Powered By Blogger
Showing posts with label personal note. Show all posts
Showing posts with label personal note. Show all posts

Sunday, January 20, 2013

Cinta King Kong

Biasa kita dengar cerita monyet ataupun puppy's love. Orang kata cinta sebegini adalah cinta yang datang dan pergi. Cinta yang hanya singgah dan bertenggek di dalam hati untuk seketika saja. Bila angin datang, ia mudah goyah dan berlalu pergi.

Satu kisah benar yang ingin saya kongsi di sini.

Semasa saya belajar di sekolah rendah, saya juga bertemu dengan seorang budak lelaki  yang sebaya dengan saya, sekampung, sekelas dan teman sepermainan saya. Kami berkawan dan sekelas sejak dari darjah satu hinggalah ke darjah 5.( saya tidak belajar di darjah 6 kerana saya sudah berada di MMP pada masa itu). Kami sangat rapat dan sering belajar bersama. Di dalam kelas dia sering berada di tempat pertama. Ada sekali dua saya berjaya memintas dia. Dia sangat pandai dalam sabjek Ilmu Hisab atau pun dikenali sekarang dgn nama Matematik.

Pada suatu hari seorang lagi kawan sekelas saya, (WR) ada memberitahu saya sesuatu. " Jah, ada orang sukakan Jah tau". "Siapa tu, WR?", saya bertanya balik. Dalam hati saya berbunga-bunga. Hehe. Jawab WR, "orangnya ialah N". Pada masa itu usia saya 10 tahun. Rasanya, saya tidak faham apa makna "Cinta". Yang saya tahu, apa itu "Suka". Suka sudah cukup buat saya gembira sebab saya juga sukakan dia. Saya suka dia  sebab dia pandai dan baik.

Selepas dari perbualan itu, saya dengan N dan WR tetap berkawan seperti biasa. Melompat, berlari, bermain serembat, main ddecok dan berjalan mengelilingi Kampung Penambang bersama-sama.  

Bila saya ke MMP, hubungan kami tidak serapat dulu. Pertama, sekolah lain-lain dan yang kedua, kami semakin besar dan sudah baligh, jadi ada batasan dalam hubungan. 

Kadang-kadang, saya mencuri-curi pandangan bila jemaah masjid keluar dari masjid selepas solat fardhu. Ada rezeki, boleh tengok dia. Dia antara pemuda yang istiqaamah untuk solat berjemaah di masjid. Sifat ini menarik hati saya. Setiap Aidil Fitri, saya akan menerima sekeping kad raya. Tulisan dan ucapannya ringkas. Tiada madah, tiada kata-kata puitis seperti saya. Yang saya pernah ingat, " Jika kita mencintai manusia, manusia akan mati, cintailah Allah kerana Dia kekal abadi".

Semasa saya ke UIAM, dia pula ke ITM Shah Alam. Hubungan kami hanya melalui kad raya sekali setahun atau surat, 2-3 kali setahun. Itu saja. Jumpa? Oh...jarang-jarang sangat. Itu pun terserempak dan bukannya dirancang. 

Sepanjang kami berhubung, tidak sesekali dia mengucapkan rasa cintanya kepada saya. Cuma pernah satu hari saya menulis surat kepada dia, menyatakan hubungan kita ini mungkin cinta monyet saja. Tiada ada apa-apa yang istimewa. Selepas beberapa bulan dia membalas surat dan menyatakan " Cinta kita ini bukan cinta monyet tetapi Cinta King Kong". Saya tersenyum sendiri sambil mencari-cari maksud tersirat dari kata-kata tersebut.

Walaupun saya suka dan cintakan dia pada masa itu tetapi saya tidak berkahwin dengan N. Secara jujur dan tulus ikhlas, saya yang meninggalkan dia. Kenapa ya? 

Pertama, dia tidak bersungguh menyintai saya dan saya sangat kecewa dengan sikap dia itu. Itu saja. Tidak perlu saya menyatakan secara terperinci apa maksud bersungguh ini. Saya bukan hendak menuding jari, siapa salah dan siapa betul. Cuma, saya ingin berkongsi di sini bahawa bagi seorang perempuan kami hanya mahu bukti bahawa kami betul dicintai dan akan dijadikan suri. Tidak perlu beg tangan GUCCI tetapi sudah memadai sekeping kad pengganti diri. 

Kami tidak mahu dibiarkan terkontang kanting, tanpa janji dan hala tuju nanti. Usia kami bukan semakin muda dan badan kami perlu kuat jika ada zuriat untuk dikendong ke sana sini. Kami juga berpegang pada nasihat Rasulullah SAW, jika ada pemuda yang baik akhlaqnya serta beriman orangnya, maka kahwinilah dia. Walaupun tiada cinta sesungguh hati tetapi kami yakin ia boleh di bajai dan tumbuh mekar harum bak limau kasturi. 

Salam sayang untuk semua...


*Saya juga mahu berundur diri*

Sunday, September 23, 2012

Monolog Hati

Walau sesibuk mana pun kita, sediakan sedikit masa untuk diri sendiri dan orang-orang tersayang. Bertanyalah khabar jika kita tidak sempat untuk pergi menziarahi mereka. Hantarlah text message atau email sebagai jalan untuk mengukuh ukhuwwah Islamiyyah. Telefonlah orang tersayang dan beritahulah yang kita sayangkan mereka. 

Ketuklah pintu pejabat kawan-kawan dan beri salam serta bertanykan khabar mereka. Senyum dan bagilah salam jika terserempak dengan mereka.  

Jangan lupa meraikan juga tukang sapu sampah dan tukang cuci di kawasan pejabat. Tanpa mereka, kita tidak dapat bekerja dengan selesa. Bagilah salam dan sebutlah nama mereka.

Jangan lupa untuk menghantar berita dan  bertanya khabar pelajar-pelajar kita semester lepas. Cuba ingat apa masalah mereka. Cuba ingat apa yang membuat mereka gembira. Cuba ingatkan mereka juga  untuk datang berjumpa dengan kita jika ada apa-apa yang perlu untuk dikongsi bersama.

Akhir sekali, jangan lupa juga masa untuk kita. Masa untuk muhasabah diri, masa untuk diri sendiri dan masa untuk menilai diri. Apa yang kita buat untuk hari ini. Sentiasa istiqaamah dalam ibadat sunat dalam hidup kita. Bacalah Quran, Sayyidul Istighfar, sentiasa dalam wuduk, Dhuha jangan ditinggal, bersedeqah sentiasa, solat pada waktunya dan yang paling penting, niat dalam setiap amalan hidup kita hanya untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.


Hidup dan matiku hanya untuk Allah sahaja.... 

Thursday, September 20, 2012

Sometimes it is better to be kind than to be right...

