernest cedera semasa bertugas sebagai pemandu ambulans  di Perang Dunia Pertama, dia dibawa ke hospital di Itali. Di sana dia bertemu dengan Agnes, seorang jururawat yang sering berbual-bual dengan Ernest. Agnes jauh lebih tua dari Ernest. Agnes pada mulanya turut menyintai Ernest tetapi berubah fikiran selepas Ernest pulang ke Amerika.

Walaubagaimanapun, cinta mereka tidak kesampaian dan berakhir dengan tragedi di mana Ernest membunuh diri pada tahun 1961.Disebabkan terlalu kecewa kerana Agnes tidak membalas cintanya, Ernest telah membawa diri ke satu tempat yang terperincil. Di situ dia menulis novel dan menjadi seorang nelayan. Ernest pada mulanya seorang yang baik hati dan gentleman,  walaubagaimanapun berubah menjadi seorang pemarah, peminum arak dan suka menyisihkan diri. Dia menyimpan dendam amarahnya pada Agnes. Agnes sebenarnya merasa ragu-ragu untuk mengahwini Ernest yang 7 tahun lebih muda dari Agnes. Lantas, Agnes menulis surat pada Ernest yang dia akan berkahwin dengan orang lain. 

Mesej yang ingin saya sampaikan di sini ialah, jangan terlalu kecewa jika cinta kita tidak berbalas. Atau jika cinta tidak kesampaian. Kita perlu berlapang dada dan menerima dengan hati yang terbuka. Perit, memang perit tetap hidup perlu diteruskan. Jika kita tidak memaafkan diri kita atas kekecewaan itu maka akan memudaratkan diri. Lepaskan kisah yang lalu dan biar ia di telan masa. Maafkan dia dan maafkan diri. Masih ramai yang sayang.

Saya masih ingat  babak terakhir dalam filem ini ialah bila Agnes datang mencari Ernest di Amerika. Dia datang untuk meminta maaf pada Ernest sambil bertanya jika masih ada ruang untuk Ernest menerima dia kembali. Tanpa memandang Agnes, dia hanya mendiamkan diri sahaja. Agnes pula sabar menunggu jawapan tetapi tidak dihirau langsung oleh Ernest. Akhirnya Agnes berlalu pergi meninggalkan Ernest. Sebenarnya, Agnes tidak berkahwin dengan sesiapa sehinggalah dia mati. Cintanya hanya untuk Ernest. Tetapi kerana ego, dendam dan kecewa teramat sangat akhirnya, Ernest akhirnya membunuh diri. Inilah cinta yang memakan diri.

Saya syorkan kepada sesiapa agar menonton kisah benar ini. Ambillah pengajaran dari kisah ini.







Thursday, January 24, 2013

Cemburu dan Saya.

Saya diminta oleh seorang silent reader blog saya untuk bercerita tentang cemburu. Sudah lama saya berfikir apa yang patut saya tulis dalam tajuk cemburu. Saya jadi hilang idea bila isu ini  ditimbulkan kepada saya. Akhirnya saya bertanya kepada Mere Zindagi,"  Papa rasa mama ni, cemburu tak orangnya?" Suami saya dengan pantasnya menjawab "Tak!". Saya tersenyum sendiri sebab saya rasa saya ni bukan cemburu orangnya. 

Saya cuba mencari sebab-sebab kenapa saya tak cemburu pada suami. Fikir-fikir punya fikir, saya rasa sebab utama ialah suami saya tidak pernah buat saya cemburu dari segi sikap dan pergaulan dia dengan wanita-wanita lain. Samada teman sepejabat atau pelajar-pelajar perempuan. Walaupun dia ramah dan suka buat lawak dengan ramai orang tapi tiada secalit cemburu pun ada pada diri saya. Mungkin ada yang mengatakan, mungkin di belakang saya, dia ada buat tapi saya tak nampak. Oh, susahlah hidup kalau saya  asyik berprasangka dengan suami. Biarkan saja. Kalau betul, silakan saja.  Agama mengharuskan untuk dia berkahwin lebih dari satu jika mampu dan boleh berlaku adil. Saya rasa dia mampu. Adil? saya tak pasti. Tetapi kalau saya redha untuk dia tidak berlaku adil pada saya, tak apa-apa. 

Secara jujurnya, cemburu itu adalah satu perkara yang sihat  dalam setiap hubungan. Ia adalah tanda pasangan kita menyayangi kita. tetapi jika tidak dikawal, ia boleh menjadi motif untuk melakukan perkara maksiyat ataupun hingga mendorong kita untuk melakukan jenayah.

