Senang cerita, saya tak pandai menjahit. Sepanjang saya kahwin, kalau ada seluar anak koyak atau seluar suami koyak atau tercabut hook seluar atau kain saya ke, suami atau bibik yang jahitkan. Sekarang, bibik dah tak ada, jadi tugas menjahit diberi kepada suami yang tersayang.
Saya rasa memang tangan saya tidak ada seni langsung dalam menjahit, melukis atau pun membalut hadiah. Sememangnya saya ini Kerastangan bukannya Kraftangan.
Pernah sekali masa di kampung, seluar Lutfi koyak. Disebabkan kekurangan seluar maka saya mengagagahkan diri untuk menjahit. Minta dengan ma, jarum dan benang. Ma pun bagi. Muka buat-buat confident. Ma tanya, " Jah tahu ke menjahit tu?" ( Ma pun tahu anak dia tak pandai, tapi agaknya dia fikir saya sudah belajar menjahit bila dah berkahwin). Dengan muka ala ala konfident, saya jawab, "boleh la sikit-sikit".
Selepas beberapa minit, seluar Lutfi siap dijahit. Saya memberinya untuk dipakai. Dia cakap, " Hah? Macam ni jahit?" Saya jawab, " Lutfi, yang penting tak koyak dan lutfi boleh pakai seluar dan main sepak bola". Dengan muka teragak-agak, dia pakai seluar tu dan turun ke bawah untuk bermain bola. Selepas beberapa minit dia naik ke atas rumah dengan muka masam mencuka. " Mama, seluar ni koyak balik!" Ma mendengar dengusan Lutfi itu. " Jah jahit macam mana tu?" Adusss...memang termalu seround, dua round depan ma. Selepas ditengok, seluar yang tadi itu sudah koyak rabak. Lebih teruk dari sebelum dijahit.
Akhirnya, malam itu saya terpaksa ke kedai untuk membeli seluar baru untuk Lutfi.
p.s. Rasanya suami saya akan berfikir, rugilah kahwin orang macam saya ni...hmm...nanti saya tanya dia :)