Ramai orang bercakap pasal "Hak". "Ini hak saya sebagai isteri, ini hak saya sebagai suami!" Kata-kata sebegini selalu kita dengar di dalam hal ehwal rumahtangga. Begitu juga dalam alam pekerjaan, hak sebagai pekerja,  mahupun dalam sebuah negara, hak kita sebagai rakyat. 

Bila kita meminta hak kita, itu adalah betul. "when we talk about our rights, yes, it is right". Tetapi  kadang-kadang bila kita terlalu memihak dan meminta hak kita saja, kita akan jadi terlepas pandang pada hak orang di sekeliling kita dan juga orang2 yang kita sayang. Akhirnya kita dapat yang kita mahu tetapi ada pula orang yang menderita atas sikap kita itu.

Dengan suami contohnya, bila suami buat salah dan kita menegur kesalahan dia. Suami pula memang sudah maklum yang orangnya mudah naik darah bila ditegur dan akibatnya dia tidak mahu bertegur sapa dengan kita sehingga menganggu urusan rumahtangga lain. Adakah kita akan terus menegakkan yang benar? Kalaulah kesalahan itu kecil sahaja, bagi saya kita lebih baik kita diam dan melihat jika ada peluang2 lain utk kita menegur dia. Lebih baik kita jadi "baik" dari kita menuntut "hak" kita. Saya rasa tiada ruginya untuk kita jadi "baik" daripada menjadi "betul" kerana dengan menjadi baik, urusan rumahtangga berjalan dengan lancar, anak-anak pun tidak terganggu fikiran mereka dengan sikap ibubapa yang terlalu mementingkan hak mereka.  

Seorang suami yang baru sahaja sampai di rumah selepas sehari suntuk bekerja. Mungkin dia mengharapkan si isteri menyambutnya di depan pintu. Tetapi isterinya pula sedang tidur nyenyak di dalam bilik selepas berhempas pulas di dapur atau melayan anak kecil lain. Itu hak suami untuk disambut oleh isteri. Hak suami juga untuk marah dan menegur isteri. Tidak salah juga jika suami menjadi baik serta bertimbangrasa dan memaafkan si isteri yang tertidur daripada meminta haknya.

Begitu juga, jika kita sebagai ibubapa. Adalah menjadi hak kita untuk mendisiplinkan anak-anak jika mereka nakal. Adakah kita akan terus menjalankan hak kita di mana saja atau apa saja bentuk kesalahan yang dibuat? Atau tidak kira berapa usia si anak, maka kita terus mendisiplinkan mereka. Sebaik-baiknya tengoklah jenis kesalahan anak-anak, besar atau kecil, adakah satu tabiat atau pertama kali. Adakah anak itu tahu yang itu adalah satu kesalahan dan adakah kita sudah memberi amaran ataupun tidak sebelum itu. Jadi, lebih baik kita menjadi "baik' dari menjadi "betul" semata-mata untuk menunjukkan itu hak kita. Saya rasa ibubapa pun ramai yang membuat kesilapan. tetapi sebagai anak kita sepatutnya melihat kesalahan ibubapa tersebut dengan penuh rasa ihsan sambil berdoa, mudah2an mereka akan sedar suatu hari nanti. 
  

Saya lebih suka mengambil sikap sabar dan berdoa disamping melakukan usaha-usaha lain daripada terus melabelkan sesiapa dengan karekter-karekter yang jahat. Kenapa perlu bersabar dan berdoa? Kerana itulah tandanya kita adalah  manusia bijaksana. Tetapi jika kita hendak menunaikan hak kita dan kita yakin kita betul, tidak salahnya untuk menegakkan hak kita. Sebab itulah saya nak tekankan di sini, kadang-kadang lebih baik kita menjadi baik daripada menjadi betul. Sudah banyak kes-kes dapat diselesai dengan cara sebegini.  Di dalam al Quran, Allah ada berfirman agar kita sentiasa mengambil langkah berbincang atau pun sulh. Sulh adalah sebaik-baik cara untuk menyelesaikan masalah. Di samping itu kita juga jangan cepat melatah dan mudah menuduh orang itu, begini dan begitu. Cuba muhasabah diri dan yang paling penting, kembali lah pada Allah. 


Janji Allah itu pasti!

Saturday, September 8, 2012

Mini Celebrity?

Wafi: Mama patut ada twitter la..
Mama: I thought twitter is meant for public figures or celebrities.
Wafi: Mama, you are a celebrity too.
Mama: Hah? I am not.
Wafi:  You are a mini celebrity...hehe


I think what my son, wafi, meant was, since I am a blogger I have some followers. As of today I have 149 followers. Actually, I dont like the odd number. Who will be my 150th follower? :) 

Anyway, what say you about me opening a Twitter account? I need your feedback. My twitter's name should be UstazahCinta.  

Till then, Happy Reading!

Saturday, July 28, 2012

Ma, saya dan sahur

Setiap kali saya di dapur menyediakan juadah sahur untuk keluarga, saya pasti teringat pada Ma di kampung. Suasana waktu sahur yang ketika itu jauh dari bunyi bising dan hiruk pikuk suara anak-anak jiran, membuat saya mudah mengimbau kenangan lalu. Ingatan pada Ma akan lebih menjadi-jadi setiap kali saya mengemas mangkuk pinggan yang telah dicuci semalam. Teringat pada Ma kerana bila saja saya masuk ke dapur untuk bersahur, akan kelihatan Ma sibuk mencuci pinggan mangkuk sambil menggoreng atau memasak apa-apa di sebelah dapur gas. Ma hanya bersendirian di dapur tanpa ditemani oleh sesiapa.

Kemudian bila saja mencedok nasi ke pinggan untuk anak-anak dan suami, saya juga teringat semasa saya di sekolah rendah dan menengah, bila saya bangun sahur selepas dikejutkan Ma, tengok-tengok nasi sudah sedia terhidang di dalam pinggan masing-masing dan menunggu masa untuk di suap ke dalam mulut. Selepas makan, kami membasuh pinggan masing-masing dan terus tidur (masa ini di sekolah rendah). Tiada rasa  ihsan untuk menolong Ma di dapur pada masa itu. 

Kadang-kadang ada juga di kalangan adik beradik yang susah nak bangun sahur walaupun sudah beberapa kali dikejutkan oleh Ma. Kesian tengok Ma, yang tak puas makan, bila asyik masuk keluar bilik mengejut sesiapa yang liat nak bangun. Bila saya mengejut anak-anak dan suami untuk bangun makan sahur, saya tanam dalam diri agar jadi sesabar Ma.