Untuk pengetahuan pembaca, saya tidak pernah melarang suami untuk kahwin lagi. Malah saya pernah memberitahu dia, kalau dia mahu kahwin lagi, saya akan memberi sokongan kepada dia. Lantas dia menjawab, " Kalau begitu, tolong carikan saja dan pinangkan dia untuk saya". Kadang-kadang bila soalan ini diajukan lagi dia akan menjawab, " Please put in writing that you gave me a permission to have another wife"

Kenapa wanita jadi cemburu? 

Satu saja jawapannya. Mereka tidak yakin pada diri mereka sendiri dan  tidak percayakan pada ketetapan Allah. Jangan jadi wanita yang penuh dengan perasaan syak wasangka pada suami. Kelak nanti, sinar mata akan jadi kelam, senyuman menjadi tawar. Biarkan saja. Kadang2 mereka hanya mahu menduga kita. 

Saya juga yakin bahagia itu di hati saya. Saya bahagia bukan sebab suami hanya mempunyai seorang saja isteri iaitu saya. Saya bahagia kerana saya pilih saya mahu bahagia.Yang lebih penting saya yakin Allah lebih tahu apa yang baik untuk urusan hidup saya. Kalau ditakdirkan saya hidup bermadu, saya redha. Kenapa saya redha? Sebab, itu ketetapan Allah. Jika kita asyik marah, mencemuh dan bercerita apa yang kita rasa pada orang lain mengenai sikap suami kita  atau isteri muda dia, kita tidak akan bahagiasampai bila-bila. Manakala orang di luar sana akan bertepuk tangan melihat sikap kebudak-budakan kita. 


p.s sebelum kahwin, ada juga cemburu buta. hehe

Monday, January 21, 2013

Senyum itu indah




terkadang bila hati terluka
kita tidak menangis hiba
bukan juga masam mencuka
tetapi tetap dengan senyuman di muka

bukan sengaja berpura-pura
tetapi itulah hakikat hidup di dunia
harus tabah dan sabar sentiasa
kadang duka, kadang bahagia
tiada yang kekal selamanya
dan kita masih bernyawa
untuk bersyukur pada Yang Esa
pada nikmat yang tidak terkira

Segala puji-puji untukMu yang Maha Berkuasa.




Sunday, January 20, 2013

Cinta King Kong

Biasa kita dengar cerita monyet ataupun puppy's love. Orang kata cinta sebegini adalah cinta yang datang dan pergi. Cinta yang hanya singgah dan bertenggek di dalam hati untuk seketika saja. Bila angin datang, ia mudah goyah dan berlalu pergi.

Satu kisah benar yang ingin saya kongsi di sini.

Semasa saya belajar di sekolah rendah, saya juga bertemu dengan seorang budak lelaki  yang sebaya dengan saya, sekampung, sekelas dan teman sepermainan saya. Kami berkawan dan sekelas sejak dari darjah satu hinggalah ke darjah 5.( saya tidak belajar di darjah 6 kerana saya sudah berada di MMP pada masa itu). Kami sangat rapat dan sering belajar bersama. Di dalam kelas dia sering berada di tempat pertama. Ada sekali dua saya berjaya memintas dia. Dia sangat pandai dalam sabjek Ilmu Hisab atau pun dikenali sekarang dgn nama Matematik.

Pada suatu hari seorang lagi kawan sekelas saya, (WR) ada memberitahu saya sesuatu. " Jah, ada orang sukakan Jah tau". "Siapa tu, WR?", saya bertanya balik. Dalam hati saya berbunga-bunga. Hehe. Jawab WR, "orangnya ialah N". Pada masa itu usia saya 10 tahun. Rasanya, saya tidak faham apa makna "Cinta". Yang saya tahu, apa itu "Suka". Suka sudah cukup buat saya gembira sebab saya juga sukakan dia. Saya suka dia  sebab dia pandai dan baik.

Selepas dari perbualan itu, saya dengan N dan WR tetap berkawan seperti biasa. Melompat, berlari, bermain serembat, main ddecok dan berjalan mengelilingi Kampung Penambang bersama-sama.  

Bila saya ke MMP, hubungan kami tidak serapat dulu. Pertama, sekolah lain-lain dan yang kedua, kami semakin besar dan sudah baligh, jadi ada batasan dalam hubungan. 

