Powered By Blogger

Tuesday, August 28, 2012

Hudud di Malaysia: Antara daya dan dalih.

Saya ditanya oleh seorang pelajar saya, "Ustazah tak nak komen pasal hudud ke?" Jawab saya, soalan ini sering ditanya melalui Facebook tetapi saya enggan mengulas dengan lebih lanjut. Kadang-kadang, FB ini tidak sesuai untuk kita berbincang perkara-perkara serius serta bercorak akademik seperti Hudud.Saya rasa, perbincangan ini akan menjadi lebih bermanfaat jika kita berlapang dada, ikhlas serta penuh iman di dada. Maksud saya, tidak ada maknanya perbincangan ini dibuat dengan mana2 orang Islam jika mereka tidak ada iman pada al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. 

Hudud adalah sebahagian daripada undang-undang jenayah Islam. Selain daripada hukuman hudud, Islam juga menggariskan hukuman lain iaitu Qisas dan Ta'zir. Ramai yang suka bercakap pasal hudud sahaja dan lupa pada Qisas dan Ta'zir. Jenayah hudud dan qisas, boleh dikenakan hukaman ta'zir jika ada sebarang keraguan dalam pembuktian dan sebagainya. 

Jika ramai yang takut sangat bila dengar nama Hudud, kita tukar nama lain. Apa saja nama yang kita suka seperti, Penal Code, Undang2 Jenayah, Kanun keseksaan, Undang-undang 1Malaysia pun boleh. Yang penting isi kandunganya adalah undang2 Jenayah Islam yang meliputi hukuman hudud, qisas dan ta'zir. Hudud itu nama brand sahaja. Nama brand tak penting, Yang penting adalah isi dalam, hard disc atau enjin dalam brand tersebut.

Saya juga dapati masih ramai yang menggunakan alasan yang negara kita tidak bersedia. Tidak cukup manpower, tidak cukup prasarana, masyarakat tidak cukup faham dan sebagainya. Kalau nak sebut man power, saya rasa kita dah cukup manpower. Institusi pengajian tinggi seperti UIAM, UM dan UKM telah banyak mengeluarkan graduan dalam undang2 syariah dan common law. Itu belum termasuk graduan2 dari universiti2 timur tengah. UM, sebagai universiti tertua di Malaysia sudah banyak mendidik pemimpin2 negara. Akademi Pengajian Islam di UM adalah tempat menyemai graduan2 Syariah dan Undang2. UIAM, yang terkemudian dari UM tetapi banyak mengeluarkan graduan yang bukan saja well versed dalam undang2 Islam tetapi dalam common law juga. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia adalah satu agensi yang mentadbir mahkamah syariah di Malaysia. Prasarana dan infrstruktur yang dibuat oleh JKSM adalah cukup baik setakat ini. Mahkamah syariah di Malaysia secara umumnya sudah lengkap dengan 3 struktur; mahkamah rendah, tinggi dan rayuan. Awal tahun ini ada ura-ura sturuktur mahkamah akan dinaikkan ke 5 struktur. Wah! ini sudah cukup baik. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Undang2 Islam pun sudah lengkap; substantif dan undang prosedur. Malah, negara2 ASEAN lain datang ke Malaysia untuk melihat apa yang sedang  dan akan dibuat.

Lagi satu isu yang diketengahkan ialah masyarakat tidak faham. Mengapa tidak faham? Salah siapakah jika mereka tidak faham? Atau lebih tepat lagi, siapa yang tidak faham, masyarakat atau pemimpin? Atau buat-buat tak faham. Kalau saya nak bercakap atas pengalaman saya mengajar undang2 jenayah Islam, pelajar2 saya yang cemerlang dalam sabjek ini adalah pelajar bukan Islam. Sudah tentunya ada juga pelajar2 Islam tetapi ramai juga yang bukan Islam score dalam sabjek saya. Jadi, faham atau tidak faham bergantung pada iman kita. Yang paling sedih ialah, semasa belajar mereka faham tetapi sebaik saja  pelajar2 Muslim ini  keluar dari UIAM maka mereka akan buat2 tak faham atau terus lupa dengan undang2 jenayah Islam dengan alasan, Malaysia tidak mengamalkan undang2 Hudud.

