Powered By Blogger

Wednesday, June 6, 2012

Surat untuk anak-anak Mama

Kehadapan anak-anak mama yang dikasihi dan dicintai hingga ke mati; Ahmed Zaki, Ahmed Wafi dan Ahmed Lutfi....

Assalamualaikum wrt.wbt.

Mama harap surat ini sebagai wasiat mama pada anak-anak semua. Mudah-mudahan semasa anak-anak membaca setiap bait dalam lembaran ini, mama masih ada di dunia. Jika mama sudah tiada, cubalah selongkar blog mama ini yang penuh dengan rahsia dan luahan hati mama.

Pertama-tama mama nak maklumkan pada anak-anak, yang anak-anak adalah buah hati mama. Pengarang jantung hidup mama. Anak-anak juga pendengar dan sahabat setia mama. Anak-anak adalah nikmat hidup mama. Pada masa yang sama. mama juga ingatkan pada diri mama bahawa anak-anak adalah milik Allah sebenarnya. Allah bagi pinjam pada mama. Sampai bila pinjaman itu, mama tidak tahu. Tetapi dengan doa dan usaha yang mama ada, mama akan cuba menjaga pinjaman ini dengan seikhlas hati mengikut apa yang termaktub dalam al Quran, Sunnah rasulullah saw dan pendapat ulama dahulu kala.  Anak-anak pasti maklum sendiri yang mama sebenarnya bukan seorang ibu yang sempurna.Banyak kelemahan yang ada pada diri mama. Mama suka berleter, mama suka komplen dan mama kadang-kadang tidak memahami jiwa anak-anak semua. Kadang-kadang bila mama sampai rumah, mama akan menguncikan diri dalam bilik sebab mama tak nak tengok muka bibi mutiah itu. Bila mama nak cakap dengan anak-anak, mama panggil anak2 masuk ke dalam.  

Ahmed Zaki atau "abang", mama selalu mengingatkan abang pasal akhlaq dan tingkah laku dengan orang tua. Setiap kali abang balik ke rumah, ada saja yang mama leteri. Dari bilik bersepah hinggalah solat berjemaah. Mama tahu abang tidak suka mendengar leteran mama  itu. Tetapi disebalik leteran itu mama tengok bilik dikemas dan abang pun lesap ke surau.

Ahmed Wafi atau "angah", mama selalu ingatkan angah, jangan lupa angkat kain bila balik sekolah. Jangan lupa bawa kain baju dalam raga ke kedai Dobi di bawah rumah kita. Angah suka pergi joging dan gymnasium untuk menjaga kesihatan. Angah tak nak makan pisang goreng yang mama beli sebab ianya berminyak. Mama sedih dan kecil hati maka angah makan sekeping dua demi untuk menjaga hati mama. Sebenarnya mama yang mudah merajuk dengan anak-anak.

Ahmed Lutfi atau "adik", mama selalu berpesan janganlah "pongoh". Nama Lutfi bermaksud lembut. Tetapi disebalik kepongohan itu, adik adalah orang pertama yang akan bersiap-siap ke surau. Adik juga orang pertama yang akan datang peluk mama bila masuk ke dalam rumah. Mama pun cuba sedaya upaya menjadi seorang ibu yang bersabar dengan kerenah anak yang bongsu yang sangat manja ini. Kadang-kadang mama perlu bertegas bila hajat melampaui batas. Mama cuba menjadi seorang ibu yang kreatif berhadapan dengan anak yang bernama Lutfi ini.

Maafkan mama kerana meninggikan suara, mungkin telinga mama tidak mendengar jawapan anak-anak bila dipanggil tadi. Maafkan mama kerana tidak dapat masak apa yang kamu hajati, mungkin mama lembap memahami resepi atau pun mama malas hendak mengemas sinki. . Maafkan mama kerana tidak memenuhi setiap yang kamu hajati, mungkin mama pentingkan diri sendiri...

Anak-anak mama yang mama sayangi...

Mama selalu berfikir yang suatu hari nanti, mama akan pergi bertemu ilahi. Jika mama sudah pergi jangan lupa mandikan jenazah mama. Jangan biar orang lain melihat aib mama mu ini. Biar anak-anak sendiri yang melihat betapa ibumu ini penuh dengan noda dunia. Bila jenazah mama mahu diangkat ke kubur,jangan biar orang lain mengusung mama. Ingat, apa mama pesan dulu. Seorang pegang di kepala, seorang pegang di tengah dan seorang lagi pegang di kaki. Sebaik saja mama akan dimasukkan ke dalam liang lahad, kalau muat masuklah semua anak mama untuk membuka ikatan pada jenazah mama. Pastikan mama berada di posisi yang betul dan mengadap kiblat. Bila sudah selesai maka peganglah mama buat kali terakhir. Pandanglah mama untuk ke sekian kalinya. Mama yang megandungkan kamu semua dan yang menyusukan kamu. Sepanjang 2 tahun mama menyusukan kamu semua.  Tiada susu lain yg membesar dan menguatkan tulang kamu melainkan susu dari badan mama sahaja. Itulah nikmat yang tidak terhingga bila dapat memeluk erat anak-anak mama.

