Powered By Blogger

Thursday, November 15, 2012

Pandai ke saya menjahit?

Senang cerita, saya tak pandai menjahit. Sepanjang saya kahwin, kalau ada seluar anak koyak atau seluar suami koyak atau tercabut hook seluar atau kain saya ke, suami atau bibik yang jahitkan. Sekarang, bibik dah tak ada, jadi tugas menjahit diberi kepada suami yang tersayang.

Saya rasa memang tangan saya tidak ada seni langsung dalam menjahit, melukis atau pun membalut hadiah. Sememangnya saya ini Kerastangan bukannya Kraftangan.

Pernah sekali masa di kampung, seluar Lutfi koyak. Disebabkan kekurangan seluar maka saya mengagagahkan diri untuk menjahit. Minta  dengan ma, jarum dan benang. Ma pun bagi. Muka buat-buat confident. Ma tanya, " Jah tahu ke menjahit tu?" ( Ma pun tahu anak dia tak pandai, tapi agaknya dia fikir saya sudah belajar menjahit bila dah berkahwin). Dengan muka ala ala konfident, saya jawab, "boleh la sikit-sikit". 

Selepas beberapa minit, seluar Lutfi siap dijahit. Saya memberinya untuk dipakai. Dia cakap, " Hah? Macam ni jahit?" Saya jawab, " Lutfi, yang penting tak koyak dan lutfi boleh pakai seluar dan main sepak bola". Dengan muka teragak-agak, dia pakai seluar tu dan turun ke bawah untuk bermain bola. Selepas beberapa minit dia naik ke atas rumah dengan muka masam mencuka. " Mama, seluar ni koyak balik!" Ma mendengar dengusan Lutfi itu. " Jah jahit macam mana tu?" Adusss...memang termalu seround, dua round depan ma. Selepas ditengok, seluar yang tadi itu sudah koyak rabak. Lebih teruk dari sebelum dijahit.

Akhirnya, malam itu saya terpaksa ke kedai untuk membeli seluar baru untuk Lutfi.

p.s. Rasanya suami saya akan berfikir, rugilah kahwin orang macam saya ni...hmm...nanti saya tanya dia :)

Sunday, November 11, 2012

Sabar dalam ketaatan kepada Allah

Banyak peristiwa yang berlaku sejak seminggu lepas sehingga ada satu ketika itu saya terpaksa meng'deactivate'kan Facebook buat seketika. Terasa begitu tertekan dengan keadaan dan orang-orang tertentu. 

Kadang-kadang saya tersepit dicelah-celah kemelut antara beberapa pihak serta prinsip saya sendiri. Begitu mencabar minda dan fizikal saya.

Tetapi saya sendiri membuat pilihan untuk menerima tugas ini maka, saya mesti kuat dan tabah dan sesekali tidak akan  beralah dengan cabaran dan juga kemarahan dari pihak tertentu. Betul lah pepatah ada berkata, ikut hati, mati. Ikut rasa, binasa. Jadi, saya ikut iman agar hidup saya aman tenteram.

Bila ada orang berpendapat bahawa hudud tidak relevan dan tidak sepenting dengan masalah sosial atau pun masalah yg membabitkan masyarakat, saya rasa pandangan sedemikian adalah tidak komprehensif. Ianya terlalu mendatar. Tidak peka bahawa masalah sosial juga berkait rapat dengan persepsi masyarakat terhadap undang2 Islam. 

Satu lagi, hanya Kuliah Undang-Undang yang sesuai untuk bercakap pasal hudud. Hudud bukan milik PAS, bukan milik UMNO dan bukan milik mana-mana parti di Malaysia ini. Ianya milik semua manusia.Ia diturunkan agar memberi kemaslahatan kepada manusia di mukabumi Tuhan ini. Cuma, orang-orang PAS yang banyak bercakap pasal hudud, walhal ramai lagi ahli akademik yang non partisan yang boleh bercakap pasal isu ini.

Mudah-mudahan saya diberi kekuatan, kesabaran dan keberkatan dalam memperjuangkan undang-undang Islam dan juga shariah islamiyyah di negara kita ini. Sesungguhnya undang-undang Islam bukan sahaja tertakluk kepada hudud tetapi termasuk undang-undang Ta'zir yang memberi kuasa kepada pemerintah untuk menghukum pesalah2 jenayah dengan hukuman yang sesuai. 

