Powered By Blogger

Monday, January 28, 2013

Antara dendam dan api cinta

Saya suka tengok cerita love story terutama jika cerita tersebutboleh memberi mesej dan pengajaran kepada kita. Antara cerita love story yang evergreen ialah cerita "Love Story" yang dikeluarkan pada awal 70an saya rasa. Pelakon utamanya Ryan 0'Neal dan Ali McGraw masih lagi hidup pada saat saya menulis entry ini. 

Satu lagi filem yang memberi kesan kepada saya hingga ke hari ini ialah filem yang bertajuk "In Love and War". Filem ini diterbitkan pada tahun 1996 dan berdasarkan pada kisah benar yang berlaku kepada Ernest Hemingway, seorang sasterawan dan pernah menerima Nobel Prize pada tahun 1954. Satu kisah cinta di antara seorang askar Amerika iaitu Ernest, dengan jururawat berbangsa Austria yang bernama Agnes. Apabila Ernest cedera semasa bertugas sebagai pemandu ambulans  di Perang Dunia Pertama, dia dibawa ke hospital di Itali. Di sana dia bertemu dengan Agnes, seorang jururawat yang sering berbual-bual dengan Ernest. Agnes jauh lebih tua dari Ernest. Agnes pada mulanya turut menyintai Ernest tetapi berubah fikiran selepas Ernest pulang ke Amerika.

Walaubagaimanapun, cinta mereka tidak kesampaian dan berakhir dengan tragedi di mana Ernest membunuh diri pada tahun 1961.Disebabkan terlalu kecewa kerana Agnes tidak membalas cintanya, Ernest telah membawa diri ke satu tempat yang terperincil. Di situ dia menulis novel dan menjadi seorang nelayan. Ernest pada mulanya seorang yang baik hati dan gentleman,  walaubagaimanapun berubah menjadi seorang pemarah, peminum arak dan suka menyisihkan diri. Dia menyimpan dendam amarahnya pada Agnes. Agnes sebenarnya merasa ragu-ragu untuk mengahwini Ernest yang 7 tahun lebih muda dari Agnes. Lantas, Agnes menulis surat pada Ernest yang dia akan berkahwin dengan orang lain. 

Mesej yang ingin saya sampaikan di sini ialah, jangan terlalu kecewa jika cinta kita tidak berbalas. Atau jika cinta tidak kesampaian. Kita perlu berlapang dada dan menerima dengan hati yang terbuka. Perit, memang perit tetap hidup perlu diteruskan. Jika kita tidak memaafkan diri kita atas kekecewaan itu maka akan memudaratkan diri. Lepaskan kisah yang lalu dan biar ia di telan masa. Maafkan dia dan maafkan diri. Masih ramai yang sayang.

Saya masih ingat  babak terakhir dalam filem ini ialah bila Agnes datang mencari Ernest di Amerika. Dia datang untuk meminta maaf pada Ernest sambil bertanya jika masih ada ruang untuk Ernest menerima dia kembali. Tanpa memandang Agnes, dia hanya mendiamkan diri sahaja. Agnes pula sabar menunggu jawapan tetapi tidak dihirau langsung oleh Ernest. Akhirnya Agnes berlalu pergi meninggalkan Ernest. Sebenarnya, Agnes tidak berkahwin dengan sesiapa sehinggalah dia mati. Cintanya hanya untuk Ernest. Tetapi kerana ego, dendam dan kecewa teramat sangat akhirnya, Ernest akhirnya membunuh diri. Inilah cinta yang memakan diri.

Saya syorkan kepada sesiapa agar menonton kisah benar ini. Ambillah pengajaran dari kisah ini.







Thursday, January 24, 2013

Cemburu dan Saya.

Saya diminta oleh seorang silent reader blog saya untuk bercerita tentang cemburu. Sudah lama saya berfikir apa yang patut saya tulis dalam tajuk cemburu. Saya jadi hilang idea bila isu ini  ditimbulkan kepada saya. Akhirnya saya bertanya kepada Mere Zindagi,"  Papa rasa mama ni, cemburu tak orangnya?" Suami saya dengan pantasnya menjawab "Tak!". Saya tersenyum sendiri sebab saya rasa saya ni bukan cemburu orangnya. 

Saya cuba mencari sebab-sebab kenapa saya tak cemburu pada suami. Fikir-fikir punya fikir, saya rasa sebab utama ialah suami saya tidak pernah buat saya cemburu dari segi sikap dan pergaulan dia dengan wanita-wanita lain. Samada teman sepejabat atau pelajar-pelajar perempuan. Walaupun dia ramah dan suka buat lawak dengan ramai orang tapi tiada secalit cemburu pun ada pada diri saya. Mungkin ada yang mengatakan, mungkin di belakang saya, dia ada buat tapi saya tak nampak. Oh, susahlah hidup kalau saya  asyik berprasangka dengan suami. Biarkan saja. Kalau betul, silakan saja.  Agama mengharuskan untuk dia berkahwin lebih dari satu jika mampu dan boleh berlaku adil. Saya rasa dia mampu. Adil? saya tak pasti. Tetapi kalau saya redha untuk dia tidak berlaku adil pada saya, tak apa-apa. 

