Powered By Blogger

Saturday, June 16, 2012

Bukti cinta....Seia dan sekata

Seorang pelajar bertanya kepada saya, " Bila Ustazah bangun buat Qiyaam, Ustazah ada buat solat hajat tak?"


Saya tersenyum mendengar soalan jujur dan ikhlas dari pelajar tersebut. Mungkin soalan itu bermaksud, bahawa waktu kita menunaikan qiyaam itu adalah salah satu waktu mustajab doa kepada sesiapa yang ada hajat.

Sebenarnya, sejak usia menganjak ke angka lebih 40 ini, macam sudah menjadi satu routine kepada saya untuk terjaga pada jam 3.30-4.30 pagi. Mungkin ini satu peringatan yang ingin disampaikan oleh Allah agar saya kena banyakkan ibadat dan beruzlah dengan Allah. Walaubagaimanapun, saya tidak bangun untuk qiyaam tiap-tiap malam. Tengok pada keadaan atau apa program esok hari.

Berbalik pada soalan pelajar tadi, saya menjawab, kita kena banyak memberi bukan meminta. Kita hendaklah banyak menyerah diri pada Allah  SWT. Tapi pada masa yang sama kita juga harus meminta dan memohon apa yang perlu kepada Yang Maha Esa. Jika saya melakukan solat hajat pun, bukan untuk saya sendiri tetapi untuk orang lain. Solat hajat untuk anak-anak jika mereka akan menduduki peperiksaan ( contohnya), kepada pelajar-pelajar saya, kepada adik-adik dan kakak, ma abah dan sesiapa yang meminta saya berbuat demikian. Jarang sangat saya menunaikan solat hajat untuk saya. Kadang-kadang waktu-waktu sebegini, saya akan ke balkoni sambil menikmati langit gelap dan berkabus sambil menanam di dalam hati bahawa itulah kebesaran ilahi.

Saya banyakkan "memberi" kepada Allah dengan mengamalkan perkara-perkara sunat, muakkadah atau ghayr muakkadah. Berzikrullah di mana saja hatta sedang membasuh pinggan mangkuk atau mengupas bawang, atau pun memberi salam bila masuk ke pejabat (walaupun tiada manusia di dalam). Sambil "memberi" tidak lupa  untuk  saya meminta apa yang terlintas di kepala termasuk mendoakan sesiapa yang ada di dalam hati saya. Menyebut nama sesiapa yang saya ingat agar diberi rahmat Allah Yang Maha Esa dan dipermudahkan urusan dunia. Saya yakin bila kita MEMBERI kita juga akan MENERIMA. Kita juga harus ingat yang kita hanya boleh memberi jika kita mempunyai rasa Cinta pada Pencipta. Antara sebab mengapa kita jarang memberi kerana kita gagal  menyintai  Dia. Tanamlah, semailah dan pupuklah rasa cinta kita pada Allah yang Maha Esa. Ketahuilah itulah puncak nikmat cinta yang hakiki. Sebenarnya itulah rahsia pahala dan rahmah Allah kepada kita. Lagi susah perbuatan itu, lagi banyak pahala dan ganjaran yang akan kita terima. Yang penting kita perlu yakin dengan janji Allah dan  sesungguhnya Allah  tidak akan sesekali melanggar janji-janjiNya



p.s "you can give without loving but you can never love without giving.."

Thursday, June 14, 2012

Corat coret memeriksa kertas jawapan

Disebabkan minggu ini ialah minggu terakhir kepada pensyarah-pensyarah untuk memeriksa dan memberi gred kepada pelajar-pelajar maka saya ingin berkongsi pengalaman memeriksa dan membaca kertas-kertas jawapan pelajar-pelajar undanng-undang di kelas saya. Gambar-gambar di bawah adalah sebahagian dari kertas-kertas jawapan yang telah saya baca.






Kesalahan jawapan pelajar di atas kerana memberi satu fakta yang berlawanan pada ayat yang mula-mula. Kalaulah ijtihad itu sudah "independent" maka ia tidak perlu lagi pada perkataan "depends".  Maka pelajar di atas tidak dapat markah kerana ada conflict of interest dalam fakta di atas dan di bawah.