Teringat saya kepada kata-kata Ibn al Qayyim tentang maksud Shariah. Katanya " Shariah itu bermaksud apa jua undang-undang yang memberi kemaslahatan dan keadilan kepada manusia"

Bak kata motto Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), "Shariah asas keadilan" :)

Saturday, November 3, 2012

Saat Manis di Aidil Adha 2012

Balik kampung untuk berhari raya Haji minggu lepas meninggalkan kenangan manis buat saya. Pertama, pada hari balik hendak pulang ke kampung, saya sekeluarga berpuasa sempena hari wuquf di Arafah. Pada tahun-tahun sebelum ini hanya saya seorang saja yang berpuasa, tapi kali ini anak-anak turut sama ( terutama Lutfi) serta Mere Zindagi. Macam biasa, kami menaiki pesawat balik ke Kota Bharu. Seingat saya tahun terakhir kami balik Kelantan menaiki kereta ialah pada tahun 2004. Selepas itu, saya dan anak2 sentiasa melalui jalan angin untuk pulang ke kampung.

Momen kedua ialah bila saya dapat membuat ibadah korban di kampung bersama-sama dengan adik beradik lain.Melihat bagaimana lembu kami dikorbankan membuat hati saya tersentuh sedikit tetapi cepat-cepat ingat bahawa lembu itu juga bersyukur menjadi "pilihan" untuk dikorbankan pada hari yang mulia itu.

Kemudian saya sendiri yang memotong daging bahagian saya dan dibagi2kan kepada jiran2 dan saudara mara di kampung. Semasa asyik memotong, saya teringat, dulu Ma lah yang sibuk memotong daging disamping menyiapkan makan tengahari untuk tetamu yg datang. Ma akan menjadi orang paling sibuk pada Hari Raya Haji. Alhamdulillah,  freezer yang saya belikan untuk Ma hampir 10 tahun lepas sangat berguna pada ma dan juga saudara mara lain.

Saat yg tidak dilupakan juga ialah bila mana saya serta makcik2 dan Ma memotong daging seberat hampir 40 kilo untuk dimasak sempena jamuan aqiqah anak sepupu saya. Itulah kali pertama memotong daging sebanyak itu. Maaf, tak sempat nak ambil gambar sebab sibuk dengan kerja2 di dapur. 

Mudah2an jika dipanjangkan umur ingin lagi saya bersama saudara mara lain membuat kerja-kerja begini pada masa akan datang. 

Wednesday, October 10, 2012

Satu Perkongsian

Bagaimana untuk saya memulakan bicara di dalam blog UstazahCinta ini? 

Sudah lama tidak menjenguk blog ini serta membalas komen-komen pembaca yang saya kasihi. Saya malu untuk menyatakn saya sibuk sebab saya rasa ramai lagi orang di luar sana yang lebih sibuk daripada saya. Sebenarnya saya yang tidak tahu menguruskan masa. Terlalu alpa mungkin dengan kerja-kerja lain.

Tiada topik yang khusus untuk saya bicarakan untuk kali ini. Hanya sekadar bercerita peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang ketiadaan saya.

Peristiwa pertama yang begitu mencengkam perasaan kecewa saya ialah Pilihanraya Kampus di UIAM. Pelbagai perasaan wujud di dalam hati sehingga menganggu tumpuan saya semasa mengajar. Tidak sanggup rasanya melihat wajah2 pelajar esok hari. Tetapi apa boleh buat, perkara sudah terjadi. Selepas 2-3 hari saya semakin tenang dan cuba mengelakkan diri dari membaca status2 FB pelajar agar tumpuan saya tidak hilang,

Selepas seminggu, pilihanraya dibuat semula. Alhamdulillah kali ini berjalan lancar tanpa ada gangguan2 dari anasir2 luar. Paling seronok bila pada waktu malam di mana saya turut serta melihat pengiraan undi dijalankan di Stadium Saidina Hamzah di UIAM. Kemudian saya diminta oleh pihak pengurusan untuk membuat pengumuman siapakah pemenang untuk AIKOL constituency. Perasaan berdebar mencengkam dada saya. Duk dak, duk dak hati saya berbunyi. Saya juga risau jika suara kedengaran seperti menggeletar. Semasa saya membaca nama-nama pemenang dengan melihat kertas yg disediakan satu persatu, tiba-tiba rasa keyakinan semakin menimbul. Kemudian saya mengangkat muka untuk melihat ke depan. MashaAllah! Ramainya orang dan banyaknya kamera mengambil gambar saya di rostrum.Lampu flash berkerlipan kiri kanan dan depan saya. Saya terhenti sejenak sambil berkata di dalam hati, "adakah aku hari ini seorang selebriti seperti anak saya, wafi, beritahu saya tempoh hari?"