Mama juga ingin berpesan, jika anak-anak semua mempunyai isteri nanti atau anak-anak perempuan, jangan lupa menyayangi mereka dengan sepenuh hati. Layanlah isteri-isteri kamu dengan penuh hormat. Jagalah maruah mereka di depan rakan taulan atau sanak saudara ataupun anak-anak kalian. Itulah sebaik-baik tanda yang kamu semua sayangkan mama..... 

Abilities & Qualities - Inspirational Quotes , Motivational Thoughts and Pictures ,butterfly


                              Jika ada rahmat ilahi pasti kita akan berjumpa lagi....insha Allah :)

Wassalamualaikum wrt.wbt.


p.s. Lagi satu mama nak pesan, jangan lupa deactivate Facebook mama bila mama sudah tiada :)

Friday, June 1, 2012

Monolog hati bahawa mati itu pasti..

Sejak dua minggu lepas, saya menggunakan exit ketiga untuk keluar dari kampus UIAM. Exit ketiga ini akan keluar ke simpang untuk ke Kg Sungai Pusu di sebelah kiri dan ke Kuala Lumpur di sebelah kanan. Setiap kali membelok ke sebelah kanan, saya akan ternampak Tanah Perkuburan Islam Kg Sungai Pusu. Setiap kali saya melalui tanah perkuburan ini, saya akan cuba memperlahankan kenderaan dan mata melihat ke puncak bukit di mana batu-batu nesan jelas kelihatan. Sambil memberi salam kepada ahli-ahli kubur yang telah dulu meninggalkan kita, saya memuhasabah diri apa yang telah dibuat hari ini. Juga saya mengingatkan diri bahawa itulah tempat yang akan saya tinggal bila nyawa sudah diambil oleh Tuan Empunya diri ini. Sesungguhnya saya akan mengikuti kamu semua pada suatu hari nanti. Saya yakin, ahli-ahli kubur ini juga menanti kehadiran saya agar saya memberi doa kepada mereka. Walaupun saya tidak mendengar jawapan mereka, tetapi saya yakin yang mereka mendengar doa dan salam saya.

Setiap kali pulang dari pejabat, saya tidak sabar-sabar untuk melalui jalan ini....Sekaligus, mengingatkan saya bahawa inilah tempat yang akan saya kembali dan bertemu ilahi. Mudah-mudahan jika saya ditanam di sini, harap-harap ada lagi orang seperti saya yang tak sabar2 untuk melalui jalan ini sambil mengucap doa dan salam kepada saya yang telah pergi......


Monday, May 28, 2012

Aku dan Ibu...





Kasih ibu membawa ke syurga. Doa ibu adalah segala. Kehadiran ibu menjadi pembela. Ibu adalah rahmah Allah yang datang berjela.
Ibu saya yang dipanggil Ma adalah seorang wanita yang kuat dari segi fizikal dan mental. Ibu saya tidak berpendidikan tinggi tetapi setiap tindak tanduk dan aktiviti yang dibuat mengalahkan orang yang mempunyai Ph.D. Ibu saya seorang yang kuat semangat bila melihat anak-anak dalam keadaan susah dan lemah. Ibu adalah sumber kekuatan hidup saya. Mudah-mudahan Allah memberi ibu saya  kesihatan yang baik agar dapat pergi masjid dan mengaji Quran iaitu aktiviti kegemaran dia sejak anak-anak sudah besar belaka. Saya juga turut berazam agar saya juga akan menjadi seperti ibu......


" Sesiapa yang tahu betapa bernilainya seorang wanita dan misteri yang ada di sebalik ketenangan jiwa di wajah mereka, pasti  mereka  tidak akan mengelakkan diri dari menyintai seorang  wanita. Sesungguhnya cinta, kasih sayang dan penghargaan pada wanita adalah sebahagian dari kesempurnaan iman seseorang kerana ianya adalah Sunnah Rasulullah SAW dan Cinta Ilahi"
[ Ibn al Arabi]


Friday, May 25, 2012

Cerita pagi jumaat...

Seorang pelajar lelaki tahun satu datang ke bilik saya tadi.

Pelajar: Ustazah, saya nak berhenti belajar...( matanya yang berkaca merenung saya)

Ustzazah: Hah? Exam contract kelmarin lagu mana?

Pelajar: Saya tak ambil exam kelmarin..( sambil mata tunduk ke bawah)

Ustazah: Dah beritahu mak ayah atau sesiapa pasal isu ni?

Pelajar: Belum ustazah...( menangis...)

