Powered By Blogger

Thursday, June 28, 2012

me... in action!


Orang kata bila kita baca Quran dengan bertajwid, memang wajah kita tak comel. Almaklum, kita perlu membentuk makhraj, seperti yang dianjurkan oleh shara' dan ulama terdahulu. Termasuk juga, huruf dan segala macam idgham dan mad yang perlu dipanjangkan dan disebut berserta dengan bunyi yang betul. Memang susah. Saya tidak nafikan tetapi, jika kita Cintakan al Quran, pasti kita tidak peduli semua itu. Sebenarnya, walaupun tidak comel dilihat tetapi comey didengar. Itulah objektifnya.

Saya di sini hendak bercerita mengenai beberapa keping gambar yang diambil oleh Wafi semasa membentangkan kertas kerja kelmarin di Dewan Bridex, Jerudong, Brunei Darussalam. Saya hanya meminta Wafi ambil gambar sekeping dua saja sebagai bukti yang saya naik ke pentas membentangkan kertas kerja dan saya memang ke sana atas urusan kerja! Rupanya, banyak pulak dia snap gambar menggunakan kamera yang baru dibeli itu. Bila diperhati di dalam gambar-gambar di bawah, sesungguhnya saya memang bersemangat langsung. Dalam bahasa Kelate disebut, "Ssungguh"! Dalam bahasa orang putih disebut "Passionate"!

Pelbagai gaya rupanya saya berada di pentas. Yang penting saya bukan wanita melayu terakhir di sana.Tak kira  tudung gheyok atau pun tidak, tangan terangkat ke atas ke bawah, tepuk rostrum, mulut macam nak makan buah gomok dan memek wajah macam nak makan orang! Aduh! rasa malu pula bila diteliti gambar-gambar di bawah. 

Apa pun yang gaya yang dipamirkan, mudah-mudahan misi dan objektif saya tercapai dan audience faham apa yang saya bentangkan.   



























Salam dari Kampung Berakas, Brunei Darussalam!

p.s. Entri ini ditulis gara-gara bangun awal pagi lagi.

Wednesday, June 27, 2012

Jauh perjalanan, kita dapat ramai kawan...


Antara kelebihan bila kita keluar berjalan-jalan samada di dalam atau di luar negeri ialah dapat berjumpa dengan kawan-kawan baru. Gambar-gambar di bawah adalah kawan-kawan baru yang saya jumpa semasa di airport, di hotel dan di tempat konferensi. Sebenarnya di dalam dunia ini tiada orang luar dan juga tiada orang yang kita tidak kenali jika kita sentiasa membina jambatan persahabatan dan bukannya dinding persahabatan.


Gambar di bawah, saya bersama seorang kawan.





Kemudian saya berjaya mendapat seorang lagi, jadi sekarang ada dua kawan!





Kemudian ada 3 lagi! ( sebetulnya di sebelah kiri saya, yang bersongkok itu  adalah teman lama semasa di UIAM) Kanak-kanak lelaki yang berjaket hitam, katanya bila besar mahu jadi Professor sebab itu dia pakai jaket. Namanya Ajwad dan dia pun kawan saya juga!





Dan kali ini saya ada 4, 5, 6. 7, 8, 9, 10, 11,12....bersama dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Arab di Bandar Seri Begawan. Subhanallah, anak-anak ini semuanya manis-manis dan sopan. Ramai orang Brunei  yang saya jumpa, lelaki mahu pun perempuan, adalah mereka yang baik dan lembut percakapannya. Anak-anak ini boleh menjadi menantu saya, kalau mereka mahu. Hehehe... Mudah-mudahan mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Amin :)




Monday, June 25, 2012

Niat: Sebelum dan Selepas

Sebenarnya tidak salah kita memakai corset atau  pakaian dalam dengan tujuan untuk menguruskan badan. Pakaian dalam seperti ini, memang saya akui dan terbukti bagus pada kesihatan badan, sekaligus boleh membentuk kontur badan agar lebih cantik dan sesuai dengan ketinggian badan kita. Begitu juga tidak salah untuk mengamalkan minuman atau makanan kesihatan yang tumbuh bagai cendawan basah sejak akhir-akhir ini. Saya juga ada minum minuman seumpama ini.