Pengalaman di atas bmemberi peringatan pada diri bahawa tanggungjawab yang saya galas begitu besar pada pelajar2 saya. Sewajarnya saya berkhidmat dan berusaha untuk menjaga dan melindungi hak pelajar sebaik mungkin.

Selain dari itu saya juga sibuk memberi "autograf" pada setiap permohonan menganjurkan program, booking venue program, mengeluarkan duit utk pelajar dan macam-macam lagi. Tetapi ada satu borang permohonan pelajar yang membuat saya terkesima dan berfikir begitu bertuahnya diri saya ialah bila membelek borang permohonan pelajar2 miskin atau yatim piatu. Ada yang hanya bergantung pada gaji ibu yang berjumlah RM750 sebulan. Bapa meninggal dunia.Tinggal di Kuala Lumpur. Anak dua orang dan masih bersekolah.  Ada juga anak yatim piatu, ibu bapa sudah tiada. Adik beradik 7 orang. Semuanya masih belajar. Hidup bergantung pada pencen bapa berjumlah RM 350 sebulan disamping belas ihsan saudara mara. Bila saya melihat details dalam borang tersebut, hati saya bagai disiat-siat. Saya sangat beruntung.Baju tudung berlambak-lambak, sampai "terjeluwak" keluar dari bakul. 7 keluarga boleh hidup dengan pencen bapa RM 350 dan saya membeli baju raya bernilai RM399! Saya berasa sungguh malu...

Walaupun kerja bertambah dan masa juga penuh, tetapi pada masa yang sama, saya bersyukur juga kerana dengan pekerjaan ini saya lebih bersyukur pada Allah dengan apa yg saya ada. Walaupun tiada maid di rumah dan kebanyakan kerja rumah saya buat sendiri tetapi hati saya lebih tenang dan gembira. Sekarang saya sering ingatkan diri agar sentiasa ikhlas dalam setiap amalan. Hanya untuk Allah semata. Biar orang tidak suka dan tidak redha, janji kita yakin apa yg kita buat Allah redha. 

Jadikan diri kita pada hari ini lebih baik baik dari hari semalam.   

Sunday, September 23, 2012

Monolog Hati

Walau sesibuk mana pun kita, sediakan sedikit masa untuk diri sendiri dan orang-orang tersayang. Bertanyalah khabar jika kita tidak sempat untuk pergi menziarahi mereka. Hantarlah text message atau email sebagai jalan untuk mengukuh ukhuwwah Islamiyyah. Telefonlah orang tersayang dan beritahulah yang kita sayangkan mereka. 

Ketuklah pintu pejabat kawan-kawan dan beri salam serta bertanykan khabar mereka. Senyum dan bagilah salam jika terserempak dengan mereka.  

Jangan lupa meraikan juga tukang sapu sampah dan tukang cuci di kawasan pejabat. Tanpa mereka, kita tidak dapat bekerja dengan selesa. Bagilah salam dan sebutlah nama mereka.

Jangan lupa untuk menghantar berita dan  bertanya khabar pelajar-pelajar kita semester lepas. Cuba ingat apa masalah mereka. Cuba ingat apa yang membuat mereka gembira. Cuba ingatkan mereka juga  untuk datang berjumpa dengan kita jika ada apa-apa yang perlu untuk dikongsi bersama.

Akhir sekali, jangan lupa juga masa untuk kita. Masa untuk muhasabah diri, masa untuk diri sendiri dan masa untuk menilai diri. Apa yang kita buat untuk hari ini. Sentiasa istiqaamah dalam ibadat sunat dalam hidup kita. Bacalah Quran, Sayyidul Istighfar, sentiasa dalam wuduk, Dhuha jangan ditinggal, bersedeqah sentiasa, solat pada waktunya dan yang paling penting, niat dalam setiap amalan hidup kita hanya untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.


Hidup dan matiku hanya untuk Allah sahaja.... 

Thursday, September 20, 2012

Sometimes it is better to be kind than to be right...

Ramai orang bercakap pasal "Hak". "Ini hak saya sebagai isteri, ini hak saya sebagai suami!" Kata-kata sebegini selalu kita dengar di dalam hal ehwal rumahtangga. Begitu juga dalam alam pekerjaan, hak sebagai pekerja,  mahupun dalam sebuah negara, hak kita sebagai rakyat. 