Seingat saya, bila usia menganjak ke umur 16 tahun, saya mula menjadi manusia lebih bertanggungjawab kepada Ma. Kadang-kadang saya tersedar sendiri dari tidur bila mendengar mangkuk pinggan berlaga atau bunyi ikan digoreng dalam kuali. Bila saya bangun, saya akan bertanya Ma apa lagi yang perlu dibuat. Saya nampak macam lega bila ada yang membantu di dapur. Walaupun tidak banyak yang saya tahu pasal masak memasak ini tetapi kehadiran saya untuk menemani Ma di dapur pada waktu kira-kira jam 4.30 pagi membuat Ma rasa gembira. Ada juga,  saya yang bangun dulu dan mengejutakn Ma dari tidur.Kadang-kadang rasa bersalah pula, kenapalah aku ni lambat matang dan lambat memahami perasaan Ma.
 

Pesanan saya kepada orang-orang di luar sana yang masih punya ibu, cukuplah kita menyusahkan ibu di kala kita sudah berumahtangga dan beranak pinak. Jangan sesekali membiarkan ibu kita mengasuh anak kita setiap masa. Janganlah kita meletak anak-anak kita  di rumah ibu tidak kira masa dan ketika tanpa ada rasa timbang rasa. Ibu kita sudah banyak berkorban untuk kita sejak dari kecil. Jangan membiarkan ibu membasuh pinggan yang kita makan dan gelas yang kita minum. Cukuplah..cukuplah...

Saya doakan Ma dan Abah sentiasa diberi kesihatan yang baik agar mereka dapat beribadat dan meluangkan masa bersama-sama. Kepada adik-adik dan kakak, marilah kita berbakti kepada Ma dan Abah dengan membuat mereka gembira dan sesekali tidak menyusahkan hidup mereka. Apa yang mereka buat semasa kita kecil adalah tanggungjawab mereka kepada kita. Sekarang, adalah tanggungjawab kita untuk menjaga hati mereka. Ingatlah, apabila Ma senyum pada kita tidak semestinya Ma redha dengan kita....beringatlah. Kadang-kadang jauh di sudut hati Ma, mungkin hatinya terluka.

Teringat saya satu hadis; " Tiap-tiap dosa bisa diundurkan oleh Allah sehingga ke hari kiamat, melainkan kederhakaan kepada ibu bapa, nescaya akan dipercepatkan balasan kepada si penderhaka sebelum dia mati".

Ma, maafkan dosa-dosa kami....




Monday, July 16, 2012

My survival kit

Sepanjang masa di Makkah dan Madinah, inilah sling bag yang digalas setiap hari keluar masuk  masjid atau ke mana saja saya pergi. Yang paling penting adalah air. Botol air ini saya akan isi dengan air zam zam setiap kali saya keluar dari masjid. Air mukjizat ini adalah air seharian saya.

Gambar di bawah menunjukkan bahagian belakang beg yang saya isi dengan beberapa duit riyal; 1 riyal hinggalah 5 riyal. Duit ini digunakan untuk diberi kepada pekerja-pekerja di Masjid. Tisu pun ada.


 

Inilah kandungan dalam beg di atas. Ada cermin mata hitam di dalam bekas spek yang berwarna krim. Ada plastik berwarna oren yang saya gunakan untuk mengisi selipar yang dipakai sebaik saja masuk ke dalam masjid. Yang berwarna hitam empat segi itu adalah Quran yang akan dibaca sambil menunggu azan masuk atau setiap kali ada masa senggang. Alhamdulillah, saya dapat khatam Quran di Masjid Nabawi pada hari ke 9 saya di sana. Yang berwarna putih tinggi itu ialah krim SPF yang selalu saya oleskan ke muka sebelum keluar dari hotel. Di bawah lotion SPF ada compact powder yang saya pakai bila perlu saja. Saya juga tidak lupa meletakkan lip balm yang kelihatan berwarna pink dalam gambar ini. Tetapi bila dipakai, sebenarnya ia tidak berwarna. Tisu basah dettol digunakan untuk mengelap tangan atau apa2 yang patut. Saputangan berwarna ungu cerah digunakan untuk dilapik atas karpet di masjid dan dijadikan alas tempat saya bersujud. Akhir sekali, iPhone saya yang tak lupa untuk dibawa ke mana saja sepanjang di sana. iPhone inilah yang menjadi alat komunikasi saya untuk bertanya khabar orang-orang yang saya sayangi atau mengemaskini status FB saya bila ada wifi connection di lobby hotel. 




Saturday, June 9, 2012

Jah! Sanah Helwah..

Kenyataan di atas adalah ucapan Selamat Ulangtahun kepada diri saya sendiri. Membuat ucapan pada diri agar terus istiqamah di dalam perjuangan, ibadah dan amalan-amalan baik lain. Seharusnya saya mesti menghargai diri sendiri sebelum orang lain dapat menghargai diri saya.
Syukur kepada Allah kerana diberi peluang untuk hidup sehingga ke angka ini. Masih tergapai-gapai mencari kekuatan hidup. Masih membilang-bilang amalan yang dibuat selama ini. Ikhlas kerana Allah kah atau dibuat kerana manusia atau suasana sekeliling?

Walaupun usia sudah melebihi angka 40 tetapi rasanya hati tetap muda. Muda, sebab sentiasa dikelilingi oleh orang-orang muda terutama pelajar-pelajar yang bertukar bersilih ganti. Masih lagi suka membeli alat-alat tulis, cenderamata yang kecil-kecil, masih lagi membelek anak-anak patung jika ada peluang. Masih lagi bergosip-gosip dengan pelajar-pelajar saya yang masih muda.

Saya juga berasa muda setiap kali balik kampung, berjumpa dengan Ma dan Abah yang masih lagi memanggil saya, "Jah,jah..." Setiap kali dipanggil begitu, terasa seperti masih lagi anak kecil pada ma dan abah. Ah! sebak pula rasanya bila disebut nama-nama keramat itu.

Menurut ibu saya lahir pada hari Isnin pada jam 4.30 pagi. Menurut ibu lagi, semasa kecil saya mempunyai selera makan yang sangat tinggi. Dengan kata lain, saya suka makan! Apa saja yang diberi atau ditawar, saya akan makan. Tiada istilah tidak sedap pada saya. Tiada perkataan "tidak" pada setiap makanan yang ditawar pada saya. Jika, adik-adik lain, makan biskut 1 keping sahaja di kala usia 7-10 bulan , saya pula boleh menghabiskan 2 keping setengah! Padan la badan saya besar sampai sekarang. Lagi satu, jika saya demam pun, saya tetap berselera untuk makan. Sebab itu  ibu cakap, demam saya tak melarat. Cukup 2-3 hari saya sudah sembuh.