Cuma saya tidak setuju satu saja iaitu selepas terbukti berkesan maka cara kita berposing  untuk gambar selepas penggunaan jenama tersebut. Posing maut dengan liuk lentok badan yang boleh jatuh kepada sifat hendak menunjuk-nunjuk atau lebih tepat lagi riya'. Bila diteliti gambar "Sebelum" adalah lebih sopan walaupun ada tayar spare di pinggang atau dagu berlapis tiga. Tetapi bila dilihat gambar "Selepas", fulamak, memang lain dan lari dari konsep asal. Dengan bercekak pinggang ( sebab nak tunjuk pinggang ramping), memakai baju sendat sesendatnya. Kononya nak tunjuk yang dia ada "itu dan dia ada ini". Diikuti dengan senyuman menggoda dan posing gedik gelenyar ( dan geletah)  tahap American Supermodel of the Year. Inilah silapnya. Niat asal adalah baik tetapi bila saiz sudah berubah maka niat pun turut berubah.

Yang penting bersederhanalah dalam apa cara sekalipun. Entri kali ini lebih kepada hendak mengingatkan agar kita berhati-hati bila disuruh untuk berposing dengan penampilan baru.

Hendaklah kita ingatkan diri kita apabila kita berhajat kepada sesuatu, kita hendaklah meminta kepada Allah agar dinaikkan taraf dan tahap keimanan kita jika hajat kita kesampaian.

Jika niat kita baik dan suci sekalipun tetapi jika cara dan metod itu salah, maka ia tetap salah dan jatuh kepada dalam ketegori maksiyat.

Saturday, June 23, 2012

Taklimat! Taklimat!

Saya diminta oleh seorang silent reader blog saya agar menulis satu entry mengenai bagaimana mendidik anak-anak lelaki. Permintaan ini dibuat kerana saya dan dia mempunyai ramai anak lelaki. Cuma anak-anak saya jauh lebih tua dari anak-anak dia. Lama saya mencari idea yang sesuai untuk dimuatkan dalam blog UstazahCinta ini. Bukan apa, rasanya saya tidak layak untuk dijadikan contoh teladan. tetapi memikirkan hanya sekadar berkongsi pengalaman peribadi maka saya cuba menulis mengenai hal ini. 

Ramai orang berkata mempunyai anak-anak lelaki ini kita kena banyak bersabar sebab mereka ini sangat aktif atau bbuah ( kato ore kelatey), suka keluar dan tidak mendengar kata. Mengikut pengalaman peribadi saya, anak-anak saya tidak sebuas yang disangka. Semasa kecil mereka (semasa kecil saya ulang sekali lagi) mereka sangat mendengar kata dan tidak sebuas yang kita sangka. Saya masih ingat, semasa Zaki dan Wafi berusia diantara 4-7 tahuun, bila saya bawa ke shopping centre atau ke kedai atau ke rumah orang, sebelum mereka turun dari kereta, saya akan memberi taklimat kepada mereka. " Taklimat! Taklimat!" saya akan berrsuara.  " Ya, mama!". Mereka berdua akan bangun dan menjawab ala-ala tentera gitu. " Ingat, apa pesan mama?". Mereka akan menjawab lagi, " Tak boleh lari-lari, tak boleh beli toys, kalau nak beli toys jugak kena beli yang murah saja, tak boleh nangis dan kena dengar cakap mama. Tengok barang dengan mata, bukan tengok dengan tangan!'. Inilah yang mereka ulang ke mana saja saya pergi. Akhirnya, mereka tidak pernah menimbulkan masalah kepada saya semasa keluar dari rumah. Ada juga sekali sekala mereka meragam, maka saya akan membawa mereka pada satu sudut yang tiada orang dan saya akan bertanya apa yang mereka mahu. Jika mereka tidak mahu kompromi dengan saya, maka saya akan balik ke rumah. Anak-anak adalah lebih penting dari shopping barang dapur atau shopping tudung saya. Tidak sesekali saya  akan marah anak-anak di depan orang ramai. Anak-anak juga mempunyai perasaan malu dan ego mereka. Saya mesti hormat mereka di mana saja mereka berada. Lagi satu, anak-anak yang dimarahi di depan orang ramai akan membuahkan sifat-sifat negatif seperti dendam dan marah yang akan disimpan di sudut hati mereka.

