Powered By Blogger

Saturday, July 28, 2012

Ma, saya dan sahur

Setiap kali saya di dapur menyediakan juadah sahur untuk keluarga, saya pasti teringat pada Ma di kampung. Suasana waktu sahur yang ketika itu jauh dari bunyi bising dan hiruk pikuk suara anak-anak jiran, membuat saya mudah mengimbau kenangan lalu. Ingatan pada Ma akan lebih menjadi-jadi setiap kali saya mengemas mangkuk pinggan yang telah dicuci semalam. Teringat pada Ma kerana bila saja saya masuk ke dapur untuk bersahur, akan kelihatan Ma sibuk mencuci pinggan mangkuk sambil menggoreng atau memasak apa-apa di sebelah dapur gas. Ma hanya bersendirian di dapur tanpa ditemani oleh sesiapa.

Kemudian bila saja mencedok nasi ke pinggan untuk anak-anak dan suami, saya juga teringat semasa saya di sekolah rendah dan menengah, bila saya bangun sahur selepas dikejutkan Ma, tengok-tengok nasi sudah sedia terhidang di dalam pinggan masing-masing dan menunggu masa untuk di suap ke dalam mulut. Selepas makan, kami membasuh pinggan masing-masing dan terus tidur (masa ini di sekolah rendah). Tiada rasa  ihsan untuk menolong Ma di dapur pada masa itu. 

Kadang-kadang ada juga di kalangan adik beradik yang susah nak bangun sahur walaupun sudah beberapa kali dikejutkan oleh Ma. Kesian tengok Ma, yang tak puas makan, bila asyik masuk keluar bilik mengejut sesiapa yang liat nak bangun. Bila saya mengejut anak-anak dan suami untuk bangun makan sahur, saya tanam dalam diri agar jadi sesabar Ma.

Seingat saya, bila usia menganjak ke umur 16 tahun, saya mula menjadi manusia lebih bertanggungjawab kepada Ma. Kadang-kadang saya tersedar sendiri dari tidur bila mendengar mangkuk pinggan berlaga atau bunyi ikan digoreng dalam kuali. Bila saya bangun, saya akan bertanya Ma apa lagi yang perlu dibuat. Saya nampak macam lega bila ada yang membantu di dapur. Walaupun tidak banyak yang saya tahu pasal masak memasak ini tetapi kehadiran saya untuk menemani Ma di dapur pada waktu kira-kira jam 4.30 pagi membuat Ma rasa gembira. Ada juga,  saya yang bangun dulu dan mengejutakn Ma dari tidur.Kadang-kadang rasa bersalah pula, kenapalah aku ni lambat matang dan lambat memahami perasaan Ma.
 

Pesanan saya kepada orang-orang di luar sana yang masih punya ibu, cukuplah kita menyusahkan ibu di kala kita sudah berumahtangga dan beranak pinak. Jangan sesekali membiarkan ibu kita mengasuh anak kita setiap masa. Janganlah kita meletak anak-anak kita  di rumah ibu tidak kira masa dan ketika tanpa ada rasa timbang rasa. Ibu kita sudah banyak berkorban untuk kita sejak dari kecil. Jangan membiarkan ibu membasuh pinggan yang kita makan dan gelas yang kita minum. Cukuplah..cukuplah...

Saya doakan Ma dan Abah sentiasa diberi kesihatan yang baik agar mereka dapat beribadat dan meluangkan masa bersama-sama. Kepada adik-adik dan kakak, marilah kita berbakti kepada Ma dan Abah dengan membuat mereka gembira dan sesekali tidak menyusahkan hidup mereka. Apa yang mereka buat semasa kita kecil adalah tanggungjawab mereka kepada kita. Sekarang, adalah tanggungjawab kita untuk menjaga hati mereka. Ingatlah, apabila Ma senyum pada kita tidak semestinya Ma redha dengan kita....beringatlah. Kadang-kadang jauh di sudut hati Ma, mungkin hatinya terluka.

Teringat saya satu hadis; " Tiap-tiap dosa bisa diundurkan oleh Allah sehingga ke hari kiamat, melainkan kederhakaan kepada ibu bapa, nescaya akan dipercepatkan balasan kepada si penderhaka sebelum dia mati".

Ma, maafkan dosa-dosa kami....




Monday, July 16, 2012

My survival kit

Sepanjang masa di Makkah dan Madinah, inilah sling bag yang digalas setiap hari keluar masuk  masjid atau ke mana saja saya pergi. Yang paling penting adalah air. Botol air ini saya akan isi dengan air zam zam setiap kali saya keluar dari masjid. Air mukjizat ini adalah air seharian saya.

Gambar di bawah menunjukkan bahagian belakang beg yang saya isi dengan beberapa duit riyal; 1 riyal hinggalah 5 riyal. Duit ini digunakan untuk diberi kepada pekerja-pekerja di Masjid. Tisu pun ada.