Kadang-kadang, saya mencuri-curi pandangan bila jemaah masjid keluar dari masjid selepas solat fardhu. Ada rezeki, boleh tengok dia. Dia antara pemuda yang istiqaamah untuk solat berjemaah di masjid. Sifat ini menarik hati saya. Setiap Aidil Fitri, saya akan menerima sekeping kad raya. Tulisan dan ucapannya ringkas. Tiada madah, tiada kata-kata puitis seperti saya. Yang saya pernah ingat, " Jika kita mencintai manusia, manusia akan mati, cintailah Allah kerana Dia kekal abadi".

Semasa saya ke UIAM, dia pula ke ITM Shah Alam. Hubungan kami hanya melalui kad raya sekali setahun atau surat, 2-3 kali setahun. Itu saja. Jumpa? Oh...jarang-jarang sangat. Itu pun terserempak dan bukannya dirancang. 

Sepanjang kami berhubung, tidak sesekali dia mengucapkan rasa cintanya kepada saya. Cuma pernah satu hari saya menulis surat kepada dia, menyatakan hubungan kita ini mungkin cinta monyet saja. Tiada ada apa-apa yang istimewa. Selepas beberapa bulan dia membalas surat dan menyatakan " Cinta kita ini bukan cinta monyet tetapi Cinta King Kong". Saya tersenyum sendiri sambil mencari-cari maksud tersirat dari kata-kata tersebut.

Walaupun saya suka dan cintakan dia pada masa itu tetapi saya tidak berkahwin dengan N. Secara jujur dan tulus ikhlas, saya yang meninggalkan dia. Kenapa ya? 

Pertama, dia tidak bersungguh menyintai saya dan saya sangat kecewa dengan sikap dia itu. Itu saja. Tidak perlu saya menyatakan secara terperinci apa maksud bersungguh ini. Saya bukan hendak menuding jari, siapa salah dan siapa betul. Cuma, saya ingin berkongsi di sini bahawa bagi seorang perempuan kami hanya mahu bukti bahawa kami betul dicintai dan akan dijadikan suri. Tidak perlu beg tangan GUCCI tetapi sudah memadai sekeping kad pengganti diri. 

Kami tidak mahu dibiarkan terkontang kanting, tanpa janji dan hala tuju nanti. Usia kami bukan semakin muda dan badan kami perlu kuat jika ada zuriat untuk dikendong ke sana sini. Kami juga berpegang pada nasihat Rasulullah SAW, jika ada pemuda yang baik akhlaqnya serta beriman orangnya, maka kahwinilah dia. Walaupun tiada cinta sesungguh hati tetapi kami yakin ia boleh di bajai dan tumbuh mekar harum bak limau kasturi. 

Salam sayang untuk semua...


*Saya juga mahu berundur diri*

Saturday, January 19, 2013

Kecewa

Kecewa.

Satu perkataan yang biasa kita dengar dan kita sebut. Samada dari orang lain atau dari diri sendiri. Sudah menjadi kemestian untuk kita melalui rasa kecewa dalam hidup.Kekecewaan adalah asam garam dan cuka gula kehidupan kita. Kita diuji dengan pelbagai cara, fizikal dan mental. Ini semua adalah "training" dan "intensive course" yang perlu kita ambil tanpa kita sedari, samada secara rasmi atau tidak rasmi.

Bagaimana rasanya kecewa itu? Tahap macam manakah perasaan kecewa itu.? 

Rasa hati disiat-siat dengan pisau. Ditoreh dengan sembilu. Ditabur dengan cuka, garam, asam limau, dettol dan sebagainya. Adoi! pedihnya. Perasaan malu pun ada diikuti dengan rasa rendah diri dan tidak berguna lagi. Ia adalah satu penyiksaan batin yang tidak terperi rasanya. 

Ya, memang pedih. memang luka berdarah. 

Berapa lama harus kita merasai kepedihan itu?

Terpulang pada individu. Mungkin satu minggu, satu bulan, bertahun atau mungkin selamanya kekal abadi di dalam diri. 

Sebenarnya tahap kekecewaan itu hanya sementara jika kita pandai menyusun jadual kehidupan kita.Mungkin juga bagaimana kita melihat peristiwa yg berlaku itu; positif atau negatif. ataupun mungkin bila kita dapat sesuatu yg lebih baik disebabkan oleh peristiwa itu. 