Bila orang bertanya kenapa anak-anak saya begitu sami'na wa ata'na, saya sendiri kurang pasti apa sebabnya. Kalau dibandingkan dengan suami, saya rasa saya lagi tegas mendidik anak-anak. Saya masih ingat, bila saja gigi pertama mereka tumbuh, saya mula mencuci gigi mereka dengan bucu kain yang sudah dilembapkan dengan air. Walaupun mereka menangis dan meraung-raung sekalipun, saya akan tarik ( dan khejong)  dan menggosok gigi mereka yang hanya mengambil masa tak sampai satu minit pun. Bila gigi mereka dah banyak, saya akan supervise mereka cara-cara menggosok gigi. Sambil itu saya juga bercerita tentang kebaikan mempunyai gigi yang bersih dan cantik. Sejak dari kecil sehingga sekarang saya, meng"haram"kan anak-anak saya makan lolipop. Mereka tahu tentang fatwa yang saya beri ini. Kerepek atau jajan memang jarang-jarang sekali.  Semasa di dalam kereta dalam perjalanan jauh ke mana-mana destinasi maka saya benarkan. Itupun 1-2 paket sahaja untuk dikongsi 5 orang. Jika saja-saja nak makan, memang saya tidak izinkan langsung.

Bila dimuhasabah balik saya rasa anak-anak saya jadi begini sebab saya menyusukan mereka sehingga mereka berusia 2 tahun. Itulah susu yang diminum. Makanan hanya dibagi bila mereka mencapai usia 7 bulan.  Hasilnya, mereka jarang-jarang demam, batuk, selesema dena sebagainya.  Mereka juga mudah diurus dan tidak meragam. Jika saya ke pejabat, saya akan perah susu dalam botol dan beri minum melalui botol atau cawan.

Saya juga banyak menanam sifat takutkan Allah di dalam hati mereka. Seawal usia 2 tahun bila sudah pandai bercakap, saya selalu bertanya siapa yang jadikan kamu (sebut nama anak-anak)? Saya akan menjawab, "Allah!" Saya akan meminta mereka juga menyebut kalimah "Allah" setiap kali saya bersama mereka. Walaupun mereka tidak tahu siapa Allah di kala usia sebegini, saya selalu sebut kalimah  Allah ke telinga mereka, terutama semasa menyusukan atau menidurkan mereka. Apa saja amalan yang dibuat, saya akan kaitkan dengan Allah.

Sekarang mereka sudah besar panjang, (18, 16 dan 12 tahun) dan mempunyai karakter yang berbeza-beza. Walaupun telah dididik dari kecil seperti di atas, tetapi bila sudah besar faktor-faktor luaran seperti kawan-kawan, tempat, pembacaan dan pergaulan mereka boleh mengubah sikap dan sifat mereka. Saya hanya boleh mengingatkan mereka setiap masa , berleter setiap hari, suruh itu dan ini, larang situ dan sini dan akhir sekali saya hanya mampu berdoa...

Pada akhirnya, mereka akan menjadi apa yang mereka usahakan dan inginkan.  Doa saya sebagai ibu agar hati mereka terus kekal dan istiqaamah bahawa Allah SWT itu satu dan Muhammad SAW adalah pesuruh Allah. Itu saja....



Gambar di bawah ialah semasa mereka kanak-kanak bersama dengan papa mereka..









Ini pun gambar lama semasa berada di atas Singapore Flyer





Mudah-mudahan mereka akan menjadi manusia yang memberi manfaat pada diri sendiri dan alam sejagat.. Amin Ya rabbal aalamin :)

Sunday, June 17, 2012

Khayalan di ampaian kain

Semasa saya menyidai kain baju yang dibasuh malam tadi saya terdengar ucapan dari tetamu kehormat yang dijemput untuk memberi ucapan utama dan merasmikan Hari Sukan di Sekolah Taman Melati pagi tadi. Di dalam ucapan tersebut dia menyebut tentang Datuk Nicole David sebagai satu contoh tentang kejayaan seorang anak muda yang mengharumkan nama negara di persada dunia. Semangat kesukanan yang ditonjolkan oleh Datuk Nicole sejak dari usia mudanya patut dicontohi oleh pelajar-pelajar di sekolah tesebut. Saya mengamati ucapan itu dari awal hingga akhir, dikhuatiri ada disebut dalam ucapan itu tentang Rasulullah, uswatun hasanah kita sebagai orang Islam. Tetapi tiada langsung disebut nama Baginda SAW. Ucapan itu diakhiri dengan ucapan perasmian Hari Sukan sekolah tersebut.

