Thursday, November 15, 2012

Pandai ke saya menjahit?

Senang cerita, saya tak pandai menjahit. Sepanjang saya kahwin, kalau ada seluar anak koyak atau seluar suami koyak atau tercabut hook seluar atau kain saya ke, suami atau bibik yang jahitkan. Sekarang, bibik dah tak ada, jadi tugas menjahit diberi kepada suami yang tersayang.

Saya rasa memang tangan saya tidak ada seni langsung dalam menjahit, melukis atau pun membalut hadiah. Sememangnya saya ini Kerastangan bukannya Kraftangan.

Pernah sekali masa di kampung, seluar Lutfi koyak. Disebabkan kekurangan seluar maka saya mengagagahkan diri untuk menjahit. Minta  dengan ma, jarum dan benang. Ma pun bagi. Muka buat-buat confident. Ma tanya, " Jah tahu ke menjahit tu?" ( Ma pun tahu anak dia tak pandai, tapi agaknya dia fikir saya sudah belajar menjahit bila dah berkahwin). Dengan muka ala ala konfident, saya jawab, "boleh la sikit-sikit". 

Selepas beberapa minit, seluar Lutfi siap dijahit. Saya memberinya untuk dipakai. Dia cakap, " Hah? Macam ni jahit?" Saya jawab, " Lutfi, yang penting tak koyak dan lutfi boleh pakai seluar dan main sepak bola". Dengan muka teragak-agak, dia pakai seluar tu dan turun ke bawah untuk bermain bola. Selepas beberapa minit dia naik ke atas rumah dengan muka masam mencuka. " Mama, seluar ni koyak balik!" Ma mendengar dengusan Lutfi itu. " Jah jahit macam mana tu?" Adusss...memang termalu seround, dua round depan ma. Selepas ditengok, seluar yang tadi itu sudah koyak rabak. Lebih teruk dari sebelum dijahit.

Akhirnya, malam itu saya terpaksa ke kedai untuk membeli seluar baru untuk Lutfi.

p.s. Rasanya suami saya akan berfikir, rugilah kahwin orang macam saya ni...hmm...nanti saya tanya dia :)

Sunday, November 11, 2012

Sabar dalam ketaatan kepada Allah

Banyak peristiwa yang berlaku sejak seminggu lepas sehingga ada satu ketika itu saya terpaksa meng'deactivate'kan Facebook buat seketika. Terasa begitu tertekan dengan keadaan dan orang-orang tertentu. 

Kadang-kadang saya tersepit dicelah-celah kemelut antara beberapa pihak serta prinsip saya sendiri. Begitu mencabar minda dan fizikal saya.

Tetapi saya sendiri membuat pilihan untuk menerima tugas ini maka, saya mesti kuat dan tabah dan sesekali tidak akan  beralah dengan cabaran dan juga kemarahan dari pihak tertentu. Betul lah pepatah ada berkata, ikut hati, mati. Ikut rasa, binasa. Jadi, saya ikut iman agar hidup saya aman tenteram.

Bila ada orang berpendapat bahawa hudud tidak relevan dan tidak sepenting dengan masalah sosial atau pun masalah yg membabitkan masyarakat, saya rasa pandangan sedemikian adalah tidak komprehensif. Ianya terlalu mendatar. Tidak peka bahawa masalah sosial juga berkait rapat dengan persepsi masyarakat terhadap undang2 Islam. 

Satu lagi, hanya Kuliah Undang-Undang yang sesuai untuk bercakap pasal hudud. Hudud bukan milik PAS, bukan milik UMNO dan bukan milik mana-mana parti di Malaysia ini. Ianya milik semua manusia.Ia diturunkan agar memberi kemaslahatan kepada manusia di mukabumi Tuhan ini. Cuma, orang-orang PAS yang banyak bercakap pasal hudud, walhal ramai lagi ahli akademik yang non partisan yang boleh bercakap pasal isu ini.

Mudah-mudahan saya diberi kekuatan, kesabaran dan keberkatan dalam memperjuangkan undang-undang Islam dan juga shariah islamiyyah di negara kita ini. Sesungguhnya undang-undang Islam bukan sahaja tertakluk kepada hudud tetapi termasuk undang-undang Ta'zir yang memberi kuasa kepada pemerintah untuk menghukum pesalah2 jenayah dengan hukuman yang sesuai. 

Teringat saya kepada kata-kata Ibn al Qayyim tentang maksud Shariah. Katanya " Shariah itu bermaksud apa jua undang-undang yang memberi kemaslahatan dan keadilan kepada manusia"

Bak kata motto Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), "Shariah asas keadilan" :)

Saturday, November 3, 2012

Saat Manis di Aidil Adha 2012

Balik kampung untuk berhari raya Haji minggu lepas meninggalkan kenangan manis buat saya. Pertama, pada hari balik hendak pulang ke kampung, saya sekeluarga berpuasa sempena hari wuquf di Arafah. Pada tahun-tahun sebelum ini hanya saya seorang saja yang berpuasa, tapi kali ini anak-anak turut sama ( terutama Lutfi) serta Mere Zindagi. Macam biasa, kami menaiki pesawat balik ke Kota Bharu. Seingat saya tahun terakhir kami balik Kelantan menaiki kereta ialah pada tahun 2004. Selepas itu, saya dan anak2 sentiasa melalui jalan angin untuk pulang ke kampung.

Momen kedua ialah bila saya dapat membuat ibadah korban di kampung bersama-sama dengan adik beradik lain.Melihat bagaimana lembu kami dikorbankan membuat hati saya tersentuh sedikit tetapi cepat-cepat ingat bahawa lembu itu juga bersyukur menjadi "pilihan" untuk dikorbankan pada hari yang mulia itu.

Kemudian saya sendiri yang memotong daging bahagian saya dan dibagi2kan kepada jiran2 dan saudara mara di kampung. Semasa asyik memotong, saya teringat, dulu Ma lah yang sibuk memotong daging disamping menyiapkan makan tengahari untuk tetamu yg datang. Ma akan menjadi orang paling sibuk pada Hari Raya Haji. Alhamdulillah,  freezer yang saya belikan untuk Ma hampir 10 tahun lepas sangat berguna pada ma dan juga saudara mara lain.

Saat yg tidak dilupakan juga ialah bila mana saya serta makcik2 dan Ma memotong daging seberat hampir 40 kilo untuk dimasak sempena jamuan aqiqah anak sepupu saya. Itulah kali pertama memotong daging sebanyak itu. Maaf, tak sempat nak ambil gambar sebab sibuk dengan kerja2 di dapur. 

Mudah2an jika dipanjangkan umur ingin lagi saya bersama saudara mara lain membuat kerja-kerja begini pada masa akan datang.