Yang penting, kita mesti hadapi kekecewaan itu dengan berlapang dada serta membuka ruang di hati agar boleh menerima nasihat, memberi peluang kali kedua dan ubah apa yang silap serta meneruskan kehidupan dgn lebih positif, aktif dan proaktif.

Marilah kita sama-sama berfikir dan melihat pada setiap kekecewaan itu sebagai satu pengalaman hidup. Satu pengajaran yang boleh kita ambil. Mudah2an dapat kita kongsikan dengan anak-anak, adik-adik atau pelajar-pelajar kita.

Selepas kecewa pasti ada bahagia menanti selagi mana kita yakin dengan rahmat Allah. Untuk bahagia kita perlu bersifat maaf, sabar dan redha.

Selamat berbahagia semua! :)

Thursday, November 15, 2012

Pandai ke saya menjahit?

Senang cerita, saya tak pandai menjahit. Sepanjang saya kahwin, kalau ada seluar anak koyak atau seluar suami koyak atau tercabut hook seluar atau kain saya ke, suami atau bibik yang jahitkan. Sekarang, bibik dah tak ada, jadi tugas menjahit diberi kepada suami yang tersayang.

Saya rasa memang tangan saya tidak ada seni langsung dalam menjahit, melukis atau pun membalut hadiah. Sememangnya saya ini Kerastangan bukannya Kraftangan.

Pernah sekali masa di kampung, seluar Lutfi koyak. Disebabkan kekurangan seluar maka saya mengagagahkan diri untuk menjahit. Minta  dengan ma, jarum dan benang. Ma pun bagi. Muka buat-buat confident. Ma tanya, " Jah tahu ke menjahit tu?" ( Ma pun tahu anak dia tak pandai, tapi agaknya dia fikir saya sudah belajar menjahit bila dah berkahwin). Dengan muka ala ala konfident, saya jawab, "boleh la sikit-sikit". 

Selepas beberapa minit, seluar Lutfi siap dijahit. Saya memberinya untuk dipakai. Dia cakap, " Hah? Macam ni jahit?" Saya jawab, " Lutfi, yang penting tak koyak dan lutfi boleh pakai seluar dan main sepak bola". Dengan muka teragak-agak, dia pakai seluar tu dan turun ke bawah untuk bermain bola. Selepas beberapa minit dia naik ke atas rumah dengan muka masam mencuka. " Mama, seluar ni koyak balik!" Ma mendengar dengusan Lutfi itu. " Jah jahit macam mana tu?" Adusss...memang termalu seround, dua round depan ma. Selepas ditengok, seluar yang tadi itu sudah koyak rabak. Lebih teruk dari sebelum dijahit.

Akhirnya, malam itu saya terpaksa ke kedai untuk membeli seluar baru untuk Lutfi.

p.s. Rasanya suami saya akan berfikir, rugilah kahwin orang macam saya ni...hmm...nanti saya tanya dia :)

Sunday, November 11, 2012

Sabar dalam ketaatan kepada Allah

Banyak peristiwa yang berlaku sejak seminggu lepas sehingga ada satu ketika itu saya terpaksa meng'deactivate'kan Facebook buat seketika. Terasa begitu tertekan dengan keadaan dan orang-orang tertentu. 

Kadang-kadang saya tersepit dicelah-celah kemelut antara beberapa pihak serta prinsip saya sendiri. Begitu mencabar minda dan fizikal saya.

Tetapi saya sendiri membuat pilihan untuk menerima tugas ini maka, saya mesti kuat dan tabah dan sesekali tidak akan  beralah dengan cabaran dan juga kemarahan dari pihak tertentu. Betul lah pepatah ada berkata, ikut hati, mati. Ikut rasa, binasa. Jadi, saya ikut iman agar hidup saya aman tenteram.

Bila ada orang berpendapat bahawa hudud tidak relevan dan tidak sepenting dengan masalah sosial atau pun masalah yg membabitkan masyarakat, saya rasa pandangan sedemikian adalah tidak komprehensif. Ianya terlalu mendatar. Tidak peka bahawa masalah sosial juga berkait rapat dengan persepsi masyarakat terhadap undang2 Islam. 

Satu lagi, hanya Kuliah Undang-Undang yang sesuai untuk bercakap pasal hudud. Hudud bukan milik PAS, bukan milik UMNO dan bukan milik mana-mana parti di Malaysia ini. Ianya milik semua manusia.Ia diturunkan agar memberi kemaslahatan kepada manusia di mukabumi Tuhan ini. Cuma, orang-orang PAS yang banyak bercakap pasal hudud, walhal ramai lagi ahli akademik yang non partisan yang boleh bercakap pasal isu ini.