Penggunanaan perkataan 'consummation" adalah salah untuk konteks ayat di atas. "Consummation of a marriage" adalah satu istilah yang digunakan di dalam sabjek Family Law. Tetapi di dalam undang-undang jenayah Islam, kita guna "consuming of khamr" ataupun "consumption of khamr". Kesalahan student ialah mereka banyak mendengar tetapi tidak membaca. Sepatutntnya student mestilah memeriksa apakah perkataan asal consummation di dalam kamus.



Ada yang memohon maaf kerana tulisan yang sangat teruk. tapi saya rasa tulisan di atas tidaklah teruk sangat. Alasan yang mengatakan necessity atau darurat adalah tidak diterima.



ada juga yang eja nama abah saya salah  walaupun sudah tulis di whiteboard nama penuh saya.


Tulisan dan jawapan yang menarik perhatian saya. Pasti sesiapa yang tengok pada kertas jawapan macam ini akan memberi markah dengan senang hati pada pelajar tersebut. Tulisan yang besar, warna dakwat pen hitam pekat, ada paragraf, no soalan dan bahagian A  juga ditulis. Tidak ketinggalan juga, student di atas telah meng'highlight' nama Khalifah Umar untuk menarik perhatian pemeriksa. Jika salah, jangan guna liquid paper untuk membatalkan ayat atau perkataan yg salah. Guna pembaris dan membuat satu garisan atas ayat yang salah.



Lagi satu jawapan yang menarik perhatian saya. Pelajar juga sempat membuat table untuk menunjukkan perbezaan dua istilah yg berbeza. Sangat kreatif dan berbeza.

Bila saya tengok tulisan macam ini, kepala saya pening dan tidak mahu membaca dengan sepenuh hati saya. Memaksa diri membaca dan memberi markah seadanya. Pelajar perlu ingat, bahawa pemeriksa juga manusia biasa dan mempunyai hormon-horman yang tidak bertimbangrasa jika tulisan sebegini dihadiahkan kepada dia.


ada yang menulis ayat Quran salah. Saya maafkan juga jika tidak terlalu berlebihan kesalahan mereka. Tetapi di sini, maksud ayat pun dah lari.Cuba lihat ayat kedua bacaannya seperti Allah Muhammad yang sepatutnya ialah Allahu al somad.


istilah yang sepatutnya digunakan di atas ialah Musta'man dan bukannya Musta'mal. Lagi satu istilah yg salah ialah kalimah Qamr. Qamr itu maksudnya bulan. Pelajar di atas mahu menulis Khamr iaitu arak. Sebenarnya kedua-dua perkataan di atas sudah ditulis di whiteboard semasa lecture dan tutorial. Sudah diingatkan beberapa kali di dalam kelas tetapi mereka tetap lupa...

Saturday, June 9, 2012

Jah! Sanah Helwah..

Kenyataan di atas adalah ucapan Selamat Ulangtahun kepada diri saya sendiri. Membuat ucapan pada diri agar terus istiqamah di dalam perjuangan, ibadah dan amalan-amalan baik lain. Seharusnya saya mesti menghargai diri sendiri sebelum orang lain dapat menghargai diri saya.
Syukur kepada Allah kerana diberi peluang untuk hidup sehingga ke angka ini. Masih tergapai-gapai mencari kekuatan hidup. Masih membilang-bilang amalan yang dibuat selama ini. Ikhlas kerana Allah kah atau dibuat kerana manusia atau suasana sekeliling?

Walaupun usia sudah melebihi angka 40 tetapi rasanya hati tetap muda. Muda, sebab sentiasa dikelilingi oleh orang-orang muda terutama pelajar-pelajar yang bertukar bersilih ganti. Masih lagi suka membeli alat-alat tulis, cenderamata yang kecil-kecil, masih lagi membelek anak-anak patung jika ada peluang. Masih lagi bergosip-gosip dengan pelajar-pelajar saya yang masih muda.

Saya juga berasa muda setiap kali balik kampung, berjumpa dengan Ma dan Abah yang masih lagi memanggil saya, "Jah,jah..." Setiap kali dipanggil begitu, terasa seperti masih lagi anak kecil pada ma dan abah. Ah! sebak pula rasanya bila disebut nama-nama keramat itu.

