Kehadapan anak-anak mama yang dikasihi dan dicintai hingga ke mati; Ahmed Zaki, Ahmed Wafi dan Ahmed Lutfi....
Assalamualaikum wrt.wbt.
Mama harap surat ini sebagai wasiat mama pada anak-anak semua. Mudah-mudahan semasa anak-anak membaca setiap bait dalam lembaran ini, mama masih ada di dunia. Jika mama sudah tiada, cubalah selongkar blog mama ini yang penuh dengan rahsia dan luahan hati mama.
Pertama-tama mama nak maklumkan pada anak-anak, yang anak-anak adalah buah hati mama. Pengarang jantung hidup mama. Anak-anak juga pendengar dan sahabat setia mama. Anak-anak adalah nikmat hidup mama. Pada masa yang sama. mama juga ingatkan pada diri mama bahawa anak-anak adalah milik Allah sebenarnya. Allah bagi pinjam pada mama. Sampai bila pinjaman itu, mama tidak tahu. Tetapi dengan doa dan usaha yang mama ada, mama akan cuba menjaga pinjaman ini dengan seikhlas hati mengikut apa yang termaktub dalam al Quran, Sunnah rasulullah saw dan pendapat ulama dahulu kala. Anak-anak pasti maklum sendiri yang mama sebenarnya bukan seorang ibu yang sempurna.Banyak kelemahan yang ada pada diri mama. Mama suka berleter, mama suka komplen dan mama kadang-kadang tidak memahami jiwa anak-anak semua. Kadang-kadang bila mama sampai rumah, mama akan menguncikan diri dalam bilik sebab mama tak nak tengok muka bibi mutiah itu. Bila mama nak cakap dengan anak-anak, mama panggil anak2 masuk ke dalam.
Ahmed Zaki atau "abang", mama selalu mengingatkan abang pasal akhlaq dan tingkah laku dengan orang tua. Setiap kali abang balik ke rumah, ada saja yang mama leteri. Dari bilik bersepah hinggalah solat berjemaah. Mama tahu abang tidak suka mendengar leteran mama itu. Tetapi disebalik leteran itu mama tengok bilik dikemas dan abang pun lesap ke surau.
Ahmed Wafi atau "angah", mama selalu ingatkan angah, jangan lupa angkat kain bila balik sekolah. Jangan lupa bawa kain baju dalam raga ke kedai Dobi di bawah rumah kita. Angah suka pergi joging dan gymnasium untuk menjaga kesihatan. Angah tak nak makan pisang goreng yang mama beli sebab ianya berminyak. Mama sedih dan kecil hati maka angah makan sekeping dua demi untuk menjaga hati mama. Sebenarnya mama yang mudah merajuk dengan anak-anak.
Ahmed Lutfi atau "adik", mama selalu berpesan janganlah "pongoh". Nama Lutfi bermaksud lembut. Tetapi disebalik kepongohan itu, adik adalah orang pertama yang akan bersiap-siap ke surau. Adik juga orang pertama yang akan datang peluk mama bila masuk ke dalam rumah. Mama pun cuba sedaya upaya menjadi seorang ibu yang bersabar dengan kerenah anak yang bongsu yang sangat manja ini. Kadang-kadang mama perlu bertegas bila hajat melampaui batas. Mama cuba menjadi seorang ibu yang kreatif berhadapan dengan anak yang bernama Lutfi ini.
Maafkan mama kerana meninggikan suara, mungkin telinga mama tidak mendengar jawapan anak-anak bila dipanggil tadi. Maafkan mama kerana tidak dapat masak apa yang kamu hajati, mungkin mama lembap memahami resepi atau pun mama malas hendak mengemas sinki. . Maafkan mama kerana tidak memenuhi setiap yang kamu hajati, mungkin mama pentingkan diri sendiri...
Anak-anak mama yang mama sayangi...
Mama selalu berfikir yang suatu hari nanti, mama akan pergi bertemu ilahi. Jika mama sudah pergi jangan lupa mandikan jenazah mama. Jangan biar orang lain melihat aib mama mu ini. Biar anak-anak sendiri yang melihat betapa ibumu ini penuh dengan noda dunia. Bila jenazah mama mahu diangkat ke kubur,jangan biar orang lain mengusung mama. Ingat, apa mama pesan dulu. Seorang pegang di kepala, seorang pegang di tengah dan seorang lagi pegang di kaki. Sebaik saja mama akan dimasukkan ke dalam liang lahad, kalau muat masuklah semua anak mama untuk membuka ikatan pada jenazah mama. Pastikan mama berada di posisi yang betul dan mengadap kiblat. Bila sudah selesai maka peganglah mama buat kali terakhir. Pandanglah mama untuk ke sekian kalinya. Mama yang megandungkan kamu semua dan yang menyusukan kamu. Sepanjang 2 tahun mama menyusukan kamu semua. Tiada susu lain yg membesar dan menguatkan tulang kamu melainkan susu dari badan mama sahaja. Itulah nikmat yang tidak terhingga bila dapat memeluk erat anak-anak mama.
Mama juga ingin berpesan, jika anak-anak semua mempunyai isteri nanti atau anak-anak perempuan, jangan lupa menyayangi mereka dengan sepenuh hati. Layanlah isteri-isteri kamu dengan penuh hormat. Jagalah maruah mereka di depan rakan taulan atau sanak saudara ataupun anak-anak kalian. Itulah sebaik-baik tanda yang kamu semua sayangkan mama.....
Jika ada rahmat ilahi pasti kita akan berjumpa lagi....insha Allah :)
Wassalamualaikum wrt.wbt.
p.s. Lagi satu mama nak pesan, jangan lupa deactivate Facebook mama bila mama sudah tiada :)
7 comments:
Ustazah,
This entry makes me cry. Tulusnya kasih sayang seorg ibu. :')
Sedih dan terharu sekali baca entri Akak kali ini, sampaikan saya terpanggil unt tinggalkan jejak. Selalu singgah mcm gitu je. By the way, mlm smlm tak tau apa sebab saya mimpikan Akak, Akak bertudung biru muda. Saya doakan Akak sihat di bawah rahmatNya. Ada saya titipkan text buat Kak Lynne (Azlinor) minta sampaikan salam saya buat Akak sejurus selepas terjaga dari tidur..
Ini dulu - Fa Luton London..
semoga mereka menjadi anak-anak yang soleh yang sering mendoakan kebaikan dan kesejahteraan ibu dan ayah..
Iqah: InshaAllah suatu hari nanti awak juga akan menjadi seorang ibu.. :)
Fa: Lamanya akak tak contact fa..mudah2an Allah permudahkan urusan hidup Fa di perantauan.
Nurul: amin, amin, amin Ya rabbal aalamin :) tkasih bagi komen.
Tears......... Teringat arwah Mama saya...
Huhuhu~ sedih. Terus rindu mama! T_T
noor dan nini: saya sendiri pun, jika disebut nama mama saya, pasti sebak juga. sayang dan rindu ma!
Post a Comment