Ustazah: Bagi saya no telefon mak awak. Biar saya cakap dengan mak...

Pelajar: Jangan ustazah...Biar saya simpan sendiri... ( sambil teresak2)

Ustazah: Kenapa awk nak berhenti?

Pelajar: Saya nak jaga ayah saya yg sakit...( sambil kesat airmata yg tidak berrhenti mengalir)

Ustazah: betul ke awak nak jaga? atau awak nak duduk ssajo?

Pelajar: Saya tak ada semangat nak belajar. Saya rasa putus asa. Tiada motivasi untuk terus belajar.

Ustazah: Bu ( bukan nama sebenar), tengok saya.... Bu, tengok saya, please... ( airmata sudah menanti utk mengalir) Boleh tak awak jadikan saya sebagai inspirasi kepada awak agar awak lebih bersemangat untuk belajar? Boleh tak awak kata pada diri awak, " kalau saya tak ada kat AIKOL ni, saya tak boleh jumpa ustazah lagi.."

Pelajar: (senyum nampak gigi...(mungkin tak percaya )sambil merenung saya) Ya betul , ustazah! betul...

Ustazah: ( senyum juga sambil ambil tisu kesat airmata)

Pelajar: Ok, saya nak ambil exam petang ni. Saya akan jadikan ustazah sebagai sumber inpirasi dalam hidup saya...Saya minta diri dulu, ye?

Ustazah: ya, Bu....jaga diri baik-baik

Di dalam bilik, saya termenung sendirian sambil mengeluh panjang. Begitu rapuh jiwa anak muda sekarang. Tetapi hanya dengan kasih sayang, sedikit perhatian dan kata-kata perangsang sudah cukup mengubah perasaan mereka....

Abu, Abu.....

Thursday, May 24, 2012

Doa untuk kita...

Setiap kali awal semester bermula, saya tidak akan lupa memohon doa kepada Allah agar diberi kesihatan yang baik agar dapat mengajar dengan sempurna tanpa meninggalkan kelas satu pun. Saya juga turut berdoa kepada Allah agar dipanjangkan usia agar dapat menyiapkan silibus untuk semester itu. Risau sangat, kalau Allah cabut nyawa semasa semester sedang berlangsung ditakuti menyusahkan pelajar-pelajar dan Jabatan untuk mencari ganti. Sebaik saja peperiksaan akhir semester berakhir, doa yang sama turut saya panjatkan sekali lagi agar dapat menyiapkan marking kertas jawapan pada waktunya kerana tak nak menyusahkan orang lain.

Walaupun saya tahu, itu semua kerja Allah yang Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita, tetapi tidak salah untuk kita mendoakan sedemikian. Ketetapan Allah itu boleh berubah dengan doa yang dipinta dan usaha yang berlipat ganda.

Kelas sudah habis dan peperiksaan sudah bermula minggu ini.. Saya ingin berpesan agar pelajar-pelajar  menjaga hak Allah dan hak manusia sepanjang musim exam ini. (kalau boleh selama-lamanya) Banyakkan bersedekah dan membaca al Quran. Jangan lupa berbuat baik pada ibubapa ( jika masih ada) dan meminta mereka mendoakan yang terbaik untuk kita. Bila habis exam, jangan lupa juga untuk mendoakan agar diberi ketenangan di dalam hati guru-guru semasa memeriksa kertas jawapan kita. Jauhkanlah dari sifat serabut, marah dan tertekan semasa menunaikan tanggungjawab tersebut.

                            Akhir kata, selamat menduduki peperiksaan! Bi al Tawfiq wa al Najah...




Tuesday, May 22, 2012

Gelang tangan merah jambu




Gelang tangan merah jambu
Menjadi pilihan kalbu
Bila berjalan ke lembah menderu

Gelang tangan merah jambu
sesuai dengan lenganku berwarna kelabu
Bila disorong, mahu kekal di situ

Gelang tangan merah jambu
Dipegang, ditilik, ditinggal di situ
ku rasa tidak mampu
Bila ku seluk saku
Yang tiada beribu

Ku harap gelang itu
menjadi hadiah dari mu
untuk Hari Jadiku....

;)


Thursday, May 17, 2012

Terimakasih semua!!



Di sini saya kepilkan 3 keping gambar iaitu 2 kad ucapan Hari Guru yang saya terima dari pelajar-pelajar saya. Kad yang bertajuk Thank you Ustazah itu datangnya dari pelajar2 tahun satu. Kad yg kedua yang berwarna merah jambu itu adalah dari pelajar2 tahun dua.Gambar yang ketiga ialah tandatangan pelajar2 dalam kelas tersebut. Sungguh terharu menerima kad sebesar ini. Mudah2an mereka akan sentiasa ingat dan mendoakan saya sehinggalah saya tiada lagi di dunia ini. inshaAllah...