Menurut ibu saya lahir pada hari Isnin pada jam 4.30 pagi. Menurut ibu lagi, semasa kecil saya mempunyai selera makan yang sangat tinggi. Dengan kata lain, saya suka makan! Apa saja yang diberi atau ditawar, saya akan makan. Tiada istilah tidak sedap pada saya. Tiada perkataan "tidak" pada setiap makanan yang ditawar pada saya. Jika, adik-adik lain, makan biskut 1 keping sahaja di kala usia 7-10 bulan , saya pula boleh menghabiskan 2 keping setengah! Padan la badan saya besar sampai sekarang. Lagi satu, jika saya demam pun, saya tetap berselera untuk makan. Sebab itu  ibu cakap, demam saya tak melarat. Cukup 2-3 hari saya sudah sembuh.

Saya diberi mimum susu botol dari usia 1 tahun lebih dan hinggalah hampir mencecah umur 3 tahun. Ibu tidak tahu macam mana hendak membuat saya berhenti minum susu botol sebab saya sudah "bergantung" sangat pada botol. Suatu hari, botol saya jatuh ke dalam longkang dan boleh nampak botol itu terapung. Jadi, setiap kali saya meminta susu, ibu akan bertanya " mana botol susu Jah?" maka saya akan berlari ke lantai dan lihat diantara celah-celah kayu lantai di mana botol saya yang kelihatan di situ. Lama kelamaan saya faham yang saya kena minum susu melalui cawan.

Semasa umur 9-10 tahun, menurut ibu, saya selalu "berderak". Keluar dengan kawan-kawan atau sepupu dan bermain di rumah mereka sehingga lupa nak balik rumah sebelum waktu maghrib. Ada juga saya sampai tertidur di rumah sepupu. Takut nak balik, saya akan meminta nenek tolong beritahu ibu atau abah. Saya juga  suka bermain di tepi sungai Kelantan di belakang rumah sepupu saya. Mengambil buah timun cina (tembikai) yang orang tanam dan makan sambil menyorok-nyorok takut tuan punya timun itu nampak. Oleh kerana kami tiada pisau untuk membelah timun itu maka kami akan menghentak atas pasir agar buah itu pecah dua. owh..nakal juga rupanya. Kadang-kadang saya akan mengutip etak ( kelate; etok) di tepi sungai dan menyalai di rumah sepupu. Suka sangat kekoh etak masa dulu. Sekarang, bila tengok etok, hati saya terusik dengan kenangan lalu. Yang sedihnya sekarang saya sudah hilang kemahiran mengekoh etak. Saya juga suka main bola cap kaki tiga. adoi..sedap sungguh mengejar orang  dan membaling bola ke badan mangsa. Nikmat yang tidak terkata!   

Saya suka makan kari ikan masakan ibu. Biasanya ibu guna ikan Mmuduk ( Jemuduk) untuk membuat kari ikan. Kalau saya membuat permintaan sedemikian ibu akan memberi syarat, yang saya sendiri akan meminta daun kari dari sebuah rumah jiran yang berdekatan. Sebenarnya jiran itu tidak begitu mesra dan kadang-kadang dia menghalau kanak-kanak (termasuk saya) yang selalu bermain dan berbuat bising berdekatan dengan rumah dia. Kari ikan punya pasal, saya tebalkan muka walaupun kena marah, datang untuk meminta izin untuk mengutip daun kari di kawasan rumah dia. Satu lagi lauk kegemaran saya ialah bayam masak lemak dicampur dengan ubi keledek. Seingat saya, jika saya balik kampung, ibu akan masak lauk ini pada saya sehingga ke hari ini.

Banyak sekali yang hendak dikongsi tetapi rasanya cukuplah setakat ini sahaja. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang masih memberi pinjam pada saya ingatan yang kuat untuk mengingati kisah-kisah lampau. Semua yang berlaku dalam hidup saya, tidak sesekali saya menyesal. Walaupun pernah ditarik telinga,  dimarah, dipukul oleh ma abah dan sebagainya, saya akui semua itu adalah dari kenakalan saya. Semua itu mendidik saya sehingga saya berasa sendiri apa perasaan menjadi ibu bapa pada hari ini. Keinginan untuk berubah dan dengan izin serta rahmah Allah, menjadikan saya hari ini.