Jangan kita gunakan alasan bahawa undang2 Islam di Malaysia patut dilaksanakan secara beransur-ansur atas dasar sejarah perundangan Islam itu sendiri. Wahyu diturunkan secara beransur-ansur hanya untuk Rasulullah SAW. Tanjim itu hanya untuk wahyu sahaja. Wahyu sudah tamat. Maka tanjim al Quran/al wahyu juga sudah tiada. Sampai bila kita akan gunakan alasan beransur2 ini? Kita sudah merdeka 55 tahun dan wahyu diturunkan selama kurang lebih 23 tahun. Adakah kita masih lagi akan menggunakan alasan beransur-ansur? Tidak salah kalau kita guna alasan tanjim/beransur-ansur jika baru 10 tahun merdeka.

Pelaksanaan Undang-undang jenayah Islam ialah untuk menjaga kemaslahatan umat sejagat; orang Islam dan bukan Islam. Undang-undang  Islam pula diturunkan untuk seluruh semesta alam; bukan hanya pada manusia tetapi pada makhluk Allah lain juga, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

Apa-apa pun, mudah2an undang-undang Islam yang satu ketika dulu mejadi satu-satunya sumber undang2 di negara kita akan hidup kembali. Saya yakin jika kita bertaqwa kepada Allah, nescaya akan diberi rezeki yang berlipatganda kepada kita serta jalan keluar dari segala kekusutan dan kepayahan. Amin.

Monday, August 13, 2012

Menunggu yang dikasihi


Gambar-gambar di atas adalah senario biasa yang saya tengok sebaik saja saya keluar dari Masjid Nabawi di Madinah. Kaum Adam di atas sedang sedia menunggu isteri masing-masing, atau pun anak perempuan mereka dan mungkin juga ibu-ibu mereka yang keluar dari masjid. kadang-kadang seronok juga melihat mereka menyambut "ketibaan" kita di perkarangan masjid. Sambil tersenyum, mereka turut juga membawa makanan ataupun minuman untuk diberikan kepada kaum hawa. Sambil berpimpin tangan ataupun tersenyum mereka beredar dari masjid. Hati saya turut terusik dengan sifat romantik yang ditunjukkan oleh suami-suami, ayah-ayah ataupun abang-abang di atas kepada kaum hawa ini. 

Bagaimanan dengan saya? Tiada sesiapa menunggu saya di luar masjid? Oh..tidak! Tak perlulah menunggu saya. Hotel hanya beberapa tapak  saja jaraknya dari masjid. Yang penting poket seluar berisi kerana saya suka menyendiri sambil mengintai jauhari sebelum sampai ke bilik kami :)

Friday, August 10, 2012

Ma dan Abah


Ma, abah..sungguh cantik dan segak berbaju dan bertudung pink. Abah, macam biasa selalu buat lawak bila nak ambil gambar berdua dengan ma. Tudung ma tu, jah yang pakaikan. Cantik begitu, kan? Seingat jah, sebelum pakai tudung, jah pakai sedikit foundation di muka ma. Kemudian baru sapu bedak. Semasa Jah sibuk menyap bedak, terdetik di hati, masa kecil dulu, ma selalu pakaikan bedak pada muka kita. Mmutih muka macam kena tepung gandum. Kali ni, giliran kita memastikan ma tetap vogue!

Abah pula, cukup dengan baju melayu dan kain sarung baru. Kopiah putih tak lekang dari kepala. Bila ditegur agar pakai baju smart dan kemas sikit, abah akan menjawab, " Ular takkan hilang bisanya walaupun menyusur di akar".

InshaAllah kita akan berjumpa di Hari Raya nanti :) Sayang Ma dan Abah!!