Saya diberi mimum susu botol dari usia 1 tahun lebih dan hinggalah hampir mencecah umur 3 tahun. Ibu tidak tahu macam mana hendak membuat saya berhenti minum susu botol sebab saya sudah "bergantung" sangat pada botol. Suatu hari, botol saya jatuh ke dalam longkang dan boleh nampak botol itu terapung. Jadi, setiap kali saya meminta susu, ibu akan bertanya " mana botol susu Jah?" maka saya akan berlari ke lantai dan lihat diantara celah-celah kayu lantai di mana botol saya yang kelihatan di situ. Lama kelamaan saya faham yang saya kena minum susu melalui cawan.

Semasa umur 9-10 tahun, menurut ibu, saya selalu "berderak". Keluar dengan kawan-kawan atau sepupu dan bermain di rumah mereka sehingga lupa nak balik rumah sebelum waktu maghrib. Ada juga saya sampai tertidur di rumah sepupu. Takut nak balik, saya akan meminta nenek tolong beritahu ibu atau abah. Saya juga  suka bermain di tepi sungai Kelantan di belakang rumah sepupu saya. Mengambil buah timun cina (tembikai) yang orang tanam dan makan sambil menyorok-nyorok takut tuan punya timun itu nampak. Oleh kerana kami tiada pisau untuk membelah timun itu maka kami akan menghentak atas pasir agar buah itu pecah dua. owh..nakal juga rupanya. Kadang-kadang saya akan mengutip etak ( kelate; etok) di tepi sungai dan menyalai di rumah sepupu. Suka sangat kekoh etak masa dulu. Sekarang, bila tengok etok, hati saya terusik dengan kenangan lalu. Yang sedihnya sekarang saya sudah hilang kemahiran mengekoh etak. Saya juga suka main bola cap kaki tiga. adoi..sedap sungguh mengejar orang  dan membaling bola ke badan mangsa. Nikmat yang tidak terkata!   

Saya suka makan kari ikan masakan ibu. Biasanya ibu guna ikan Mmuduk ( Jemuduk) untuk membuat kari ikan. Kalau saya membuat permintaan sedemikian ibu akan memberi syarat, yang saya sendiri akan meminta daun kari dari sebuah rumah jiran yang berdekatan. Sebenarnya jiran itu tidak begitu mesra dan kadang-kadang dia menghalau kanak-kanak (termasuk saya) yang selalu bermain dan berbuat bising berdekatan dengan rumah dia. Kari ikan punya pasal, saya tebalkan muka walaupun kena marah, datang untuk meminta izin untuk mengutip daun kari di kawasan rumah dia. Satu lagi lauk kegemaran saya ialah bayam masak lemak dicampur dengan ubi keledek. Seingat saya, jika saya balik kampung, ibu akan masak lauk ini pada saya sehingga ke hari ini.

Banyak sekali yang hendak dikongsi tetapi rasanya cukuplah setakat ini sahaja. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang masih memberi pinjam pada saya ingatan yang kuat untuk mengingati kisah-kisah lampau. Semua yang berlaku dalam hidup saya, tidak sesekali saya menyesal. Walaupun pernah ditarik telinga,  dimarah, dipukul oleh ma abah dan sebagainya, saya akui semua itu adalah dari kenakalan saya. Semua itu mendidik saya sehingga saya berasa sendiri apa perasaan menjadi ibu bapa pada hari ini. Keinginan untuk berubah dan dengan izin serta rahmah Allah, menjadikan saya hari ini.

Saya mohon kemaafan kepada orang-orang yang pernah menjadi mangsa saya semasa kecil. Mohon maaf juga pada sepupu-sepupu yang saya banyak menghabiskan masa bersama mereka. Bergurau senda dan berbual mesra, pasti ada terkasar bahasa. Maaf dipinta.


Tidak lupa, saya ingin berterimakasih kepada guru-guru saya walau di mana mereka berada. Walaupun saya tahu sudah ramai yang sudah pergi dari alam fana' ini, tetapi paling saya tidak lupa ialah guru yang mengajar mengaji Quran  iaitu Pak Cik Man yang pergi pada tahun 2007. Setiap kali saya mengaji Quran, tidak lupa saya memohon kepada Allah agar sampaikan pahala bacaan saya kepada arwah.

Di bawah ini saya sertakan "dalil" atau "hujjah" yang saya lahir pada 9 Jun 1969 dan diberi nama Ramizah Wan Muhammad ...  :)



                                                                         ^
                                                                         ^
                                                                         ^
                                                                         ^
                                                                         ^





p.s. Sanah Helwah Ya Enta..Enta daiman fi qalbi..wa ana daiman fi qalbik :)

Monday, May 14, 2012

warna pink@bungo ppulut...


Bila ada orang bertanyakan apakah warna kegemaran saya, agak sukar untuk diberi jawapan sebenarnya. ini disebabkan saya suka semua warna hatta hitam sekalipun jika kena gaya, keadaan ataupun jika digabung dengan warna-warna lain. Semasa muda remaja dulu, suka sangat warna-warna gelap atau kelabu atau pun warna-warna orang tua, senang cakap. Rasa tak selesa bila pakai warna-warna terang kerana terasa seperrti outstanding dan outshining!
Bila saya sudah bersuami, rupanya suami tak suka warna2 sedemikian. Katanya seolah-olah saya mendoakan dia cepat2 mati bila pakai warna-warna gelap. Adoi! Ke situ pulak fikirannya. Apa2 pun, saya mula menukar selera kepada warna2 cerah agar suami lebih ceria dengan warna baju yang saya pakai.

Saya suka juga warna pink. atau pun warna merah jambu. di Kelantan warna pink dipanggil bunga pulut.hehe. biasalah orang Kelantan, nama2 yg dipanggil lain dari yg lain. Ada juga baju warna pink yg digabung dengan warna2 lain. Tetapi saya tak pernah lagi pakai stokin warna pink sehinggalah minggu lepas. Inilah warna stokin yang saya baru beli dan dipakai semasa balik ke kampung minggu lepas. Eh, cantik jugakkan? Matching dengan kasut dan warna baju yg dipakai... :)


Tuesday, May 8, 2012

Minyak Zam Zam




Hujung minggu lepas, seorang saudara menelefon saya bertanyakan mengenai hukum mewarnakan rambut. Saudara saya ini, umurnya awal 30an tetapi, menurut kata dia, banyak rambut di kepalanya sudah bertukar warna dari warna hitam ke putih sehingga menimbulkan reaki yg kurang sihat dari suaminya. Selepas berbual-bual dan mencapai kata sepakat, saya turut memberitahu dia, bahawa penjagaan rambut agar tidak cepat beruban ini bermula dari kecil lagi. Walaupun sudah terlambat untuk memulakan amalan ini, saya rasa, " better late than never". Mulakan juga dari sekarang :)

Selepas selesai bercakap, saya teringat pada zaman kecil dulu, sekitar umur 7-12 tahun. Ibu saya selalu berleter dan marah kalau keluar rumah tidak menyapu minyak rambut. Minyak rambut yg kami guna ialah minyak rambut zam zam. Kena marah, kena leter dan kena tarik kepala oleh ibu untuk di sapu minyak rambut. Masa itu, tidak tahu apa khasiat dan kebaikan menyapu minyak rambut. Sebagai anak yg taat pada ibu ( taat pada suami? huhu), saya akan menurut perintah sahaja.