Saya mohon kemaafan kepada orang-orang yang pernah menjadi mangsa saya semasa kecil. Mohon maaf juga pada sepupu-sepupu yang saya banyak menghabiskan masa bersama mereka. Bergurau senda dan berbual mesra, pasti ada terkasar bahasa. Maaf dipinta.


Tidak lupa, saya ingin berterimakasih kepada guru-guru saya walau di mana mereka berada. Walaupun saya tahu sudah ramai yang sudah pergi dari alam fana' ini, tetapi paling saya tidak lupa ialah guru yang mengajar mengaji Quran  iaitu Pak Cik Man yang pergi pada tahun 2007. Setiap kali saya mengaji Quran, tidak lupa saya memohon kepada Allah agar sampaikan pahala bacaan saya kepada arwah.

Di bawah ini saya sertakan "dalil" atau "hujjah" yang saya lahir pada 9 Jun 1969 dan diberi nama Ramizah Wan Muhammad ...  :)



                                                                         ^
                                                                         ^
                                                                         ^
                                                                         ^
                                                                         ^





p.s. Sanah Helwah Ya Enta..Enta daiman fi qalbi..wa ana daiman fi qalbik :)

Wednesday, June 6, 2012

Surat untuk anak-anak Mama

Kehadapan anak-anak mama yang dikasihi dan dicintai hingga ke mati; Ahmed Zaki, Ahmed Wafi dan Ahmed Lutfi....

Assalamualaikum wrt.wbt.

Mama harap surat ini sebagai wasiat mama pada anak-anak semua. Mudah-mudahan semasa anak-anak membaca setiap bait dalam lembaran ini, mama masih ada di dunia. Jika mama sudah tiada, cubalah selongkar blog mama ini yang penuh dengan rahsia dan luahan hati mama.

Pertama-tama mama nak maklumkan pada anak-anak, yang anak-anak adalah buah hati mama. Pengarang jantung hidup mama. Anak-anak juga pendengar dan sahabat setia mama. Anak-anak adalah nikmat hidup mama. Pada masa yang sama. mama juga ingatkan pada diri mama bahawa anak-anak adalah milik Allah sebenarnya. Allah bagi pinjam pada mama. Sampai bila pinjaman itu, mama tidak tahu. Tetapi dengan doa dan usaha yang mama ada, mama akan cuba menjaga pinjaman ini dengan seikhlas hati mengikut apa yang termaktub dalam al Quran, Sunnah rasulullah saw dan pendapat ulama dahulu kala.  Anak-anak pasti maklum sendiri yang mama sebenarnya bukan seorang ibu yang sempurna.Banyak kelemahan yang ada pada diri mama. Mama suka berleter, mama suka komplen dan mama kadang-kadang tidak memahami jiwa anak-anak semua. Kadang-kadang bila mama sampai rumah, mama akan menguncikan diri dalam bilik sebab mama tak nak tengok muka bibi mutiah itu. Bila mama nak cakap dengan anak-anak, mama panggil anak2 masuk ke dalam.  

Ahmed Zaki atau "abang", mama selalu mengingatkan abang pasal akhlaq dan tingkah laku dengan orang tua. Setiap kali abang balik ke rumah, ada saja yang mama leteri. Dari bilik bersepah hinggalah solat berjemaah. Mama tahu abang tidak suka mendengar leteran mama  itu. Tetapi disebalik leteran itu mama tengok bilik dikemas dan abang pun lesap ke surau.

Ahmed Wafi atau "angah", mama selalu ingatkan angah, jangan lupa angkat kain bila balik sekolah. Jangan lupa bawa kain baju dalam raga ke kedai Dobi di bawah rumah kita. Angah suka pergi joging dan gymnasium untuk menjaga kesihatan. Angah tak nak makan pisang goreng yang mama beli sebab ianya berminyak. Mama sedih dan kecil hati maka angah makan sekeping dua demi untuk menjaga hati mama. Sebenarnya mama yang mudah merajuk dengan anak-anak.