Mudah-mudahan saya diberi kekuatan, kesabaran dan keberkatan dalam memperjuangkan undang-undang Islam dan juga shariah islamiyyah di negara kita ini. Sesungguhnya undang-undang Islam bukan sahaja tertakluk kepada hudud tetapi termasuk undang-undang Ta'zir yang memberi kuasa kepada pemerintah untuk menghukum pesalah2 jenayah dengan hukuman yang sesuai. 

Teringat saya kepada kata-kata Ibn al Qayyim tentang maksud Shariah. Katanya " Shariah itu bermaksud apa jua undang-undang yang memberi kemaslahatan dan keadilan kepada manusia"

Bak kata motto Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), "Shariah asas keadilan" :)

Saturday, November 3, 2012

Saat Manis di Aidil Adha 2012

Balik kampung untuk berhari raya Haji minggu lepas meninggalkan kenangan manis buat saya. Pertama, pada hari balik hendak pulang ke kampung, saya sekeluarga berpuasa sempena hari wuquf di Arafah. Pada tahun-tahun sebelum ini hanya saya seorang saja yang berpuasa, tapi kali ini anak-anak turut sama ( terutama Lutfi) serta Mere Zindagi. Macam biasa, kami menaiki pesawat balik ke Kota Bharu. Seingat saya tahun terakhir kami balik Kelantan menaiki kereta ialah pada tahun 2004. Selepas itu, saya dan anak2 sentiasa melalui jalan angin untuk pulang ke kampung.

Momen kedua ialah bila saya dapat membuat ibadah korban di kampung bersama-sama dengan adik beradik lain.Melihat bagaimana lembu kami dikorbankan membuat hati saya tersentuh sedikit tetapi cepat-cepat ingat bahawa lembu itu juga bersyukur menjadi "pilihan" untuk dikorbankan pada hari yang mulia itu.

Kemudian saya sendiri yang memotong daging bahagian saya dan dibagi2kan kepada jiran2 dan saudara mara di kampung. Semasa asyik memotong, saya teringat, dulu Ma lah yang sibuk memotong daging disamping menyiapkan makan tengahari untuk tetamu yg datang. Ma akan menjadi orang paling sibuk pada Hari Raya Haji. Alhamdulillah,  freezer yang saya belikan untuk Ma hampir 10 tahun lepas sangat berguna pada ma dan juga saudara mara lain.

Saat yg tidak dilupakan juga ialah bila mana saya serta makcik2 dan Ma memotong daging seberat hampir 40 kilo untuk dimasak sempena jamuan aqiqah anak sepupu saya. Itulah kali pertama memotong daging sebanyak itu. Maaf, tak sempat nak ambil gambar sebab sibuk dengan kerja2 di dapur. 

Mudah2an jika dipanjangkan umur ingin lagi saya bersama saudara mara lain membuat kerja-kerja begini pada masa akan datang. 

Wednesday, October 10, 2012

Satu Perkongsian

Bagaimana untuk saya memulakan bicara di dalam blog UstazahCinta ini? 

Sudah lama tidak menjenguk blog ini serta membalas komen-komen pembaca yang saya kasihi. Saya malu untuk menyatakn saya sibuk sebab saya rasa ramai lagi orang di luar sana yang lebih sibuk daripada saya. Sebenarnya saya yang tidak tahu menguruskan masa. Terlalu alpa mungkin dengan kerja-kerja lain.

Tiada topik yang khusus untuk saya bicarakan untuk kali ini. Hanya sekadar bercerita peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang ketiadaan saya.

Peristiwa pertama yang begitu mencengkam perasaan kecewa saya ialah Pilihanraya Kampus di UIAM. Pelbagai perasaan wujud di dalam hati sehingga menganggu tumpuan saya semasa mengajar. Tidak sanggup rasanya melihat wajah2 pelajar esok hari. Tetapi apa boleh buat, perkara sudah terjadi. Selepas 2-3 hari saya semakin tenang dan cuba mengelakkan diri dari membaca status2 FB pelajar agar tumpuan saya tidak hilang,