Saya berkhayal sendirian sambil mengatur baju di ampaian,  kalaulah saya jadi YB;Saya akan mulakan ucapan itu dengan beberapa ayat suci al Quran yang menyatakan tentang aktiviti sukan seperti menunggang kuda yang hukumnya harus dalam Islam.. Kemudian saya akan menyebut tentang Rasulullah SAW yang gemar berlari dan juga pesanan dari Baginda agar kita pandai berenang dan memanah. Sesunngguhnya segala jenis aktiviti sukan boleh menyihatkan badan seterusnya membawa kepada sihatnya aqal. Sukan boleh menghilangkan stress pada fikiran kita.  Aqal  yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah merujuk kepada fikiran dan mental kita. Saya akan tekankan juga badan dan aqal yang sihat boleh membantu kita untuk berjihad pada jalan Allah. Dengan kata lain, ucapan saya lebih kepada untuk menguatkan aqidah pelajar-pelajar tersebut agar setiap aktiviti yang dilakukan hendaklah bertujuan untuk mencari keredhaan Allah semata-mata. Pada masa yang sama, saya akan memastikan Rasulullah SAW patut didahulukan sebelum orang-orang lain yang mana cara hidup kita hendaklah berlandaskan di atas sunnah Rasulullah SAW. Dialah idola hidup kita dan diikuti dengan para sahabat Baginda yang telah banyak mengorbankan jiwa, harta dan sebagainya demi untuk menegakkan ajaran Islam. 

"Mama! Bila nak goreng nugget ni?" Tiba-tiba suara Lufi kedengaran  memanggil saya. Ishkk...saya sudah terlajak ini. Rupanya saya hanyalah seorang bibik yang sedang menyidai kain dan seorang ibu yang masih belum menyediakan sarapan untuk anak bongsunya.

"Ok! Mama datang..."

Sekian.

Saturday, June 16, 2012

Bukti cinta....Seia dan sekata

Seorang pelajar bertanya kepada saya, " Bila Ustazah bangun buat Qiyaam, Ustazah ada buat solat hajat tak?"


Saya tersenyum mendengar soalan jujur dan ikhlas dari pelajar tersebut. Mungkin soalan itu bermaksud, bahawa waktu kita menunaikan qiyaam itu adalah salah satu waktu mustajab doa kepada sesiapa yang ada hajat.

Sebenarnya, sejak usia menganjak ke angka lebih 40 ini, macam sudah menjadi satu routine kepada saya untuk terjaga pada jam 3.30-4.30 pagi. Mungkin ini satu peringatan yang ingin disampaikan oleh Allah agar saya kena banyakkan ibadat dan beruzlah dengan Allah. Walaubagaimanapun, saya tidak bangun untuk qiyaam tiap-tiap malam. Tengok pada keadaan atau apa program esok hari.

Berbalik pada soalan pelajar tadi, saya menjawab, kita kena banyak memberi bukan meminta. Kita hendaklah banyak menyerah diri pada Allah  SWT. Tapi pada masa yang sama kita juga harus meminta dan memohon apa yang perlu kepada Yang Maha Esa. Jika saya melakukan solat hajat pun, bukan untuk saya sendiri tetapi untuk orang lain. Solat hajat untuk anak-anak jika mereka akan menduduki peperiksaan ( contohnya), kepada pelajar-pelajar saya, kepada adik-adik dan kakak, ma abah dan sesiapa yang meminta saya berbuat demikian. Jarang sangat saya menunaikan solat hajat untuk saya. Kadang-kadang waktu-waktu sebegini, saya akan ke balkoni sambil menikmati langit gelap dan berkabus sambil menanam di dalam hati bahawa itulah kebesaran ilahi.

Saya banyakkan "memberi" kepada Allah dengan mengamalkan perkara-perkara sunat, muakkadah atau ghayr muakkadah. Berzikrullah di mana saja hatta sedang membasuh pinggan mangkuk atau mengupas bawang, atau pun memberi salam bila masuk ke pejabat (walaupun tiada manusia di dalam). Sambil "memberi" tidak lupa  untuk  saya meminta apa yang terlintas di kepala termasuk mendoakan sesiapa yang ada di dalam hati saya. Menyebut nama sesiapa yang saya ingat agar diberi rahmat Allah Yang Maha Esa dan dipermudahkan urusan dunia. Saya yakin bila kita MEMBERI kita juga akan MENERIMA. Kita juga harus ingat yang kita hanya boleh memberi jika kita mempunyai rasa Cinta pada Pencipta. Antara sebab mengapa kita jarang memberi kerana kita gagal  menyintai  Dia. Tanamlah, semailah dan pupuklah rasa cinta kita pada Allah yang Maha Esa. Ketahuilah itulah puncak nikmat cinta yang hakiki. Sebenarnya itulah rahsia pahala dan rahmah Allah kepada kita. Lagi susah perbuatan itu, lagi banyak pahala dan ganjaran yang akan kita terima. Yang penting kita perlu yakin dengan janji Allah dan  sesungguhnya Allah  tidak akan sesekali melanggar janji-janjiNya



p.s "you can give without loving but you can never love without giving.."