Amalan ini saya buat hinggalah saya masuk ke kampus. Saya masih ingat saya seorang sahaja yg pakai minyak rambut di level mahallah yg saya bermukim. Baunya semerbak membuat kawan2 tahu, yg saya ada di situ. Pernah saya ditanya, " Jah, bila jah pakai minyak rambut? masa rambut basah atau kering?" Saya jawab masa basah. Maksudnya selepas di kesat rambut barulah dilumur dengan minyak. Saya menjadi bahan bualan di kalangan teman2 sebagai seorang yang suka bubuh minyak rambut.

Pada pemerhatian saya, orang2 muda zaman saya belajar  dulu hinggalah sekarang, tidak gemar bubuh minyak rambut. Busuk lah, berminyak lah, melekit lah dan sebagainya. Ramai yg suka menyampu rambut sahaja. ataupun bubuh konsidioner sahaja. Ramai juga yang suka melumur krim, serum dan sebagainya. Bagi saya, tiada yang sebaik minyak rambut zam zam. :)

Sehingga sekarang, itulah amalan saya untuk mendapat rambut yang sihat dan kekal hitam.

Terimakasih ma!



Sunday, May 6, 2012

Bila maid tidak ada...

Sudah lebih sebulan saya tidak mempunyai pembantu rumah untuk membantu saya melakukan kerja-kerja dapur, membasuh dan menggosok baju.

Mula-mula dulu rasa susah juga sebab sudah lama bergantung pada dia. Lepas seminggu, saya rasa tidak menjadi masalah. Yang penting hati rasa senang dan tenang.

Anak dua orang di rumah, saya kerah untuk membantu mana yang perlu. Suami pun alhamdulillah ringan tulang. Tetapi kadang kala saya mengambil peluang atas keringanan tulang suami saya itu. Kalau saya memasak maka dia akan membasuh pinggan dan menyapu lantai.Kalau saya membasuh baju, maka dia akan menggosok baju yang perlu. Sidai kain, adalah favorite saya. Lipat kain pun, boleh. Tapi bukan menggosok baju. sejak akhir-akhir ini kami banyak menghantar dobi baju untuk digosok dan dibasuh. Mesin basuh di rumah digunakan untuk membasuh "baju2 kecil", "seluar2 kecil"  dan segala maknika barang2 kecil. Tudung dan kain baju saya, akan dibasuh tangan (jika sempat) ataupun masuk dalam mesin basuh dengan mode "soft" sahaja.

Saya memasak 3 kali seminggu iaitu hari Isnin, Selasa dan hari Sabtu atau Ahad. Hari Rabu dan Khamis, saya habis kelas jam 6 dan 6.40. Hari jumaat adalah hari Pasar Malam di Taman Melati. Jadi, faham-faham sendiri lah apa yang nak dibeli di sana. Menu wajib ialah Nasi dagang untuk 2 anak teruna dan yong taufu untuk saya. Kalau saya masak pun, jenis menu yang dimasak ialah Menu Chap Campak seperti, Tomyam, sup ayam, nasi goreng, tuna goreng ataupun paprik ayam. Janji dalam masa kurang 1 jam masakan mesti siap!

Bila sudah masak, kalau saya rajin saya akan mengemas sedikit sebanyak. kalau tidak, saya akan tidur banyak. Walaubagaimanapun  sebelum tidur, saya akan pastikan sink dapur berkilat selepas ditenyek dengan Jif.

Hati saya tetap gembira walaupun kulit tangan sudah caca marba..  :)

Monday, April 30, 2012

Nikmat sihat

Nikmat yang paling hakiki ialah badan yang sihat. Bila badan sihat kita boleh beribadah kepada Allah dengan lebih selesa. Kita akan menjadi lebih fokus semasa solat dan zikrullah. Kita boleh bangun malam dan mengerjakan amalan2 sunat yg lain.Bila badan sihat kita dapat bekerja. Bekerja juga satu bentuk ibadah kepada Allah dan sumbangan kita kepada ummah.Bekerja dapat kita membuat ijtihad pada isu-isu semasa yg diperkatakan hingga kini seperti isu BERSH 3.0.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita nikmat kesihatan yg sempurna agar dapat kita gunakan untuk menikmati kenikmatan beribadah kepadaNYA.

Wednesday, February 29, 2012

Ayah Di ( Adi Haji Taha) dalam kenangan

Sudah agak lama saya tidak mengemaskinikan blog saya dengan entri-entri terbaru. Keadaan tidak mengizinkan saya berbuat demikian. Kesibukan tugas mengajar dan mendengar masalah pelajar bukan faktor utama sbenarnya. Ianya lebih kepada ketidaksediaan saya untuk menulis sesuatu di dalam blog ini.


Fikiran saya masih teringat kepada pakcik saya yg meninggal dunia pada 4 Februari lepas. Kehilangan dia amat dirasai sekali oleh saya secara peribadi. Selepas beberapa tahun bergelumang menentang penyakit kanser akhirnya ajalnya telah sampai pada tarikh tersebut. Sejak ketiadaan dia, saya terfikir apa yg mahu dicoret di dalam blog nanti. Hati terasa tidak bersedia untuk itu. Seolah2 saya juga dalam waktu berkabung menangisi ketiadaan dia di dunia ini.


Arwah begitu sentimental dalam hidup saya. Sejak dari kecil hinggalah saya sudah menjengah ke alam tua, dia begitu banyak meninggalkan kenangan dalam hidup saya. Dari sokongan mental hinggalah fizikal, dia banyak menolong saya.


Tiada kata untuk saya coretkan betapa dia telah berbudi pada saya dan keluarga. Tiada kata dan harta utk saya membalas jasa arwah kepada saya. Hanya doa dan airmata mengiringi pemergian arwah tempoh hari. Hingga kini bila disebut nama arwah atau melihat hadiah peninggalan arwah kepada saya, cukup sudah utk saya mengalirkan airmata merindui arwah. Saya pasti, anak2 arwah dan isteri arwah lebih terrkesan dengan ketiadaan dia tetapi bagi saya secara peribadi, saya juga turut merindui dia. Setiap sekali selesai solat, tidak saya lupa menyedekahkan ayat2 al Quran kepada dia. Atau pun setiap kali saya bersendirian; berjalan, memandu kereta, memasak atau memandang ke langit biru, arwah tetap di hati dan di bibir saya. kadang-kadang saya menangis teresak-esak sendirian samada di dalam pejabat, bilik atau di dalam kereta. Betapa dia begitu dekat di hati dan kekal abadi...