Selepas seminggu, pilihanraya dibuat semula. Alhamdulillah kali ini berjalan lancar tanpa ada gangguan2 dari anasir2 luar. Paling seronok bila pada waktu malam di mana saya turut serta melihat pengiraan undi dijalankan di Stadium Saidina Hamzah di UIAM. Kemudian saya diminta oleh pihak pengurusan untuk membuat pengumuman siapakah pemenang untuk AIKOL constituency. Perasaan berdebar mencengkam dada saya. Duk dak, duk dak hati saya berbunyi. Saya juga risau jika suara kedengaran seperti menggeletar. Semasa saya membaca nama-nama pemenang dengan melihat kertas yg disediakan satu persatu, tiba-tiba rasa keyakinan semakin menimbul. Kemudian saya mengangkat muka untuk melihat ke depan. MashaAllah! Ramainya orang dan banyaknya kamera mengambil gambar saya di rostrum.Lampu flash berkerlipan kiri kanan dan depan saya. Saya terhenti sejenak sambil berkata di dalam hati, "adakah aku hari ini seorang selebriti seperti anak saya, wafi, beritahu saya tempoh hari?"

Pengalaman di atas bmemberi peringatan pada diri bahawa tanggungjawab yang saya galas begitu besar pada pelajar2 saya. Sewajarnya saya berkhidmat dan berusaha untuk menjaga dan melindungi hak pelajar sebaik mungkin.

Selain dari itu saya juga sibuk memberi "autograf" pada setiap permohonan menganjurkan program, booking venue program, mengeluarkan duit utk pelajar dan macam-macam lagi. Tetapi ada satu borang permohonan pelajar yang membuat saya terkesima dan berfikir begitu bertuahnya diri saya ialah bila membelek borang permohonan pelajar2 miskin atau yatim piatu. Ada yang hanya bergantung pada gaji ibu yang berjumlah RM750 sebulan. Bapa meninggal dunia.Tinggal di Kuala Lumpur. Anak dua orang dan masih bersekolah.  Ada juga anak yatim piatu, ibu bapa sudah tiada. Adik beradik 7 orang. Semuanya masih belajar. Hidup bergantung pada pencen bapa berjumlah RM 350 sebulan disamping belas ihsan saudara mara. Bila saya melihat details dalam borang tersebut, hati saya bagai disiat-siat. Saya sangat beruntung.Baju tudung berlambak-lambak, sampai "terjeluwak" keluar dari bakul. 7 keluarga boleh hidup dengan pencen bapa RM 350 dan saya membeli baju raya bernilai RM399! Saya berasa sungguh malu...

Walaupun kerja bertambah dan masa juga penuh, tetapi pada masa yang sama, saya bersyukur juga kerana dengan pekerjaan ini saya lebih bersyukur pada Allah dengan apa yg saya ada. Walaupun tiada maid di rumah dan kebanyakan kerja rumah saya buat sendiri tetapi hati saya lebih tenang dan gembira. Sekarang saya sering ingatkan diri agar sentiasa ikhlas dalam setiap amalan. Hanya untuk Allah semata. Biar orang tidak suka dan tidak redha, janji kita yakin apa yg kita buat Allah redha. 

Jadikan diri kita pada hari ini lebih baik baik dari hari semalam.   

Sunday, September 23, 2012

Monolog Hati

Walau sesibuk mana pun kita, sediakan sedikit masa untuk diri sendiri dan orang-orang tersayang. Bertanyalah khabar jika kita tidak sempat untuk pergi menziarahi mereka. Hantarlah text message atau email sebagai jalan untuk mengukuh ukhuwwah Islamiyyah. Telefonlah orang tersayang dan beritahulah yang kita sayangkan mereka. 

Ketuklah pintu pejabat kawan-kawan dan beri salam serta bertanykan khabar mereka. Senyum dan bagilah salam jika terserempak dengan mereka.  

Jangan lupa meraikan juga tukang sapu sampah dan tukang cuci di kawasan pejabat. Tanpa mereka, kita tidak dapat bekerja dengan selesa. Bagilah salam dan sebutlah nama mereka.

Jangan lupa untuk menghantar berita dan  bertanya khabar pelajar-pelajar kita semester lepas. Cuba ingat apa masalah mereka. Cuba ingat apa yang membuat mereka gembira. Cuba ingatkan mereka juga  untuk datang berjumpa dengan kita jika ada apa-apa yang perlu untuk dikongsi bersama.

Akhir sekali, jangan lupa juga masa untuk kita. Masa untuk muhasabah diri, masa untuk diri sendiri dan masa untuk menilai diri. Apa yang kita buat untuk hari ini. Sentiasa istiqaamah dalam ibadat sunat dalam hidup kita. Bacalah Quran, Sayyidul Istighfar, sentiasa dalam wuduk, Dhuha jangan ditinggal, bersedeqah sentiasa, solat pada waktunya dan yang paling penting, niat dalam setiap amalan hidup kita hanya untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.