Bila kita meminta hak kita, itu adalah betul. "when we talk about our rights, yes, it is right". Tetapi  kadang-kadang bila kita terlalu memihak dan meminta hak kita saja, kita akan jadi terlepas pandang pada hak orang di sekeliling kita dan juga orang2 yang kita sayang. Akhirnya kita dapat yang kita mahu tetapi ada pula orang yang menderita atas sikap kita itu.

Dengan suami contohnya, bila suami buat salah dan kita menegur kesalahan dia. Suami pula memang sudah maklum yang orangnya mudah naik darah bila ditegur dan akibatnya dia tidak mahu bertegur sapa dengan kita sehingga menganggu urusan rumahtangga lain. Adakah kita akan terus menegakkan yang benar? Kalaulah kesalahan itu kecil sahaja, bagi saya kita lebih baik kita diam dan melihat jika ada peluang2 lain utk kita menegur dia. Lebih baik kita jadi "baik" dari kita menuntut "hak" kita. Saya rasa tiada ruginya untuk kita jadi "baik" daripada menjadi "betul" kerana dengan menjadi baik, urusan rumahtangga berjalan dengan lancar, anak-anak pun tidak terganggu fikiran mereka dengan sikap ibubapa yang terlalu mementingkan hak mereka.  

Seorang suami yang baru sahaja sampai di rumah selepas sehari suntuk bekerja. Mungkin dia mengharapkan si isteri menyambutnya di depan pintu. Tetapi isterinya pula sedang tidur nyenyak di dalam bilik selepas berhempas pulas di dapur atau melayan anak kecil lain. Itu hak suami untuk disambut oleh isteri. Hak suami juga untuk marah dan menegur isteri. Tidak salah juga jika suami menjadi baik serta bertimbangrasa dan memaafkan si isteri yang tertidur daripada meminta haknya.

Begitu juga, jika kita sebagai ibubapa. Adalah menjadi hak kita untuk mendisiplinkan anak-anak jika mereka nakal. Adakah kita akan terus menjalankan hak kita di mana saja atau apa saja bentuk kesalahan yang dibuat? Atau tidak kira berapa usia si anak, maka kita terus mendisiplinkan mereka. Sebaik-baiknya tengoklah jenis kesalahan anak-anak, besar atau kecil, adakah satu tabiat atau pertama kali. Adakah anak itu tahu yang itu adalah satu kesalahan dan adakah kita sudah memberi amaran ataupun tidak sebelum itu. Jadi, lebih baik kita menjadi "baik' dari menjadi "betul" semata-mata untuk menunjukkan itu hak kita. Saya rasa ibubapa pun ramai yang membuat kesilapan. tetapi sebagai anak kita sepatutnya melihat kesalahan ibubapa tersebut dengan penuh rasa ihsan sambil berdoa, mudah2an mereka akan sedar suatu hari nanti. 
  

Saya lebih suka mengambil sikap sabar dan berdoa disamping melakukan usaha-usaha lain daripada terus melabelkan sesiapa dengan karekter-karekter yang jahat. Kenapa perlu bersabar dan berdoa? Kerana itulah tandanya kita adalah  manusia bijaksana. Tetapi jika kita hendak menunaikan hak kita dan kita yakin kita betul, tidak salahnya untuk menegakkan hak kita. Sebab itulah saya nak tekankan di sini, kadang-kadang lebih baik kita menjadi baik daripada menjadi betul. Sudah banyak kes-kes dapat diselesai dengan cara sebegini.  Di dalam al Quran, Allah ada berfirman agar kita sentiasa mengambil langkah berbincang atau pun sulh. Sulh adalah sebaik-baik cara untuk menyelesaikan masalah. Di samping itu kita juga jangan cepat melatah dan mudah menuduh orang itu, begini dan begitu. Cuba muhasabah diri dan yang paling penting, kembali lah pada Allah. 


Janji Allah itu pasti!

Saturday, September 8, 2012

Mini Celebrity?

Wafi: Mama patut ada twitter la..
Mama: I thought twitter is meant for public figures or celebrities.
Wafi: Mama, you are a celebrity too.
Mama: Hah? I am not.
Wafi:  You are a mini celebrity...hehe


I think what my son, wafi, meant was, since I am a blogger I have some followers. As of today I have 149 followers. Actually, I dont like the odd number. Who will be my 150th follower? :) 

Anyway, what say you about me opening a Twitter account? I need your feedback. My twitter's name should be UstazahCinta.  

Till then, Happy Reading!