Thursday, June 14, 2012

Corat coret memeriksa kertas jawapan

Disebabkan minggu ini ialah minggu terakhir kepada pensyarah-pensyarah untuk memeriksa dan memberi gred kepada pelajar-pelajar maka saya ingin berkongsi pengalaman memeriksa dan membaca kertas-kertas jawapan pelajar-pelajar undanng-undang di kelas saya. Gambar-gambar di bawah adalah sebahagian dari kertas-kertas jawapan yang telah saya baca.






Kesalahan jawapan pelajar di atas kerana memberi satu fakta yang berlawanan pada ayat yang mula-mula. Kalaulah ijtihad itu sudah "independent" maka ia tidak perlu lagi pada perkataan "depends".  Maka pelajar di atas tidak dapat markah kerana ada conflict of interest dalam fakta di atas dan di bawah.





Penggunanaan perkataan 'consummation" adalah salah untuk konteks ayat di atas. "Consummation of a marriage" adalah satu istilah yang digunakan di dalam sabjek Family Law. Tetapi di dalam undang-undang jenayah Islam, kita guna "consuming of khamr" ataupun "consumption of khamr". Kesalahan student ialah mereka banyak mendengar tetapi tidak membaca. Sepatutntnya student mestilah memeriksa apakah perkataan asal consummation di dalam kamus.



Ada yang memohon maaf kerana tulisan yang sangat teruk. tapi saya rasa tulisan di atas tidaklah teruk sangat. Alasan yang mengatakan necessity atau darurat adalah tidak diterima.



ada juga yang eja nama abah saya salah  walaupun sudah tulis di whiteboard nama penuh saya.


Tulisan dan jawapan yang menarik perhatian saya. Pasti sesiapa yang tengok pada kertas jawapan macam ini akan memberi markah dengan senang hati pada pelajar tersebut. Tulisan yang besar, warna dakwat pen hitam pekat, ada paragraf, no soalan dan bahagian A  juga ditulis. Tidak ketinggalan juga, student di atas telah meng'highlight' nama Khalifah Umar untuk menarik perhatian pemeriksa. Jika salah, jangan guna liquid paper untuk membatalkan ayat atau perkataan yg salah. Guna pembaris dan membuat satu garisan atas ayat yang salah.



Lagi satu jawapan yang menarik perhatian saya. Pelajar juga sempat membuat table untuk menunjukkan perbezaan dua istilah yg berbeza. Sangat kreatif dan berbeza.

Bila saya tengok tulisan macam ini, kepala saya pening dan tidak mahu membaca dengan sepenuh hati saya. Memaksa diri membaca dan memberi markah seadanya. Pelajar perlu ingat, bahawa pemeriksa juga manusia biasa dan mempunyai hormon-horman yang tidak bertimbangrasa jika tulisan sebegini dihadiahkan kepada dia.


ada yang menulis ayat Quran salah. Saya maafkan juga jika tidak terlalu berlebihan kesalahan mereka. Tetapi di sini, maksud ayat pun dah lari.Cuba lihat ayat kedua bacaannya seperti Allah Muhammad yang sepatutnya ialah Allahu al somad.


istilah yang sepatutnya digunakan di atas ialah Musta'man dan bukannya Musta'mal. Lagi satu istilah yg salah ialah kalimah Qamr. Qamr itu maksudnya bulan. Pelajar di atas mahu menulis Khamr iaitu arak. Sebenarnya kedua-dua perkataan di atas sudah ditulis di whiteboard semasa lecture dan tutorial. Sudah diingatkan beberapa kali di dalam kelas tetapi mereka tetap lupa...

Saturday, June 9, 2012

Jah! Sanah Helwah..

Kenyataan di atas adalah ucapan Selamat Ulangtahun kepada diri saya sendiri. Membuat ucapan pada diri agar terus istiqamah di dalam perjuangan, ibadah dan amalan-amalan baik lain. Seharusnya saya mesti menghargai diri sendiri sebelum orang lain dapat menghargai diri saya.
Syukur kepada Allah kerana diberi peluang untuk hidup sehingga ke angka ini. Masih tergapai-gapai mencari kekuatan hidup. Masih membilang-bilang amalan yang dibuat selama ini. Ikhlas kerana Allah kah atau dibuat kerana manusia atau suasana sekeliling?

Walaupun usia sudah melebihi angka 40 tetapi rasanya hati tetap muda. Muda, sebab sentiasa dikelilingi oleh orang-orang muda terutama pelajar-pelajar yang bertukar bersilih ganti. Masih lagi suka membeli alat-alat tulis, cenderamata yang kecil-kecil, masih lagi membelek anak-anak patung jika ada peluang. Masih lagi bergosip-gosip dengan pelajar-pelajar saya yang masih muda.