Saturday, August 4, 2012

Sukan Olimpik dan kita

Sekarang ini Sukan Olimpik sedang berlangsung di London  sejak Julai lalu. Sukan kali ini bertembung dalam bulan Ramadhan. Pastinya memberi sedikit kebimbangan kepada atlit yang beragama Islam tentang amalan berpuasa pada ketika ini. Di dalam FB baru-baru ini, saya dapati ada banyak perbincangan tentang hukum menundakan puasa semasa sukan ini berlangsung. Ramai yang meminta kerajaan kita hendaklah memberi fatwa yang khusus dalam hal ini; boleh meninggalkan/menundakan puasa ataupun tidak. Saya ada terbaca yang Tan Sri Harussani menyatakan bahawa hukumnya boleh untuk tidak berpuasa.Tetapi saya tidak pasti atas alasan apa hukum itu dibuat.Ada juga pendapat menyatakan bahawa, semasa bulan inilah berlakunya Perang Badar dan sahabat serta Rasulullah SAW sendiri berpuasa dan mencapai kemenangan dalam peperangan tersebut.

Puasa di bulan ramadhan adalah wajib. Meninggalkan puasa di bulan Ramadhan tanpa ada alasan yang menasabah dan tidak shara' adalah berdosa. Objektif puasa ialah untuk kita menjadi orang yang bertaqwa. Puasa memberi maslahah kepada diri kita dan bukannnya memberi masalah. Jika kita meneruskan puasa  tetapi pada masa yang sama mendatangkan kemudaratan kepada diri kita, maka harus untuk kita berbuka. Di dalam al Quran telah dinyatakan bahawa jika kita sedang musafir atau sakit maka dibolehkan berbuka puasa tetapi wajib qada' puasa yg ditinggal itu. Kadang-kadang bila kita berada di tempat di mana cuaca yang sangat panas yang boleh memudaratkan badan kita maka dibolehkan kita berbuka. Pada pendapat saya, tidak perlu ada fatwa samada boleh berpuasa atau tidak semasa sukan ini berlangsung. Terpulang kepada individu untuk menentukan tahap mana mereka boleh meneruskan puasa atau tidak. Saya rasa, jika acara sukan yang dimainkan  itu adalah tidak lasak seperti acara menembak , fencing atau chess, maka tak perlulah kita berbuka. Tetapi jika acara sukan itu sebaliknya seperti judo, olahraga, maka bolehlah berbuka. 

Undang-undang shariah ini sangat cantik dan sangat mudah untuk dipraktikkan jika kita faham konsep maqasid shariah. Di dalam hadis, rasulullah ada menyebut " Bashirru wala Tunaffiru". Hendaklah kita menyampaikan berita gembira dan janganlah kita membuat mereka semua lari ( bila mendengar dakwah kita). Lagi satu, bila perkara-perkara sebegini dijadikan isu, boleh mendatangkan perpecahan kepada umat Islam. Saya juga nak komen, di dalam pentadbiran undang2 Islam di Malaysia, jika seorang Mufti ditanya oleh wartawan tentang satu hukum yang tidak ada dalam nas sebelum ini, jawapan yang diberi adalah bukan fatwa tetapi pendapat peribadinya sahaja. Tetapi sebagai umat Islam, hendaklah kita menghormati setiap nasihat atau teguran yang diberi oleh ulama' termasuklah mufti.

Berbalik pada sukan olimpik, saya juga tidak melepaskan peluang untuk menonton sukan ini jika ada kesempatan. Antara acara sukan yang saya suka menonton  ialah acara sukan renang lelaki .Acara renang perempuan, cuba elakkan sebab takut kurus puasa.Acara menembak pun saya suka tengok. Rasa selamat pula tengok sebab pakaian yang dipakai pun agak berpatutan. Tadi, acara sukan olahraga telah pun bermula. Tapi bila diperhati pada pakaian yang dipakai oleh atlet perempuan, tak jadi tengok.Saya rasa, apa salahnya pakai seluar panjang atau tight. Saya rasa sedikit pun tidak menganggu kelancaran acara tersebut. Mungkin saya akan menonton acara olahraga yang melibatkan atlit2 lelaki sahaja.