 

Inilah kandungan dalam beg di atas. Ada cermin mata hitam di dalam bekas spek yang berwarna krim. Ada plastik berwarna oren yang saya gunakan untuk mengisi selipar yang dipakai sebaik saja masuk ke dalam masjid. Yang berwarna hitam empat segi itu adalah Quran yang akan dibaca sambil menunggu azan masuk atau setiap kali ada masa senggang. Alhamdulillah, saya dapat khatam Quran di Masjid Nabawi pada hari ke 9 saya di sana. Yang berwarna putih tinggi itu ialah krim SPF yang selalu saya oleskan ke muka sebelum keluar dari hotel. Di bawah lotion SPF ada compact powder yang saya pakai bila perlu saja. Saya juga tidak lupa meletakkan lip balm yang kelihatan berwarna pink dalam gambar ini. Tetapi bila dipakai, sebenarnya ia tidak berwarna. Tisu basah dettol digunakan untuk mengelap tangan atau apa2 yang patut. Saputangan berwarna ungu cerah digunakan untuk dilapik atas karpet di masjid dan dijadikan alas tempat saya bersujud. Akhir sekali, iPhone saya yang tak lupa untuk dibawa ke mana saja sepanjang di sana. iPhone inilah yang menjadi alat komunikasi saya untuk bertanya khabar orang-orang yang saya sayangi atau mengemaskini status FB saya bila ada wifi connection di lobby hotel. 




Sunday, July 15, 2012

Makkah dalam kenangan...

Makkah atau Bakkah, adalah tempat suci bagi umat Islam. Tempat yang penuh barakah dan bersejarah. Di sana, tanahnya adalah tanah batu. Bukit dan gunungnya adalah dijadikan dari batu keras. Orang-orang Arab di Kota Makkah sifat asalnya sebelum kedatangan Islam dan sebelum diutusnya Rasulullah SAW, adalah bersifat keras seperti batu. Mungkin ini antara satu sebab Nabi Muhammad diutuskan ke semenanjung Arab dan bukannya ke tanah-tanah lain di dunia ini.

Di Makkah terdapatnya Masjidil Haram. Di Masjidil Haram pula didalamnya terletak Kaabah, iaitu arah kiblat bagi umat Islam untuk beribadat. Di sini banyak tempat yang mustajab doa seperti di Hijir Ismail, Multazam, Safa dan Marwa dan di Kaabah itu sendiri. Walaubagaimanapun, ramai di kalangan umat Islam yang masih percaya pada khurafat, sehingga extrreme dalam beribadat pada tempat2 suci ini. Tindakan sebegini adalah salah di sisi Islam dan boleh membawa kepada Shirik.

Setiap kali saya melakukan tawaf, saya bayangkan beberapa peristiwa. Antaranya kisah Nabi Ibrahim yang membina kaabah bersama-sama dengan anaknya Nabi Ismail. Saya juga teringat pada zaman sebelum kedatangan Rasulullah, kaabah menjadi tempat orang Kafir Quraish menyembah berhala yang diletakkan di sekeliling kaabah. Di sini juga ada pasar Ukaz tempat orang-orang Arab melagukan syair-syair mereka. Di sini juga tempat Rasulullah SAW melakukan haji pertama dan terakhirnya pada tahun ke 10 hijrah. Akhir sekali, saya tidak akan lupa, di salah satu bucu kaabah ini, sahabat Rasulullah SAW dan juga anak lelaki pertama lahir di kota Madinah selepas Hijrah Rasulullah, iaitu Abdullah Ibn al Zubayr, mati di bunuh oleh komander tentera Muawiyah. Kisah pembunuhan sahabat Baginda ini sungguh menyayat hati saya yang sentiasa membuat saya mengalir airmata bila teringat saat sebelum dan selepas kematian beliau.

Masjidil Haram menjadi tempat tumpuan umat Islam. Selain beribadat, tempat ini menjadi tempat untuk berniaga. Di sana sini, banyak kedai yang menjual pelbagai jenis barang dan makanan. Tempat yang menjadi tumpuan saya dan keluarga, ialah makanan dan minuman. Makanan yg disediakan di hotel, tidak berapa disukai oleh suami yang berlidah rempah ratus. Kebanyakan menu di hotel disediakan oleh orang-orang Indonesia yang bertentangan dengan menu suami.Anak-anak tidak menjadi masalah.

Wafi sangat gemar melakukan tawaf sunat jika ada kelapangan walaupun matahari panas terik atau penuh ramai orang. Lutfi, tidak menjadi masalah bila dikejutkan untuk ke Masjidil Haram walaupun awal pagi lagi.Mereka juga tidak jemu-jemu menyebut beberapa patah bahasa Arab yang dipelajari dari buku kecil yang disedikan oleh Travel Agent. Bila ditanya, mahu datang lagikah ke sini? Masing-masing menjawab. ya!




Gambar yang diambil selepas solat maghrib. Kaabah menjadi tempat tumpuan semua orang.




Pemandangan biasa setiap kali lepas solat. Ada saja orang menjual tudung, jubah, selipar dan macam2 lagi di tengah-tengah jalan sehingga menganggu kelicinan perjalanan pulang ke hotel masing-masing.




Tiga beranak sebaik sahaja selesai mengerjakan saie kira-kira jam 3 pagi. Lutfi, senyum dalam paksa disebabkan oleh keletihan dan rasa mengantuk. Kami tidak tidur langsung sebaik sampai di hotel jam 12.30 tengah malam. Ibadah tawaf dan saie diselesaikan secepat mungkin sehingga jam 3 pagi. Sebaik selesai, kami terus menunggu waktu subuh yang masuk pada jam 4.12 pagi.


Tower clock yang diintai dari Masjidil Haram.

 Masjidil Haram yang masih dalam pembaikan dan pembesaran. Semuanya untuk keselesaan umat Islam. Ini adalah gate bernombor 79 yang menjadi tempat entrance kami untuk masuk ke masjid.