Hidup dan matiku hanya untuk Allah sahaja.... 

Thursday, September 20, 2012

Sometimes it is better to be kind than to be right...

Ramai orang bercakap pasal "Hak". "Ini hak saya sebagai isteri, ini hak saya sebagai suami!" Kata-kata sebegini selalu kita dengar di dalam hal ehwal rumahtangga. Begitu juga dalam alam pekerjaan, hak sebagai pekerja,  mahupun dalam sebuah negara, hak kita sebagai rakyat. 

Bila kita meminta hak kita, itu adalah betul. "when we talk about our rights, yes, it is right". Tetapi  kadang-kadang bila kita terlalu memihak dan meminta hak kita saja, kita akan jadi terlepas pandang pada hak orang di sekeliling kita dan juga orang2 yang kita sayang. Akhirnya kita dapat yang kita mahu tetapi ada pula orang yang menderita atas sikap kita itu.

Dengan suami contohnya, bila suami buat salah dan kita menegur kesalahan dia. Suami pula memang sudah maklum yang orangnya mudah naik darah bila ditegur dan akibatnya dia tidak mahu bertegur sapa dengan kita sehingga menganggu urusan rumahtangga lain. Adakah kita akan terus menegakkan yang benar? Kalaulah kesalahan itu kecil sahaja, bagi saya kita lebih baik kita diam dan melihat jika ada peluang2 lain utk kita menegur dia. Lebih baik kita jadi "baik" dari kita menuntut "hak" kita. Saya rasa tiada ruginya untuk kita jadi "baik" daripada menjadi "betul" kerana dengan menjadi baik, urusan rumahtangga berjalan dengan lancar, anak-anak pun tidak terganggu fikiran mereka dengan sikap ibubapa yang terlalu mementingkan hak mereka.  

Seorang suami yang baru sahaja sampai di rumah selepas sehari suntuk bekerja. Mungkin dia mengharapkan si isteri menyambutnya di depan pintu. Tetapi isterinya pula sedang tidur nyenyak di dalam bilik selepas berhempas pulas di dapur atau melayan anak kecil lain. Itu hak suami untuk disambut oleh isteri. Hak suami juga untuk marah dan menegur isteri. Tidak salah juga jika suami menjadi baik serta bertimbangrasa dan memaafkan si isteri yang tertidur daripada meminta haknya.

Begitu juga, jika kita sebagai ibubapa. Adalah menjadi hak kita untuk mendisiplinkan anak-anak jika mereka nakal. Adakah kita akan terus menjalankan hak kita di mana saja atau apa saja bentuk kesalahan yang dibuat? Atau tidak kira berapa usia si anak, maka kita terus mendisiplinkan mereka. Sebaik-baiknya tengoklah jenis kesalahan anak-anak, besar atau kecil, adakah satu tabiat atau pertama kali. Adakah anak itu tahu yang itu adalah satu kesalahan dan adakah kita sudah memberi amaran ataupun tidak sebelum itu. Jadi, lebih baik kita menjadi "baik' dari menjadi "betul" semata-mata untuk menunjukkan itu hak kita. Saya rasa ibubapa pun ramai yang membuat kesilapan. tetapi sebagai anak kita sepatutnya melihat kesalahan ibubapa tersebut dengan penuh rasa ihsan sambil berdoa, mudah2an mereka akan sedar suatu hari nanti. 
  

Saya lebih suka mengambil sikap sabar dan berdoa disamping melakukan usaha-usaha lain daripada terus melabelkan sesiapa dengan karekter-karekter yang jahat. Kenapa perlu bersabar dan berdoa? Kerana itulah tandanya kita adalah  manusia bijaksana. Tetapi jika kita hendak menunaikan hak kita dan kita yakin kita betul, tidak salahnya untuk menegakkan hak kita. Sebab itulah saya nak tekankan di sini, kadang-kadang lebih baik kita menjadi baik daripada menjadi betul. Sudah banyak kes-kes dapat diselesai dengan cara sebegini.  Di dalam al Quran, Allah ada berfirman agar kita sentiasa mengambil langkah berbincang atau pun sulh. Sulh adalah sebaik-baik cara untuk menyelesaikan masalah. Di samping itu kita juga jangan cepat melatah dan mudah menuduh orang itu, begini dan begitu. Cuba muhasabah diri dan yang paling penting, kembali lah pada Allah. 