Teringat zaman di sekolah rendah dulu, saya masuk pertandingan lumba lari 100M dan saya menang tempat kedua. Pakai seluar pendek...Semasa di MMP, saya masuk acara volleyball. Tetapi seingat saya, tak sempat pun saya nak tampar bola. Sebab, setiap kali pihak lawan serve, tak boleh tampar balik. Akhirnya pasukan kami kalah begitu saja. Saya yang berada di belakang dan hujung sekali, hanya berpeluh sebab panas dan berbaju kurang dan bertudung labuh. Tak sempat nak sentuh bola pun!

Apa-apa pun, mudah2an Dato Lee Chong Wei menang perlawanan akhir badminton esok dan dapat membawa balik pingat emas untuk kita semua.  InshaAllah....

Saturday, July 28, 2012

Ma, saya dan sahur

Setiap kali saya di dapur menyediakan juadah sahur untuk keluarga, saya pasti teringat pada Ma di kampung. Suasana waktu sahur yang ketika itu jauh dari bunyi bising dan hiruk pikuk suara anak-anak jiran, membuat saya mudah mengimbau kenangan lalu. Ingatan pada Ma akan lebih menjadi-jadi setiap kali saya mengemas mangkuk pinggan yang telah dicuci semalam. Teringat pada Ma kerana bila saja saya masuk ke dapur untuk bersahur, akan kelihatan Ma sibuk mencuci pinggan mangkuk sambil menggoreng atau memasak apa-apa di sebelah dapur gas. Ma hanya bersendirian di dapur tanpa ditemani oleh sesiapa.

Kemudian bila saja mencedok nasi ke pinggan untuk anak-anak dan suami, saya juga teringat semasa saya di sekolah rendah dan menengah, bila saya bangun sahur selepas dikejutkan Ma, tengok-tengok nasi sudah sedia terhidang di dalam pinggan masing-masing dan menunggu masa untuk di suap ke dalam mulut. Selepas makan, kami membasuh pinggan masing-masing dan terus tidur (masa ini di sekolah rendah). Tiada rasa  ihsan untuk menolong Ma di dapur pada masa itu. 

Kadang-kadang ada juga di kalangan adik beradik yang susah nak bangun sahur walaupun sudah beberapa kali dikejutkan oleh Ma. Kesian tengok Ma, yang tak puas makan, bila asyik masuk keluar bilik mengejut sesiapa yang liat nak bangun. Bila saya mengejut anak-anak dan suami untuk bangun makan sahur, saya tanam dalam diri agar jadi sesabar Ma.

Seingat saya, bila usia menganjak ke umur 16 tahun, saya mula menjadi manusia lebih bertanggungjawab kepada Ma. Kadang-kadang saya tersedar sendiri dari tidur bila mendengar mangkuk pinggan berlaga atau bunyi ikan digoreng dalam kuali. Bila saya bangun, saya akan bertanya Ma apa lagi yang perlu dibuat. Saya nampak macam lega bila ada yang membantu di dapur. Walaupun tidak banyak yang saya tahu pasal masak memasak ini tetapi kehadiran saya untuk menemani Ma di dapur pada waktu kira-kira jam 4.30 pagi membuat Ma rasa gembira. Ada juga,  saya yang bangun dulu dan mengejutakn Ma dari tidur.Kadang-kadang rasa bersalah pula, kenapalah aku ni lambat matang dan lambat memahami perasaan Ma.
 

Pesanan saya kepada orang-orang di luar sana yang masih punya ibu, cukuplah kita menyusahkan ibu di kala kita sudah berumahtangga dan beranak pinak. Jangan sesekali membiarkan ibu kita mengasuh anak kita setiap masa. Janganlah kita meletak anak-anak kita  di rumah ibu tidak kira masa dan ketika tanpa ada rasa timbang rasa. Ibu kita sudah banyak berkorban untuk kita sejak dari kecil. Jangan membiarkan ibu membasuh pinggan yang kita makan dan gelas yang kita minum. Cukuplah..cukuplah...