Mudah2an Ayah Di tenang di sana....amin...


Friday, February 3, 2012

Cerita di bilik air...










Gambar hiasan sahaja




Saya jatuh dalam bilik air malam khamis lepas. Kira-kira jam 9 malam, saya ke bilik air untuk mengambil wuduk untuk solat Isya'. Di dalam bilik air ada satu tangga untuk turun ke bawah. Bila saya menjejakkan kaki di atas tangga yg saya letak satu bath mat, saya terus slide ke bawah dan jatuh terduduk. Kaki terhentak ke dinding bilik air. Pada masa itu punggung terasa sangatlah sakit. Saya gagahkan diri untuk bangun tetapi terasa berdenyut-denyut di bahagian punggung. Semasa saya cuba untuk berdiri, tiba-tiba saya tengok jari telunjuk kaki kiri berada di dalam keadaan bengkok. Ia tidak lagi straight seperti biasa. Seolah-olah jari itu sudah patah. Saya terus menjerit sekuat hati dalam bilik air saya sambil memanggil suami. Saya gagahkan diri untuk keluar dari bilik air dalam keadaan kesakitan yang amat sangat. Apabila suami masuk ke dan melihat keadaan jari kaki yg sudah bengkok, dia berkata " Kita perlu ke hospital sekarang!". Saya menjawab, 'nanti dulu!saya masih belum solat isya'"



Akhirnya saya masuk ke bilik air sekali lagi utk mengambil wuduk. Bila saya tengok sekali lagi tempat yg saya jatuh, badan rasa seram sejuk. Teringat pula jawapan suami tadi,"...hospital". Terus mengigil seluruh badan. Semasa saya mahu menunaikan solat isyak dengan duduk atas kerusi, badan saya tidak behenti mengigil ketakutan.




Usai mengerjakan solat isyak kami terus ke Hospital Tawakkal di Jalan Pahang. Selepas di X-ray, sendi tulang jari sudah terkehel dari tempatnya. Ada sedikit fracture pada tulang sendi juga . Ada juga sedikit ketulan darah nampak di dalam jari. Doktor memberitahu yg saluran darah terputus semasa tulang dislocated maka disebabkan itu darah keluar. Oleh kerana sudah lebih sejam insiden itu berlaku, maka jari kaki menjadi bengkak dan bertambah sakit. Doktor memberitahu yg dia akan betulkan jari yg bengkok itu. MashaAllah! Sakitnya, getus saya dalam hati.




Saya dibawa ke bilik surgery dan diminta berbaring. Di dalam hati, adakah aku akan menjerit sekuat hati atau aku akan menangis atau aku akan menggelepar kesakitan. Tetapi rasanya lebih baik saya meminta izin ke bilik air dulu sebelum perkara2 di atas berlaku...huhu.




Bila saya kembali ke bilik surgery, doctor memberitahu yg dia akan memberi local anaesthetic pada jari kaki tadi. Selepas menarik nafas dan mengucap Bismillah , doctor memberi injection pada jari kaki yg cedera itu. Mashallah, Allah sahaja yg tahu betapa sakitnya. Airmata bergenang di kelopak mata menahan sakit. Selepas beberapa ketika, lagi satu injection diberikan pada hujung jari. Kemudian doctor meminta saya bersedia kerana dia akan membetulkan jari yg bengkok itu. Saya rasa tidak sampai 10 saat, jari kaki saya sudah normal. Saya tersenyum lebar melihat jari sudah betul dan yg paling penting tak sakit pun!




Apa2 pun, sekarang saya sudah selamat dan berehat di rumah. Terimakasih kepada semua yang prihatin menghantar message bertanyakan khabar. Doakan saya boleh berjalan seperti biasa. Amin Ya rabbal aalamin :-)





Thursday, November 17, 2011

Cinta Pandang Pertama..


Hari ini seorang student lelaki membuat presentation di dalam kelas tutorial. Saya sungguh tertarik dengan presentation dia kerana dia begitu berkeyakinan sepanjang 20 minit berdiri di depan kelas. Dia bersedia 110% untuk berdepan dgn teman2 dia dan saya sekali. Tiada kedengaran bunyi orang bercakap sepanjang dia membuat presentation. Semuanya memandang ke depan dengan mata tidak berkelip. Saya sendiri pun cukup kagum dgn student tahun pertama tersebut. Tanpa saya sedari airmata saya mengalir mendengar dia membaca khutbah terakhir yg disampaikan oleh Rasulullah SAW. Cara dia membaca dan mengupas kandungan khutbah itu menunjukkan betapa dia sayangnya kepada Rasululllah. Hati saya cukup tersentuh dengan semangat jati seorg mukmin yg ada pada Abduh.



Sepanjang balik ke pejabat sebaik saja tutorial selesai, saya teringat pada tahun 1990 bila mana saya membuat presentation di depan kelas tutorial. Masa itu hanya ada 3-4 orang pelajar lelaki di dalam kelas dan dalam 10 orang pelajar perempuan. Tajuk yg saya present pada masa itu ialah Polygamous Marriage in Islam. Selepas saya membuat presentation, lecturer saya mengucap tahniah kerana dapat melaksanakan tugas saya dgn baik. Dia memberi markah 9/10. Saya hilang 1 markah kerana saya berdiri di sebelah perempuan sahaja. Sepatutnya saya berdiri di tengah2 kelas agar balance antara lelaki dan perempuan.



Keesokan harinya saya mendapat surat cinta dari salah seorang pelajar lelaki di dalam kelas tadi. Di dalam surat yg ditulis panjang sehingga 4 helai muka surat itu, dia menyuarakan hasrat hatinya utk berkawan dengan saya. Dia juga menyatakan di dalam surat tersebut yg dia telah jatuh cinta selepas mendengar presentation saya semalam! Lebih memeranjatkan lagi, saya adalah cinta pertama dia.



Subhanallah.. tidak terkata sebaik sahaja selesai membaca surat tersebut. Saya rasa bersalah pula kerana membuat org jatuh cinta dgn begitu senang sekali. Niat saya ke depan hanyalah utk berkongsi idea dan juga utk membina keyakinan diri bila membuat public speaking. Tetapi begini pulak jadinya.