Ahmed Lutfi atau "adik", mama selalu berpesan janganlah "pongoh". Nama Lutfi bermaksud lembut. Tetapi disebalik kepongohan itu, adik adalah orang pertama yang akan bersiap-siap ke surau. Adik juga orang pertama yang akan datang peluk mama bila masuk ke dalam rumah. Mama pun cuba sedaya upaya menjadi seorang ibu yang bersabar dengan kerenah anak yang bongsu yang sangat manja ini. Kadang-kadang mama perlu bertegas bila hajat melampaui batas. Mama cuba menjadi seorang ibu yang kreatif berhadapan dengan anak yang bernama Lutfi ini.

Maafkan mama kerana meninggikan suara, mungkin telinga mama tidak mendengar jawapan anak-anak bila dipanggil tadi. Maafkan mama kerana tidak dapat masak apa yang kamu hajati, mungkin mama lembap memahami resepi atau pun mama malas hendak mengemas sinki. . Maafkan mama kerana tidak memenuhi setiap yang kamu hajati, mungkin mama pentingkan diri sendiri...

Anak-anak mama yang mama sayangi...

Mama selalu berfikir yang suatu hari nanti, mama akan pergi bertemu ilahi. Jika mama sudah pergi jangan lupa mandikan jenazah mama. Jangan biar orang lain melihat aib mama mu ini. Biar anak-anak sendiri yang melihat betapa ibumu ini penuh dengan noda dunia. Bila jenazah mama mahu diangkat ke kubur,jangan biar orang lain mengusung mama. Ingat, apa mama pesan dulu. Seorang pegang di kepala, seorang pegang di tengah dan seorang lagi pegang di kaki. Sebaik saja mama akan dimasukkan ke dalam liang lahad, kalau muat masuklah semua anak mama untuk membuka ikatan pada jenazah mama. Pastikan mama berada di posisi yang betul dan mengadap kiblat. Bila sudah selesai maka peganglah mama buat kali terakhir. Pandanglah mama untuk ke sekian kalinya. Mama yang megandungkan kamu semua dan yang menyusukan kamu. Sepanjang 2 tahun mama menyusukan kamu semua.  Tiada susu lain yg membesar dan menguatkan tulang kamu melainkan susu dari badan mama sahaja. Itulah nikmat yang tidak terhingga bila dapat memeluk erat anak-anak mama.

Mama juga ingin berpesan, jika anak-anak semua mempunyai isteri nanti atau anak-anak perempuan, jangan lupa menyayangi mereka dengan sepenuh hati. Layanlah isteri-isteri kamu dengan penuh hormat. Jagalah maruah mereka di depan rakan taulan atau sanak saudara ataupun anak-anak kalian. Itulah sebaik-baik tanda yang kamu semua sayangkan mama..... 

Abilities & Qualities - Inspirational Quotes , Motivational Thoughts and Pictures ,butterfly


                              Jika ada rahmat ilahi pasti kita akan berjumpa lagi....insha Allah :)

Wassalamualaikum wrt.wbt.


p.s. Lagi satu mama nak pesan, jangan lupa deactivate Facebook mama bila mama sudah tiada :)

Friday, June 1, 2012

Monolog hati bahawa mati itu pasti..

Sejak dua minggu lepas, saya menggunakan exit ketiga untuk keluar dari kampus UIAM. Exit ketiga ini akan keluar ke simpang untuk ke Kg Sungai Pusu di sebelah kiri dan ke Kuala Lumpur di sebelah kanan. Setiap kali membelok ke sebelah kanan, saya akan ternampak Tanah Perkuburan Islam Kg Sungai Pusu. Setiap kali saya melalui tanah perkuburan ini, saya akan cuba memperlahankan kenderaan dan mata melihat ke puncak bukit di mana batu-batu nesan jelas kelihatan. Sambil memberi salam kepada ahli-ahli kubur yang telah dulu meninggalkan kita, saya memuhasabah diri apa yang telah dibuat hari ini. Juga saya mengingatkan diri bahawa itulah tempat yang akan saya tinggal bila nyawa sudah diambil oleh Tuan Empunya diri ini. Sesungguhnya saya akan mengikuti kamu semua pada suatu hari nanti. Saya yakin, ahli-ahli kubur ini juga menanti kehadiran saya agar saya memberi doa kepada mereka. Walaupun saya tidak mendengar jawapan mereka, tetapi saya yakin yang mereka mendengar doa dan salam saya.