Saya doakan Ma dan Abah sentiasa diberi kesihatan yang baik agar mereka dapat beribadat dan meluangkan masa bersama-sama. Kepada adik-adik dan kakak, marilah kita berbakti kepada Ma dan Abah dengan membuat mereka gembira dan sesekali tidak menyusahkan hidup mereka. Apa yang mereka buat semasa kita kecil adalah tanggungjawab mereka kepada kita. Sekarang, adalah tanggungjawab kita untuk menjaga hati mereka. Ingatlah, apabila Ma senyum pada kita tidak semestinya Ma redha dengan kita....beringatlah. Kadang-kadang jauh di sudut hati Ma, mungkin hatinya terluka.

Teringat saya satu hadis; " Tiap-tiap dosa bisa diundurkan oleh Allah sehingga ke hari kiamat, melainkan kederhakaan kepada ibu bapa, nescaya akan dipercepatkan balasan kepada si penderhaka sebelum dia mati".

Ma, maafkan dosa-dosa kami....




Monday, July 16, 2012

My survival kit

Sepanjang masa di Makkah dan Madinah, inilah sling bag yang digalas setiap hari keluar masuk  masjid atau ke mana saja saya pergi. Yang paling penting adalah air. Botol air ini saya akan isi dengan air zam zam setiap kali saya keluar dari masjid. Air mukjizat ini adalah air seharian saya.

Gambar di bawah menunjukkan bahagian belakang beg yang saya isi dengan beberapa duit riyal; 1 riyal hinggalah 5 riyal. Duit ini digunakan untuk diberi kepada pekerja-pekerja di Masjid. Tisu pun ada.


 

Inilah kandungan dalam beg di atas. Ada cermin mata hitam di dalam bekas spek yang berwarna krim. Ada plastik berwarna oren yang saya gunakan untuk mengisi selipar yang dipakai sebaik saja masuk ke dalam masjid. Yang berwarna hitam empat segi itu adalah Quran yang akan dibaca sambil menunggu azan masuk atau setiap kali ada masa senggang. Alhamdulillah, saya dapat khatam Quran di Masjid Nabawi pada hari ke 9 saya di sana. Yang berwarna putih tinggi itu ialah krim SPF yang selalu saya oleskan ke muka sebelum keluar dari hotel. Di bawah lotion SPF ada compact powder yang saya pakai bila perlu saja. Saya juga tidak lupa meletakkan lip balm yang kelihatan berwarna pink dalam gambar ini. Tetapi bila dipakai, sebenarnya ia tidak berwarna. Tisu basah dettol digunakan untuk mengelap tangan atau apa2 yang patut. Saputangan berwarna ungu cerah digunakan untuk dilapik atas karpet di masjid dan dijadikan alas tempat saya bersujud. Akhir sekali, iPhone saya yang tak lupa untuk dibawa ke mana saja sepanjang di sana. iPhone inilah yang menjadi alat komunikasi saya untuk bertanya khabar orang-orang yang saya sayangi atau mengemaskini status FB saya bila ada wifi connection di lobby hotel. 




Sunday, July 15, 2012

Makkah dalam kenangan...

Makkah atau Bakkah, adalah tempat suci bagi umat Islam. Tempat yang penuh barakah dan bersejarah. Di sana, tanahnya adalah tanah batu. Bukit dan gunungnya adalah dijadikan dari batu keras. Orang-orang Arab di Kota Makkah sifat asalnya sebelum kedatangan Islam dan sebelum diutusnya Rasulullah SAW, adalah bersifat keras seperti batu. Mungkin ini antara satu sebab Nabi Muhammad diutuskan ke semenanjung Arab dan bukannya ke tanah-tanah lain di dunia ini.