Saya juga berasa muda setiap kali balik kampung, berjumpa dengan Ma dan Abah yang masih lagi memanggil saya, "Jah,jah..." Setiap kali dipanggil begitu, terasa seperti masih lagi anak kecil pada ma dan abah. Ah! sebak pula rasanya bila disebut nama-nama keramat itu.

Menurut ibu saya lahir pada hari Isnin pada jam 4.30 pagi. Menurut ibu lagi, semasa kecil saya mempunyai selera makan yang sangat tinggi. Dengan kata lain, saya suka makan! Apa saja yang diberi atau ditawar, saya akan makan. Tiada istilah tidak sedap pada saya. Tiada perkataan "tidak" pada setiap makanan yang ditawar pada saya. Jika, adik-adik lain, makan biskut 1 keping sahaja di kala usia 7-10 bulan , saya pula boleh menghabiskan 2 keping setengah! Padan la badan saya besar sampai sekarang. Lagi satu, jika saya demam pun, saya tetap berselera untuk makan. Sebab itu  ibu cakap, demam saya tak melarat. Cukup 2-3 hari saya sudah sembuh.

Saya diberi mimum susu botol dari usia 1 tahun lebih dan hinggalah hampir mencecah umur 3 tahun. Ibu tidak tahu macam mana hendak membuat saya berhenti minum susu botol sebab saya sudah "bergantung" sangat pada botol. Suatu hari, botol saya jatuh ke dalam longkang dan boleh nampak botol itu terapung. Jadi, setiap kali saya meminta susu, ibu akan bertanya " mana botol susu Jah?" maka saya akan berlari ke lantai dan lihat diantara celah-celah kayu lantai di mana botol saya yang kelihatan di situ. Lama kelamaan saya faham yang saya kena minum susu melalui cawan.

Semasa umur 9-10 tahun, menurut ibu, saya selalu "berderak". Keluar dengan kawan-kawan atau sepupu dan bermain di rumah mereka sehingga lupa nak balik rumah sebelum waktu maghrib. Ada juga saya sampai tertidur di rumah sepupu. Takut nak balik, saya akan meminta nenek tolong beritahu ibu atau abah. Saya juga  suka bermain di tepi sungai Kelantan di belakang rumah sepupu saya. Mengambil buah timun cina (tembikai) yang orang tanam dan makan sambil menyorok-nyorok takut tuan punya timun itu nampak. Oleh kerana kami tiada pisau untuk membelah timun itu maka kami akan menghentak atas pasir agar buah itu pecah dua. owh..nakal juga rupanya. Kadang-kadang saya akan mengutip etak ( kelate; etok) di tepi sungai dan menyalai di rumah sepupu. Suka sangat kekoh etak masa dulu. Sekarang, bila tengok etok, hati saya terusik dengan kenangan lalu. Yang sedihnya sekarang saya sudah hilang kemahiran mengekoh etak. Saya juga suka main bola cap kaki tiga. adoi..sedap sungguh mengejar orang  dan membaling bola ke badan mangsa. Nikmat yang tidak terkata!   

Saya suka makan kari ikan masakan ibu. Biasanya ibu guna ikan Mmuduk ( Jemuduk) untuk membuat kari ikan. Kalau saya membuat permintaan sedemikian ibu akan memberi syarat, yang saya sendiri akan meminta daun kari dari sebuah rumah jiran yang berdekatan. Sebenarnya jiran itu tidak begitu mesra dan kadang-kadang dia menghalau kanak-kanak (termasuk saya) yang selalu bermain dan berbuat bising berdekatan dengan rumah dia. Kari ikan punya pasal, saya tebalkan muka walaupun kena marah, datang untuk meminta izin untuk mengutip daun kari di kawasan rumah dia. Satu lagi lauk kegemaran saya ialah bayam masak lemak dicampur dengan ubi keledek. Seingat saya, jika saya balik kampung, ibu akan masak lauk ini pada saya sehingga ke hari ini.

Banyak sekali yang hendak dikongsi tetapi rasanya cukuplah setakat ini sahaja. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang masih memberi pinjam pada saya ingatan yang kuat untuk mengingati kisah-kisah lampau. Semua yang berlaku dalam hidup saya, tidak sesekali saya menyesal. Walaupun pernah ditarik telinga,  dimarah, dipukul oleh ma abah dan sebagainya, saya akui semua itu adalah dari kenakalan saya. Semua itu mendidik saya sehingga saya berasa sendiri apa perasaan menjadi ibu bapa pada hari ini. Keinginan untuk berubah dan dengan izin serta rahmah Allah, menjadikan saya hari ini.