Tetapi saya terpaksa menolak cinta dia. Akibatnya, dia jatuh sakit dan tidak mengambil exam semester pada tahun itu. Kawan rapat pelajar lelaki itu dtg menemui saya dan memujuk saya utk menerima cinta kawan dia itu. Saya menolaknya dgn baik dgn memberi alasan saya tidak bersedia utk menerima dia sebagai soulmate saya. Tiada kurangnya pelajar lelaki itu; berilmu, baik, mukmin yg boleh dicontohi, cuma hati saya tidak terbuka utk dia.



Saya tahu dia bahagia sekarang sebagaimana saya juga bahagia dgn diri saya sekarang ini. Walaupun dia tidak dapat melupakan cinta pertama tetapi saya pasti dia telah menemui cinta sejati dalam hidup dia...



Hingga sekarang saya tidak melupai peristiwa tersebut. Setiap kali melihat student membuat presentation yg bagus, saya pasti mesti ada yg jatuh cinta!



Saturday, October 29, 2011

Pelangi Petang

Pelang Petang adalah tajuk lagu kegemaran saya yg dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Lagunya yg mendayu-dayu dan disusuli dengan suara lembut dan sedih dari penyanyi tersebut memang akan membuat saya mengalir airmata. Lebih-lebih lagi bila sampai ke bait bahawa Pelangi itu membawa kebahagiaan dalam hidup kita walau hanya sebentar cuma.


Semasa kecil, terutama selepas mandi hujan di depan rumah, saya pernah beberapa kali melihat Pelangi muncul di langit. Terasa sungguh bahagia sekali melihat keajaiban Allah itu. Pada masa itu tidak faham konsep hujan, mentari dan pelangi



Sekarang baru saya tahu, bahwa hujan itu bermaksud kesedihan yg kita hadapi samada dari kegagalan hidup dan atau kecewaan kerana ditinggalkan teman atau sesiapa saja yg kita sayangi. Hujan juga diibaratkan airmata yg mengalir yg kerana kesepian dan kedukaan akibat ditinggal kekasih atau teman baik atau sesiapa saja yg kita sayangi. Saya dapat bayangkan semua itu kerana saya pernah merasa dan sedang merasainya sekarang.


Banyak kali saya dapat merasai bahawa mereka yg saya kasihi itu adalah Pelangi Petang semuanya.




Walau apa pun terjadi, saya pasti setiap kesedihan pasti akan disusuli dgn kegembiraan. Cuma, kita hanya perlu bersabar dan menanti saat manis yg akan tiba. Bila dan di mana? Terpulanglah pada kita. Kita yg menentukan bila kita mahu bahagia. Kebahagiaan tidak semestinya berdua atau bertiga. Kebahagiaan ada di dalam hati kita..dan di mana jua kita berada..




Jika dia sudah pergi...



biarkan saja,



pasti ada lain yg sudi untuk menemani...



kalau tidak pun, biarkan saja bersendiri...



Mudah2an dia akan muncul kembali...Jika ada rezeki...



Kalau tidak, mungkin itu sudah dari azali...



Yg dia tetap pergi



dan tidak akan bertemu lagi...



pada diri ini...

Tuesday, October 18, 2011

Doakan saya....

Tahun 2007 dan 2009 adalah tahun sakit saya..




Tahun ini, saya mesti buat check up lagi.




Apa nasib saya tahun ini, Allah sahaja yang lebih tahu.




Saya akan ke hospital lagi, kecut perut semakin terasa.




Sebak rasanya...airmata tergenang di kelopak mata.




akan terus gugur bila-bila masa




Segala wasiat sudah dimaklumkan kepada anak-anak....



Doakan saya....




Agar pergi dengan penuh keimanan




dan




Husnul Khatimah....

Friday, October 7, 2011

Monolog sendiri bertemu kekasih hati...

sebaik sahaja kelas tutorial jam 4-5 selesai, saya bergegas menuju ke pejabat untuk menunaikan solat asar. Sebaik sahaja habis solat dan membaca doa, cepat-cepat saya mengemas barang2 untuk dibawa pulang ke rumah. Hari ini saya harus bertemu dengan si dia yg sangat saya sayangi. Si dia yg sentiasa di hati dan di dalam doa saya. Tak boleh lambat kali ini, getus hati saya.


Sebaik sahaja doa menaiki kenderaan dibaca, kereta Nazaria yg sudah tua ini meluncur laju ke depan. Mata terus memandang ke depan, tetapi hati dan ingatan saya melayang ke belakang. Melayang pada kenangan bersama si dia pada satu ketika dulu. Dia yg begitu rapat dgn saya. Dia yg begitu ceria dengan lawak-lawak yg selalu dikongsi dgn saya. Kadang2 merah padam muka saya mendengar lawak dia. Dia yg begitu bersemangat bercerita mengenai pengalaman beliau ke luar negara, bertemu pelbagai ragam manusia dan adat resam manusia pelbagai bangsa.



Dia juga begitu pemurah dengan senyuman dan wang ringgit dan segala macam benda utk diberi pada sesiapa sahaja.



Owh...aku sayang dia..Ya! Allah..aku sangat sayang dia....






Kereta saya berhenti di persisiran jalan MRR2. cCpat2 keluar utk membeli goreng pisang dan sedikit kuih muih untuk si dia itu. Tak manis dan kurang beradab jika kita bertandang ke rumah orang dgn tangan kosong. Saya membeli RM4 pisang goreng dan RM 2 karipap.






Sekali lagi kereta saya berderum laju. tak sabar2 mahu berjumpa dgn si dia itu. Jam menunjukkan 5.45. Kereta banyak di jalan raya menyebabkan perjalanan saya terhensot-hensot sedikit. aargh...perjalanan sebegini membuka ruang kepada saya utk lebih khayyaling,,teurtama bila mendengar lagu2 lama zaman 70an, 80an dan 90an. jjiwo molep!!


Si dia yg saya sayangi itu sudah tidak seperti dulu. Sudah tidak seceria dulu. Sudah tidak secergas dulu. Dia hanya terlantar lemah di katil. Tidak mampu utk bangun dan bertahjjud. Tidak mampu utk bergurau senda dan berlawak jenaka. Melihat dia terlantar sepi di bilik bersendiri membuat hati saya bagai dihiris sembilu. Si dia itu sedang melawan sakit yg dihadapi sejak bertahun2 dulu... tanpa di sedari airmata meluncur laju bagai LRT.. menangis sedih..sungguh pilu mengenangkan dia sekarang ini...






Kereta saya terus membelok ke Jalan Ayer Leleh dan berhenti di tepi rumah cina depan rumah si dia. Jam sudah menunjukkan jam 6petang. Cepat2 saya keluar dari kereta dan mengambil buah tangan yg tak seberapa itu. Saya sangat merindui dia..saya ingin bertemu dgn dia..Selepas pintu otomatik terbuka, sya meluru masuk dan bersalam dgn puan rumah.