Di Makkah terdapatnya Masjidil Haram. Di Masjidil Haram pula didalamnya terletak Kaabah, iaitu arah kiblat bagi umat Islam untuk beribadat. Di sini banyak tempat yang mustajab doa seperti di Hijir Ismail, Multazam, Safa dan Marwa dan di Kaabah itu sendiri. Walaubagaimanapun, ramai di kalangan umat Islam yang masih percaya pada khurafat, sehingga extrreme dalam beribadat pada tempat2 suci ini. Tindakan sebegini adalah salah di sisi Islam dan boleh membawa kepada Shirik.

Setiap kali saya melakukan tawaf, saya bayangkan beberapa peristiwa. Antaranya kisah Nabi Ibrahim yang membina kaabah bersama-sama dengan anaknya Nabi Ismail. Saya juga teringat pada zaman sebelum kedatangan Rasulullah, kaabah menjadi tempat orang Kafir Quraish menyembah berhala yang diletakkan di sekeliling kaabah. Di sini juga ada pasar Ukaz tempat orang-orang Arab melagukan syair-syair mereka. Di sini juga tempat Rasulullah SAW melakukan haji pertama dan terakhirnya pada tahun ke 10 hijrah. Akhir sekali, saya tidak akan lupa, di salah satu bucu kaabah ini, sahabat Rasulullah SAW dan juga anak lelaki pertama lahir di kota Madinah selepas Hijrah Rasulullah, iaitu Abdullah Ibn al Zubayr, mati di bunuh oleh komander tentera Muawiyah. Kisah pembunuhan sahabat Baginda ini sungguh menyayat hati saya yang sentiasa membuat saya mengalir airmata bila teringat saat sebelum dan selepas kematian beliau.

Masjidil Haram menjadi tempat tumpuan umat Islam. Selain beribadat, tempat ini menjadi tempat untuk berniaga. Di sana sini, banyak kedai yang menjual pelbagai jenis barang dan makanan. Tempat yang menjadi tumpuan saya dan keluarga, ialah makanan dan minuman. Makanan yg disediakan di hotel, tidak berapa disukai oleh suami yang berlidah rempah ratus. Kebanyakan menu di hotel disediakan oleh orang-orang Indonesia yang bertentangan dengan menu suami.Anak-anak tidak menjadi masalah.

Wafi sangat gemar melakukan tawaf sunat jika ada kelapangan walaupun matahari panas terik atau penuh ramai orang. Lutfi, tidak menjadi masalah bila dikejutkan untuk ke Masjidil Haram walaupun awal pagi lagi.Mereka juga tidak jemu-jemu menyebut beberapa patah bahasa Arab yang dipelajari dari buku kecil yang disedikan oleh Travel Agent. Bila ditanya, mahu datang lagikah ke sini? Masing-masing menjawab. ya!




Gambar yang diambil selepas solat maghrib. Kaabah menjadi tempat tumpuan semua orang.




Pemandangan biasa setiap kali lepas solat. Ada saja orang menjual tudung, jubah, selipar dan macam2 lagi di tengah-tengah jalan sehingga menganggu kelicinan perjalanan pulang ke hotel masing-masing.




Tiga beranak sebaik sahaja selesai mengerjakan saie kira-kira jam 3 pagi. Lutfi, senyum dalam paksa disebabkan oleh keletihan dan rasa mengantuk. Kami tidak tidur langsung sebaik sampai di hotel jam 12.30 tengah malam. Ibadah tawaf dan saie diselesaikan secepat mungkin sehingga jam 3 pagi. Sebaik selesai, kami terus menunggu waktu subuh yang masuk pada jam 4.12 pagi.


Tower clock yang diintai dari Masjidil Haram.

 Masjidil Haram yang masih dalam pembaikan dan pembesaran. Semuanya untuk keselesaan umat Islam. Ini adalah gate bernombor 79 yang menjadi tempat entrance kami untuk masuk ke masjid.