Saya mohon kemaafan kepada orang-orang yang pernah menjadi mangsa saya semasa kecil. Mohon maaf juga pada sepupu-sepupu yang saya banyak menghabiskan masa bersama mereka. Bergurau senda dan berbual mesra, pasti ada terkasar bahasa. Maaf dipinta.


Tidak lupa, saya ingin berterimakasih kepada guru-guru saya walau di mana mereka berada. Walaupun saya tahu sudah ramai yang sudah pergi dari alam fana' ini, tetapi paling saya tidak lupa ialah guru yang mengajar mengaji Quran  iaitu Pak Cik Man yang pergi pada tahun 2007. Setiap kali saya mengaji Quran, tidak lupa saya memohon kepada Allah agar sampaikan pahala bacaan saya kepada arwah.

Di bawah ini saya sertakan "dalil" atau "hujjah" yang saya lahir pada 9 Jun 1969 dan diberi nama Ramizah Wan Muhammad ...  :)



                                                                         ^
                                                                         ^
                                                                         ^
                                                                         ^
                                                                         ^





p.s. Sanah Helwah Ya Enta..Enta daiman fi qalbi..wa ana daiman fi qalbik :)

Wednesday, June 6, 2012

Surat untuk anak-anak Mama

Kehadapan anak-anak mama yang dikasihi dan dicintai hingga ke mati; Ahmed Zaki, Ahmed Wafi dan Ahmed Lutfi....

Assalamualaikum wrt.wbt.

Mama harap surat ini sebagai wasiat mama pada anak-anak semua. Mudah-mudahan semasa anak-anak membaca setiap bait dalam lembaran ini, mama masih ada di dunia. Jika mama sudah tiada, cubalah selongkar blog mama ini yang penuh dengan rahsia dan luahan hati mama.

Pertama-tama mama nak maklumkan pada anak-anak, yang anak-anak adalah buah hati mama. Pengarang jantung hidup mama. Anak-anak juga pendengar dan sahabat setia mama. Anak-anak adalah nikmat hidup mama. Pada masa yang sama. mama juga ingatkan pada diri mama bahawa anak-anak adalah milik Allah sebenarnya. Allah bagi pinjam pada mama. Sampai bila pinjaman itu, mama tidak tahu. Tetapi dengan doa dan usaha yang mama ada, mama akan cuba menjaga pinjaman ini dengan seikhlas hati mengikut apa yang termaktub dalam al Quran, Sunnah rasulullah saw dan pendapat ulama dahulu kala.  Anak-anak pasti maklum sendiri yang mama sebenarnya bukan seorang ibu yang sempurna.Banyak kelemahan yang ada pada diri mama. Mama suka berleter, mama suka komplen dan mama kadang-kadang tidak memahami jiwa anak-anak semua. Kadang-kadang bila mama sampai rumah, mama akan menguncikan diri dalam bilik sebab mama tak nak tengok muka bibi mutiah itu. Bila mama nak cakap dengan anak-anak, mama panggil anak2 masuk ke dalam.  

Ahmed Zaki atau "abang", mama selalu mengingatkan abang pasal akhlaq dan tingkah laku dengan orang tua. Setiap kali abang balik ke rumah, ada saja yang mama leteri. Dari bilik bersepah hinggalah solat berjemaah. Mama tahu abang tidak suka mendengar leteran mama  itu. Tetapi disebalik leteran itu mama tengok bilik dikemas dan abang pun lesap ke surau.

Ahmed Wafi atau "angah", mama selalu ingatkan angah, jangan lupa angkat kain bila balik sekolah. Jangan lupa bawa kain baju dalam raga ke kedai Dobi di bawah rumah kita. Angah suka pergi joging dan gymnasium untuk menjaga kesihatan. Angah tak nak makan pisang goreng yang mama beli sebab ianya berminyak. Mama sedih dan kecil hati maka angah makan sekeping dua demi untuk menjaga hati mama. Sebenarnya mama yang mudah merajuk dengan anak-anak.