Kemudian saya menjengukkan muka saya di dalam bilik beliau terlantar. Terus dia berpaling dan memberi senyuman yg terbaik buat saya..sambil menyebut " owh...jah datang...jah dari mana?..cantik jah hari ini..." Pujian2 kepada saya tk lekang dari bibirnya. Terus dia menyambung.."Hari ini tiada orang datang jenguk Ayah Di.." Dia bercerita keadaan dia hari ini. Saya mendengar dgn penuh khusyuk. Pisang goreng dihulur padanya. Terus dia letak di tepi katil. Tak larat nak pegang apa2 hatta berat sendiri tak mampu utk diangkat. mashallah.... :-(






Selepas 15 minit di sana, saya beundur diri utk pulang ke rumah.. Mudah2an saya dapat berjumpa lagi utk mendengar pujian dia lagi. Walaupun saya berbaju buruk sekali pun, Ayah Di akan tetap memuji saya cantik berseri...






Itu lah Ayah Di.. Pak Cik saya yg kini terlantar sakit.






Mudah2an Allah ringankan kesakitan yg dihadapi agar dapat dia dapat beribadah dgn lebih sempuran. Mudah2an Allah memberi pahala yg sewajarnya dgn kesusahan yg dia rasai...






Aku sayang Ayah Di sampai mati.....


p.s. Sudah kalis dan imun....aargh...


Tuesday, September 20, 2011

I am in pain....


I know that pain is inevitable and suffering is optional..


But just to let you know


I am in pain.....








Sunday, September 18, 2011

Cerita suka dan duka....

Saya sering dikunjungi oleh student untuk meminta nasihat. Nasihat ini bukan sahaja berkisar pada masalah pelajaran tetapi termasuk juga masalah peribadi, kehidupan dan isu2 semasa. Kadang2 ada juga orang2 perseorangan lain yg datang meminta pendapat mengenai masalah yg mereka hadapi.

Kadang2 mereka membuat komen kepada saya;

"Eh, Ramizah..awak ni kan selalu senyum dan happy..kenapa ek?"

" Saya masuk kelas Madam sebab saya suka tengok Madam senyum..Happy sokmo"


" Saya datang minta nasihat dari Madam kerana saya tengok madam happy je.."

Sebenarnya saya mempunyai banyak kelemahan apatah lagi kekurangan yg bertimbun2 dalam diri saya.. Ada banyak masa saya tidak happy dan sedih tetapi saya sentiasa cuba mengawal diri agar kesedihan dan kedukaan saya tidak disedari oleh pelajar2 saya.

Bila kita menjadi guru, kita akan selalu berdepan dgn public, dgn pelajar kita. Kalau di universiti, pelajar2 kebanyakannya sudah besar..20 tahun ke atas. Malah ada yang lebih berusia dari saya. Saya akan memaksa diri untuk senyum dan gembiar setiap kali berjalan ke menuju kelas walau hati saya ketika itu bagai dirobek2. Saya mesti gembira agar orang lain juga gembira melihat saya.

Saya sendiri pun kadang2 memerlukan motivasi dan nasihat pada diri sendiri. Saya juga mempunyai banyak masalah yg kadang2 membuat saya terduduk dan menangis sendiri; kadang2 di bilik air, di dalam pejabat atau di dalam kereta...sendirian....

Bila saya mengarang puisi, sebenarnya ialah salah satu cara utk saya meluah kesedihan saya. Pusi demi puisi dicoret adalah satu cara utk saya melupakan kesdihan di dada. Saya juga suka membaca, novel, buku2 cerita fiksyen dan no fiksyen, majalah2 ringan sebagai jalan utk mengawal masalah yg saya hadapi. Memasak adalah satu lagi teknik utk melerai kekusutan di dadal. Menyibukkan diri di dapur adalah sebahagian dari terapi utk melupakan sesiapa yg mengecewakan saya. Sudah tentunya saya tidak lupa untuk solat sunat dan membaca Quran, dan selawat tafrijiyyah sebagai satu rutin.


Ramai orang mengambil kesempatan ke atas diri saya dan selepas itu mengecewakan saya akhirnya adalah masalah yg sering berlaku pada diri saya.

Peringatan yg selalu saya ingatkan pada diri ialah masalah itu adalah sebahagian dari kehidupan saya. Ia membuat saya menjadi lebih matang, lebih memahami dan lebih bijak. Jika tiada masalah tiadalah manisnya kehidupan dan tidak ada lah "thrill" dalam hidup kita. Yg penting, kita mesti bijak mengawal masalah dan jangan sampai menyusahkan orang.

Anggaplah setiap masalah adalah perkara penting dalam hidup kita yg akan mendidik kita menjadi orang yg lebih matang dan berpengalaman.

p.s. Pandai bermain kata-kata tetapi dusta belaka...

Wednesday, September 14, 2011

a moment with secret admirer...

Tadi saya dikunjungi oleh seorang student bukan dari AIKOL. Bila saya ke pejabat utk mengambil chop yg tertinggal dalam pukul 8.45 pagi, saya tengok dia tercegat di depan pintu pejabat saya. Saya memberitahu dia yg saya sibuk di LR 7 sempena dgn adjustment period jadi saya tk dapat berjumpa dgn dia sekarang. Jam 10.30pagi bila saya balik ke office saya tengok dia masih tercegat di depan pejabat saya lagi. Masa itu ada dua orang student datang bersama utk saya menyelesaikan masalah mereka. Saya meminta dia datang jumpa saya jam 2 petang. Bila saya bertnaya apa masalahnya, ( kerja saya, hanya utk menyelesaikan masalah orang) , dia menjawab " personal problem". Aik, saya tk pernah tengok budak ni, tiba2 suruh aku selesai masalah dia. pelik2...

Akhirnya jam 2.08 kami bertemu. Sebenarnya saya tak pernah bertemu dengan dia. Rupanya dia mencari saya melalui nama2 yg tertera dari list AIKOL lecturer di pejabat. Dia hanya ingin bertemu dan berbual2 dengan saya di samping itu utk menyampaikan misinya berjumpa dgn saya.

Selepas berbual kurang lebih 10 minit, saya meminta diri untuk keluar. Sebelum dia beredar saya meminta maaf kerana tidak dapat meluangkan masa yg panjang dek kesibukan menjadi academic advisor pada AIKOL student. Lantas dia menjawab, " Madam bukan academic advisor..tapi life advisor..." Saya tersenyum mendengar remarks daripada pelajar itu sambil melambai pada secret admirer itu dari jauh.. :-) selepas dia keluar saya masih tidak berhenti tersenyum macam orang sangau...

p.s. Cepatnya masa berlalu....