Janji Allah itu pasti!

Saturday, September 8, 2012

Mini Celebrity?

Wafi: Mama patut ada twitter la..
Mama: I thought twitter is meant for public figures or celebrities.
Wafi: Mama, you are a celebrity too.
Mama: Hah? I am not.
Wafi:  You are a mini celebrity...hehe


I think what my son, wafi, meant was, since I am a blogger I have some followers. As of today I have 149 followers. Actually, I dont like the odd number. Who will be my 150th follower? :) 

Anyway, what say you about me opening a Twitter account? I need your feedback. My twitter's name should be UstazahCinta.  

Till then, Happy Reading!

Friday, September 7, 2012

Kecil hati atau Besar hati?

Kalau ditanya, mana satu yang kita mahu; kecil hati atau besar hati? Saya yakin semua orang akan memberi jawapan yang sama iaitu mereka mahu besar hati. 

Tetapi tahukah, bahawa ramai yang mengamalkan sifat kecil hati dari besar hati? 

Orang yang mempunyai sifat mudah kecil hati adalah orang yang mempunyai masalah dengan diri sendiri. Walaupun mereka sebenarnya kecil hati dengan orang lain atau orang sekeliling tetapi mereka ini sebenarnya orang yang mementingkan diri sendiri. Mereka juga merasakan kebahagiaan dan ketenangan hidup mereka bergantung kepada orang lain. Mereka juga tidak pasal-pasal menyusahkan diri sendiri dan membiarkan orang lain enjoy melihat kita menderita. Sebagai contoh, orang menyindir serta mengata pada saiz badan kita selama 10 saat. Kita termakan serta terasa dengan sindiran itu hingga menyebabkan kita tak lalu makan, tak nak keluar rumah, tak boleh tidur malam selama 10 bulan. Jadi, siapa yang rugi di sini? Kita kan? 

Kecil hati adalah sifat "attention seekers". Mereka mahu dikenali, mahu menjadi perhatian dan ingin menjadi "celebrity". Maksud saya di sini, sifat kecil hati ini  ada pada semua benda dalam diri mereka. Orang tak tegur, kita kecil hati. Orang tak senyum, kita kecil hati. Orang tak jemput datang ke rumah terbuka pun kita kecil hati. MashaAllah! Sifat kecil hati ini adalah sifat yang boleh memundurkan kita. Lebih parah lagi, jika sifat sebegini kita semaikan pada anak-anak kita.

Saya rasa, cukuplah! Kepada sesiapa yang ada sifat sebegini, berhentilah. Ia memudaratkan diri dan menjadi kita akan mendapat banyak penyakit di kemudian hari. 

Kalau orang tak tegur kita, kita tegur dia. Kalau dia tak jawab teguran kita, biarkan saja. Kita tetap bahagia. Sebab kebahagiaan kita bukan bergantung pada jawapan dia. Orang tak jemput ke kenduri dia. Tak jadi masalah. Kita akan tetap bahagia sebab kita boleh menggunakan masa tersebut untuk keluarga atau diri. Mungkin, kenduri itu untuk orang2 tertentu sahaja dan jika kita ke sana kita akan jadi lebih menderita jika kita gagal untuk menyesuaikan diri dengan tetamu2 lain. Dengan kata lain hendaklah kita bersangka baik dengan orang lain. 

Orang yang mempunyai besar hati ialah orang yang mempunyai banyak ruang dalam hati dia. Ruang untuk gembira, sedih, maaf, lupa, redha dan sebagainya. Mungkin juga ada ruang untuk kecil hati tetapi ruang itu sangat sempit. Sifat2 negatif dalam ruang2 itu adalah sangat kecil dan mudah hilang sebab ruang yang ada sifat positif lebih menguasai hati kita. Jika hati kita besar, kita akan lebih ceria dan hidup lebih gembira. 

Kita hanya patut kecil hati jika agama Islam kita dipermainkan oleh orang lain. Dan sebenarnya bukan setakat kecil hati, kita juga perlu bangkit dan menangkis segala tohmahan itu. Jika ada peruntukan undang2 hendaklah kita mengambil tindakan sewajarnya pada orang tersebut.

Mudah-mudahan dengan membaca entri saya kali ini, kita semua akan lebih ceria dan membuang segala sifat-sifat negatif dalam diri kita. amin :)