Secara jujurnya, cemburu itu adalah satu perkara yang sihat  dalam setiap hubungan. Ia adalah tanda pasangan kita menyayangi kita. tetapi jika tidak dikawal, ia boleh menjadi motif untuk melakukan perkara maksiyat ataupun hingga mendorong kita untuk melakukan jenayah.

Untuk pengetahuan pembaca, saya tidak pernah melarang suami untuk kahwin lagi. Malah saya pernah memberitahu dia, kalau dia mahu kahwin lagi, saya akan memberi sokongan kepada dia. Lantas dia menjawab, " Kalau begitu, tolong carikan saja dan pinangkan dia untuk saya". Kadang-kadang bila soalan ini diajukan lagi dia akan menjawab, " Please put in writing that you gave me a permission to have another wife"

Kenapa wanita jadi cemburu? 

Satu saja jawapannya. Mereka tidak yakin pada diri mereka sendiri dan  tidak percayakan pada ketetapan Allah. Jangan jadi wanita yang penuh dengan perasaan syak wasangka pada suami. Kelak nanti, sinar mata akan jadi kelam, senyuman menjadi tawar. Biarkan saja. Kadang2 mereka hanya mahu menduga kita. 

Saya juga yakin bahagia itu di hati saya. Saya bahagia bukan sebab suami hanya mempunyai seorang saja isteri iaitu saya. Saya bahagia kerana saya pilih saya mahu bahagia.Yang lebih penting saya yakin Allah lebih tahu apa yang baik untuk urusan hidup saya. Kalau ditakdirkan saya hidup bermadu, saya redha. Kenapa saya redha? Sebab, itu ketetapan Allah. Jika kita asyik marah, mencemuh dan bercerita apa yang kita rasa pada orang lain mengenai sikap suami kita  atau isteri muda dia, kita tidak akan bahagiasampai bila-bila. Manakala orang di luar sana akan bertepuk tangan melihat sikap kebudak-budakan kita. 


p.s sebelum kahwin, ada juga cemburu buta. hehe

Monday, January 21, 2013

Senyum itu indah




terkadang bila hati terluka
kita tidak menangis hiba
bukan juga masam mencuka
tetapi tetap dengan senyuman di muka

bukan sengaja berpura-pura
tetapi itulah hakikat hidup di dunia
harus tabah dan sabar sentiasa
kadang duka, kadang bahagia
tiada yang kekal selamanya
dan kita masih bernyawa
untuk bersyukur pada Yang Esa
pada nikmat yang tidak terkira

Segala puji-puji untukMu yang Maha Berkuasa.




Sunday, January 20, 2013

Cinta King Kong

Biasa kita dengar cerita monyet ataupun puppy's love. Orang kata cinta sebegini adalah cinta yang datang dan pergi. Cinta yang hanya singgah dan bertenggek di dalam hati untuk seketika saja. Bila angin datang, ia mudah goyah dan berlalu pergi.

Satu kisah benar yang ingin saya kongsi di sini.

Semasa saya belajar di sekolah rendah, saya juga bertemu dengan seorang budak lelaki  yang sebaya dengan saya, sekampung, sekelas dan teman sepermainan saya. Kami berkawan dan sekelas sejak dari darjah satu hinggalah ke darjah 5.( saya tidak belajar di darjah 6 kerana saya sudah berada di MMP pada masa itu). Kami sangat rapat dan sering belajar bersama. Di dalam kelas dia sering berada di tempat pertama. Ada sekali dua saya berjaya memintas dia. Dia sangat pandai dalam sabjek Ilmu Hisab atau pun dikenali sekarang dgn nama Matematik.

Pada suatu hari seorang lagi kawan sekelas saya, (WR) ada memberitahu saya sesuatu. " Jah, ada orang sukakan Jah tau". "Siapa tu, WR?", saya bertanya balik. Dalam hati saya berbunga-bunga. Hehe. Jawab WR, "orangnya ialah N". Pada masa itu usia saya 10 tahun. Rasanya, saya tidak faham apa makna "Cinta". Yang saya tahu, apa itu "Suka". Suka sudah cukup buat saya gembira sebab saya juga sukakan dia. Saya suka dia  sebab dia pandai dan baik.

Selepas dari perbualan itu, saya dengan N dan WR tetap berkawan seperti biasa. Melompat, berlari, bermain serembat, main ddecok dan berjalan mengelilingi Kampung Penambang bersama-sama.  

Bila saya ke MMP, hubungan kami tidak serapat dulu. Pertama, sekolah lain-lain dan yang kedua, kami semakin besar dan sudah baligh, jadi ada batasan dalam hubungan. 