Ahmed Lutfi atau "adik", mama selalu berpesan janganlah "pongoh". Nama Lutfi bermaksud lembut. Tetapi disebalik kepongohan itu, adik adalah orang pertama yang akan bersiap-siap ke surau. Adik juga orang pertama yang akan datang peluk mama bila masuk ke dalam rumah. Mama pun cuba sedaya upaya menjadi seorang ibu yang bersabar dengan kerenah anak yang bongsu yang sangat manja ini. Kadang-kadang mama perlu bertegas bila hajat melampaui batas. Mama cuba menjadi seorang ibu yang kreatif berhadapan dengan anak yang bernama Lutfi ini.

Maafkan mama kerana meninggikan suara, mungkin telinga mama tidak mendengar jawapan anak-anak bila dipanggil tadi. Maafkan mama kerana tidak dapat masak apa yang kamu hajati, mungkin mama lembap memahami resepi atau pun mama malas hendak mengemas sinki. . Maafkan mama kerana tidak memenuhi setiap yang kamu hajati, mungkin mama pentingkan diri sendiri...

Anak-anak mama yang mama sayangi...

Mama selalu berfikir yang suatu hari nanti, mama akan pergi bertemu ilahi. Jika mama sudah pergi jangan lupa mandikan jenazah mama. Jangan biar orang lain melihat aib mama mu ini. Biar anak-anak sendiri yang melihat betapa ibumu ini penuh dengan noda dunia. Bila jenazah mama mahu diangkat ke kubur,jangan biar orang lain mengusung mama. Ingat, apa mama pesan dulu. Seorang pegang di kepala, seorang pegang di tengah dan seorang lagi pegang di kaki. Sebaik saja mama akan dimasukkan ke dalam liang lahad, kalau muat masuklah semua anak mama untuk membuka ikatan pada jenazah mama. Pastikan mama berada di posisi yang betul dan mengadap kiblat. Bila sudah selesai maka peganglah mama buat kali terakhir. Pandanglah mama untuk ke sekian kalinya. Mama yang megandungkan kamu semua dan yang menyusukan kamu. Sepanjang 2 tahun mama menyusukan kamu semua.  Tiada susu lain yg membesar dan menguatkan tulang kamu melainkan susu dari badan mama sahaja. Itulah nikmat yang tidak terhingga bila dapat memeluk erat anak-anak mama.

Mama juga ingin berpesan, jika anak-anak semua mempunyai isteri nanti atau anak-anak perempuan, jangan lupa menyayangi mereka dengan sepenuh hati. Layanlah isteri-isteri kamu dengan penuh hormat. Jagalah maruah mereka di depan rakan taulan atau sanak saudara ataupun anak-anak kalian. Itulah sebaik-baik tanda yang kamu semua sayangkan mama..... 

Abilities & Qualities - Inspirational Quotes , Motivational Thoughts and Pictures ,butterfly


                              Jika ada rahmat ilahi pasti kita akan berjumpa lagi....insha Allah :)

Wassalamualaikum wrt.wbt.


p.s. Lagi satu mama nak pesan, jangan lupa deactivate Facebook mama bila mama sudah tiada :)

Friday, June 1, 2012

Monolog hati bahawa mati itu pasti..

Sejak dua minggu lepas, saya menggunakan exit ketiga untuk keluar dari kampus UIAM. Exit ketiga ini akan keluar ke simpang untuk ke Kg Sungai Pusu di sebelah kiri dan ke Kuala Lumpur di sebelah kanan. Setiap kali membelok ke sebelah kanan, saya akan ternampak Tanah Perkuburan Islam Kg Sungai Pusu. Setiap kali saya melalui tanah perkuburan ini, saya akan cuba memperlahankan kenderaan dan mata melihat ke puncak bukit di mana batu-batu nesan jelas kelihatan. Sambil memberi salam kepada ahli-ahli kubur yang telah dulu meninggalkan kita, saya memuhasabah diri apa yang telah dibuat hari ini. Juga saya mengingatkan diri bahawa itulah tempat yang akan saya tinggal bila nyawa sudah diambil oleh Tuan Empunya diri ini. Sesungguhnya saya akan mengikuti kamu semua pada suatu hari nanti. Saya yakin, ahli-ahli kubur ini juga menanti kehadiran saya agar saya memberi doa kepada mereka. Walaupun saya tidak mendengar jawapan mereka, tetapi saya yakin yang mereka mendengar doa dan salam saya.

Setiap kali pulang dari pejabat, saya tidak sabar-sabar untuk melalui jalan ini....Sekaligus, mengingatkan saya bahawa inilah tempat yang akan saya kembali dan bertemu ilahi. Mudah-mudahan jika saya ditanam di sini, harap-harap ada lagi orang seperti saya yang tak sabar2 untuk melalui jalan ini sambil mengucap doa dan salam kepada saya yang telah pergi......