Setiap kali pulang dari pejabat, saya tidak sabar-sabar untuk melalui jalan ini....Sekaligus, mengingatkan saya bahawa inilah tempat yang akan saya kembali dan bertemu ilahi. Mudah-mudahan jika saya ditanam di sini, harap-harap ada lagi orang seperti saya yang tak sabar2 untuk melalui jalan ini sambil mengucap doa dan salam kepada saya yang telah pergi......


Monday, May 28, 2012

Aku dan Ibu...





Kasih ibu membawa ke syurga. Doa ibu adalah segala. Kehadiran ibu menjadi pembela. Ibu adalah rahmah Allah yang datang berjela.
Ibu saya yang dipanggil Ma adalah seorang wanita yang kuat dari segi fizikal dan mental. Ibu saya tidak berpendidikan tinggi tetapi setiap tindak tanduk dan aktiviti yang dibuat mengalahkan orang yang mempunyai Ph.D. Ibu saya seorang yang kuat semangat bila melihat anak-anak dalam keadaan susah dan lemah. Ibu adalah sumber kekuatan hidup saya. Mudah-mudahan Allah memberi ibu saya  kesihatan yang baik agar dapat pergi masjid dan mengaji Quran iaitu aktiviti kegemaran dia sejak anak-anak sudah besar belaka. Saya juga turut berazam agar saya juga akan menjadi seperti ibu......


" Sesiapa yang tahu betapa bernilainya seorang wanita dan misteri yang ada di sebalik ketenangan jiwa di wajah mereka, pasti  mereka  tidak akan mengelakkan diri dari menyintai seorang  wanita. Sesungguhnya cinta, kasih sayang dan penghargaan pada wanita adalah sebahagian dari kesempurnaan iman seseorang kerana ianya adalah Sunnah Rasulullah SAW dan Cinta Ilahi"
[ Ibn al Arabi]


Friday, May 25, 2012

Cerita pagi jumaat...

Seorang pelajar lelaki tahun satu datang ke bilik saya tadi.

Pelajar: Ustazah, saya nak berhenti belajar...( matanya yang berkaca merenung saya)

Ustzazah: Hah? Exam contract kelmarin lagu mana?

Pelajar: Saya tak ambil exam kelmarin..( sambil mata tunduk ke bawah)

Ustazah: Dah beritahu mak ayah atau sesiapa pasal isu ni?

Pelajar: Belum ustazah...( menangis...)

Ustazah: Bagi saya no telefon mak awak. Biar saya cakap dengan mak...

Pelajar: Jangan ustazah...Biar saya simpan sendiri... ( sambil teresak2)

Ustazah: Kenapa awk nak berhenti?

Pelajar: Saya nak jaga ayah saya yg sakit...( sambil kesat airmata yg tidak berrhenti mengalir)

Ustazah: betul ke awak nak jaga? atau awak nak duduk ssajo?

Pelajar: Saya tak ada semangat nak belajar. Saya rasa putus asa. Tiada motivasi untuk terus belajar.

Ustazah: Bu ( bukan nama sebenar), tengok saya.... Bu, tengok saya, please... ( airmata sudah menanti utk mengalir) Boleh tak awak jadikan saya sebagai inspirasi kepada awak agar awak lebih bersemangat untuk belajar? Boleh tak awak kata pada diri awak, " kalau saya tak ada kat AIKOL ni, saya tak boleh jumpa ustazah lagi.."

Pelajar: (senyum nampak gigi...(mungkin tak percaya )sambil merenung saya) Ya betul , ustazah! betul...

Ustazah: ( senyum juga sambil ambil tisu kesat airmata)

Pelajar: Ok, saya nak ambil exam petang ni. Saya akan jadikan ustazah sebagai sumber inpirasi dalam hidup saya...Saya minta diri dulu, ye?

Ustazah: ya, Bu....jaga diri baik-baik

Di dalam bilik, saya termenung sendirian sambil mengeluh panjang. Begitu rapuh jiwa anak muda sekarang. Tetapi hanya dengan kasih sayang, sedikit perhatian dan kata-kata perangsang sudah cukup mengubah perasaan mereka....

Abu, Abu.....