Kadang-kadang, saya mencuri-curi pandangan bila jemaah masjid keluar dari masjid selepas solat fardhu. Ada rezeki, boleh tengok dia. Dia antara pemuda yang istiqaamah untuk solat berjemaah di masjid. Sifat ini menarik hati saya. Setiap Aidil Fitri, saya akan menerima sekeping kad raya. Tulisan dan ucapannya ringkas. Tiada madah, tiada kata-kata puitis seperti saya. Yang saya pernah ingat, " Jika kita mencintai manusia, manusia akan mati, cintailah Allah kerana Dia kekal abadi".

Semasa saya ke UIAM, dia pula ke ITM Shah Alam. Hubungan kami hanya melalui kad raya sekali setahun atau surat, 2-3 kali setahun. Itu saja. Jumpa? Oh...jarang-jarang sangat. Itu pun terserempak dan bukannya dirancang. 

Sepanjang kami berhubung, tidak sesekali dia mengucapkan rasa cintanya kepada saya. Cuma pernah satu hari saya menulis surat kepada dia, menyatakan hubungan kita ini mungkin cinta monyet saja. Tiada ada apa-apa yang istimewa. Selepas beberapa bulan dia membalas surat dan menyatakan " Cinta kita ini bukan cinta monyet tetapi Cinta King Kong". Saya tersenyum sendiri sambil mencari-cari maksud tersirat dari kata-kata tersebut.

Walaupun saya suka dan cintakan dia pada masa itu tetapi saya tidak berkahwin dengan N. Secara jujur dan tulus ikhlas, saya yang meninggalkan dia. Kenapa ya? 

Pertama, dia tidak bersungguh menyintai saya dan saya sangat kecewa dengan sikap dia itu. Itu saja. Tidak perlu saya menyatakan secara terperinci apa maksud bersungguh ini. Saya bukan hendak menuding jari, siapa salah dan siapa betul. Cuma, saya ingin berkongsi di sini bahawa bagi seorang perempuan kami hanya mahu bukti bahawa kami betul dicintai dan akan dijadikan suri. Tidak perlu beg tangan GUCCI tetapi sudah memadai sekeping kad pengganti diri. 

Kami tidak mahu dibiarkan terkontang kanting, tanpa janji dan hala tuju nanti. Usia kami bukan semakin muda dan badan kami perlu kuat jika ada zuriat untuk dikendong ke sana sini. Kami juga berpegang pada nasihat Rasulullah SAW, jika ada pemuda yang baik akhlaqnya serta beriman orangnya, maka kahwinilah dia. Walaupun tiada cinta sesungguh hati tetapi kami yakin ia boleh di bajai dan tumbuh mekar harum bak limau kasturi. 

Salam sayang untuk semua...


*Saya juga mahu berundur diri*

Saturday, January 19, 2013

Kecewa

Kecewa.

Satu perkataan yang biasa kita dengar dan kita sebut. Samada dari orang lain atau dari diri sendiri. Sudah menjadi kemestian untuk kita melalui rasa kecewa dalam hidup.Kekecewaan adalah asam garam dan cuka gula kehidupan kita. Kita diuji dengan pelbagai cara, fizikal dan mental. Ini semua adalah "training" dan "intensive course" yang perlu kita ambil tanpa kita sedari, samada secara rasmi atau tidak rasmi.

Bagaimana rasanya kecewa itu? Tahap macam manakah perasaan kecewa itu.? 

Rasa hati disiat-siat dengan pisau. Ditoreh dengan sembilu. Ditabur dengan cuka, garam, asam limau, dettol dan sebagainya. Adoi! pedihnya. Perasaan malu pun ada diikuti dengan rasa rendah diri dan tidak berguna lagi. Ia adalah satu penyiksaan batin yang tidak terperi rasanya. 

Ya, memang pedih. memang luka berdarah. 

Berapa lama harus kita merasai kepedihan itu?

Terpulang pada individu. Mungkin satu minggu, satu bulan, bertahun atau mungkin selamanya kekal abadi di dalam diri. 

Sebenarnya tahap kekecewaan itu hanya sementara jika kita pandai menyusun jadual kehidupan kita.Mungkin juga bagaimana kita melihat peristiwa yg berlaku itu; positif atau negatif. ataupun mungkin bila kita dapat sesuatu yg lebih baik disebabkan oleh peristiwa itu. 

Yang penting, kita mesti hadapi kekecewaan itu dengan berlapang dada serta membuka ruang di hati agar boleh menerima nasihat, memberi peluang kali kedua dan ubah apa yang silap serta meneruskan kehidupan dgn lebih positif, aktif dan proaktif.

Marilah kita sama-sama berfikir dan melihat pada setiap kekecewaan itu sebagai satu pengalaman hidup. Satu pengajaran yang boleh kita ambil. Mudah2an dapat kita kongsikan dengan anak-anak, adik-adik atau pelajar-pelajar kita.

Selepas kecewa pasti ada bahagia menanti selagi mana kita yakin dengan rahmat Allah. Untuk bahagia kita perlu bersifat maaf, sabar dan redha.

Selamat berbahagia semua! :)